Reenzarini

Sunday, 14 September 2014

SAAT BILA CINTA MULA BERSEMI 13



BAB 13

      “Aniza...” Ya hanya Aniza yang boleh bantu aku. Setelah memberitahu Aniza tentang kedatanganku ke KL, barulah hati aku tenang. Kalau tidak tak tahulah ke mana harus aku menumpang. Mujurlah aku rapat dengan keluarga Aniza. Dapatlah aku menumpang kasih keluarganya.

***********
            
             Hiruk pikuk Pudu Raya membuatkan diriku terasa pening. Sudah dua jam diriku menunggu Aniza. Rimas dengan badan yang keletihan.  Letih kerana memikirkan apa yang berlaku.

            Ke mana Aniza ni? Dah janji nak jemput aku, takkanlah Aniza dah lupa kut? Gerutu aku dalam hati.

            “Fika!” Kelihatan Aniza melambai tak jauh dari situ.

            “Aniza! Akhirnya kau datang juga. Aku risau kalau kau tak datang jemput aku. Ke manalah aku nak pergi?”Terus aku memeluk Aniza.
           
“Dahlah tu, tak payahlah nak buat jejak kasih lagi.” Satu suara menegur kami.

            “Abang Am! Ini abang Am, kan?” Tanyaku ragu-ragu.

            “Amboi ! Cik puteri. Ini abang Am la, siapa lagi? Baru beberapa bulan tak jumpa dah lupakan abang Am.

            “Mana kak Ana?” Tanyaku pada abang Am. Mataku liar mencari kelibat orang yang ditanya tadi.

“Dia kerja,” jawab abang Am.

            “Kenapa tak bawa kak Ana sekali? Ramai-ramai, kan seronok.” Tanyaku lagi.
           
            “Takkanlah nak bawa rombongan cik Kiah nak jemput cik putri kita ni,” perli abang Am.

            Kami ketawa serentak mendengar kata-kata abang Am itu. Abang Am suka sangat memanggil aku puteri. Katanya aku bagaikan putri. Entah apa-apalah abang Am ni.

         “Abang Am, laparlah. Jom makan.” Ajak Aniza sambil mengusap perutnya. Sejak pagi tadi dirinya belum sempat menjamah makanan.

“Jomlah! Abang Am belanja hari ini.”

           “Ini yang sayang abang Am lebih ni,” ucap Aniza dan aku serentak. Itu adalah trademark kami berdua bila abang Am belanja makan. Kami beredar menuju ke kereta. Beg pakaian aku, abang Am  masukkan ke dalam kereta.

 “Nak makan dekat mana?” Tanya abang Am.

“Ikut abang Am la nak makan di mana pun. Fika ikut saja.”Ujarku.

            “Okey! Abang Am bawa ke satu tempat yang special sempena kedatangan  cik Putri.” Kalau Amirul Farhan ni, dekat mana pun dikatanya special. Asalkan makanan yang disajikan itu sedap.

             Tiba di restoran, kami serahkan soal memilih makanan kepada abang Am. Abang Am sedang bercakap dengan pelayan restoran. Kami tidak mempedulikannya.  Abang Am  tahu citarasa mereka berdua.

            Kami berbual sementara menunggu hidangan disediakan.

            “Puteri nak cari kerja ke?” Soal abang Am padaku.

            “Ya, abang Am. Tapi Fika pun tak tahu kerja apa yang Fika nak? Fikiran Fika ni buntu dengan apa yang berlaku. Tak sangka semua ini berlaku pada Fika.” Air mata bergenang di tubir mataku. Kesedihan kembali melanda hatiku.

          “Sabarlah puteri. Abang Am pun tak sangka Amer sanggup mengkhianati Fika. Mungkin ada hikmahnya dengan apa yang berlaku?” Nasihat abang Am padaku.

            “Bukan salah abang Amer. Kak Iffah yang perangkap abang Amer.” Gugur juga air mataku. Teresak-esak tangisanku.

           “Sabarlah Fika,” Aniza memeluk tubuhku.

       “Menangislah Puteri. Lepas ini jadilah insan yang kuat dan tabah.” Lembut abang Am memberikan nasihat.

           “Apa salah Fika abang Am. Tergamak kak Iffah rampas abang Amer dari Fika.” Air mata yang mengalir  aku usap dengan jari.

            “Sabarlah Puteri, abang Am doakan esok menjanjikan kebahagiaan buat Puteri.” Ucap Amirul Farhan.

            “Insya-ALLAH! Selepas ini Fika akan menjadi bertambah kuat.” Janjiku.

            Setelah makanan sampai mereka makan dengan berselera. Sedaya upaya Am dan Aniza cuba menceriakan hati Afika Najwa.

            Setelah makan abang Am menghantar kami berdua ke rumah sewa Aniza. Hanya tiga orang yang menyewa di rumah itu. Tak lama lagi seorang dari mereka akan berpindah kerana akan berkahwin.

***********

Aku duduk berteleku di balkoni rumah sewa kami.  Kegelapan malam tanpa bintang. Bintang pun tahu hati aku sedang merana. Malam ini adalah malam pernikahan abang Amer dan kak Iffah.

           “Selamat berbahagia abang Amer. Mungkin jodoh abang Amer bukan dengan Fika tapi dengan kak Iffah. Kak Iffah yang bertuah kerana menjadi isteri abang Amer. Abang Amer yang baik , abang Amer yang penyayang. Mulai hari ini Fika janji akan buang jauh-jauh cinta Fika pada abang Amer. Selamat tinggal kenangan. Fika akan mulakan hidup baru. Semoga esok menjanjikan kebahagiaan buat Fika.”Bisik Afika Najwa.

Aku teringat kembali bagaimana kak Iffah menuduh aku merosakkan baju pengantin yang telah dijahit oleh mak.

“Mak!! Siapa yang rosakkan baju Iffah mak?” Jerit Iffah  dari dalam bilik.

“Kenapa ni Iffah? Kalau tak menjerit tak bolehkah Iffah?”Tanya emak pada kak Iffah. Aku juga mengikut mak masuk ke bilik kak Iffah. Kebetulan waktu tu aku baru saja keluar dari bilikku.

“Tengok ni, baju pengantin yang mak jahit ni dah koyak.”Kak Iffah mengadu pada emak.

“Masya-ALLAH! Macam mana boleh jadi macam ni Iffah? Semalam elok saja mak tengok.” Tanya mak pada kak Iffah.

“Entahlah mak. Orang masuk saja dalam bilik lihat baju ni dah koyak. Nanti….” Gunting yang berada tak jauh dari situ diambilnya.

“Mak! Orang tahu siapa yang buat semua ini. Ini buktinya.” Gunting di tangan diserahkan pada emaknya. Emak pandang aku.

Aku tahu gunting di tangan kak Iffah itu adalah gunting kepunyaanku.

“Fika! Mak tak sangka Fika sanggup buat semua ini!!” Renungan mata mak menakutkan aku. Tak pernah aku tengok mak marah sebegitu rupa.

“Bukan Fika mak. Percayalah cakap Fika mak. Fika tak tergamak buat semua tu.” Rayuku pada emak.

“Orang dah agak dah mak! Fika mesti berdendam dengan orang. Fika dendam sebab Amer dah pilih orang. Sebab tu dia sakit hati dengan orang.” Sengaja diapikan lagi kepala emaknya. Hei! Baju yang kolot tu nak suruh orang pakai. Jangan harap. Orang dah sediakan baju yang lagi canggih, gelak Iffah dalam hati.  Rasakan kau Fika.

"Mak!  Orang tak nak Fika ada dalam rumah ni masa orang nikah nanti. Manalah tahu Fika ada hati nak rosakkan majlis orang nanti. Nanti tak pasal-pasal dia goda suami orang." Semakin berapi hati emak dihasut kak Iffah.

"Mak tak nak Fika ada dalam rumah ni bila kak Iffah nikah nanti. Pergilah ke mana-mana pun mak tak kisah asalkan jangan ganggu majlis ini." 

"Mak....kenapa layan Fika macam ni? Fika tak salah mak." Tangisku sambil merayu dengan mak.


"Pergi! Pergi ! Mak tak nak tengok muka Fika lagi."

"Mak...... Ampunkan Fika mak. Jangan halau Fika mak. Fika tak ada sesiapa lagi mak." 

Fika!!


Thursday, 11 September 2014

SAAT CINTA MULA BERSEMI 12



BAB 12

Sengaja dia memutuskan pertunangannya dengan Johan setelah tahu dirinya hamilkan anak Johan. Misi mesti di jalankan segera sementara dirinya baru hamil dua minggu. Misinya adalah untuk memerangkap Amer dengan kehamilannya itu.

Setelah mengemas segala bukti kejahatannya dia kembali ke bilik Amer Rafik.

“Amer akan jadi milik Iffah juga.” Wajah Amer Rafik ditatapnya dengan penuh cinta.

“Amer…..Iffah cintakan Amer. Iffah tak akan biarkan Amer jatuh ke tangan Fika.” Tubuh Amer dipeluknya.

            Kemudian pakaian Amer di buka dan diselimutkannya. Pakaiannya juga di buka dan dirinya baring di sebelah Amer Rafik. Tubuh Amer dibelainya. Nafsu geloranya dipendamkan kerana Amer Rafik sudah terlena, gara-gara ubat tidur yang di masukkan ke dalam makanan dan minuman Amer Rafik. Perangkap sudah dipasang supaya Amer bertanggungjawab atas kehamilannya. Di bawah selimut, tubuh bogelnya mendakap tubuh Amer yang juga tidak berpakaian. Sudah tidak ada perasaan malu baginya.

            Sudah lama Iffah mempunyai hubungan dengan Johan. Selama ini dirinya melayani kemahuan nafsu Johan.  Setelah berkenalan dengan Amer, perasaannya pada Johan terus mati dan dirinya kini mengilai bakal adik iparnya. Kebenciannya pada Fika membuatkan dia lebih nekad.
***********
            Amer Rafik terjaga bila mendengar azan subuh  dari masjid berdekatan. Badannya terasa berat untuk bergerak.

            Alangkah terkejutnya dia bila terjaga, kelihatan Iffah sedang tidur lena sambil memeluk dirinya dalam keadaan bogel.

            “Astagfirullahalazim! Iffah, kenapa kau ada dalam bilik aku?” Segera dicapainya pakaian yang terdampar di tepi katil. Dipakainya dengan segera.

            Iffah yang telah lama terjaga, sengaja mengeliatkan tubuhnya. Ingin  memperlihatkan tubuh bogelnya kepada Amer Rafik. Sengaja dibiarkan selimut tersingkap hingga ke dadanya. Ingin mengoda Amer Rafik.
           
            “Iffah! Bangun, aku kata bangun!” Jerkah Amer Rafik. Dia bukan seperti lelaki hidung belang yang pantang melihat tubuh seksi wanita.

            “Amer…… apa Amer dah buat pada Iffah ni? Amer mesti bertanggungjawab atas apa yang Amer dah lakukan pada Iffah. Semalam Amer paksa Iffah melayani nafsu Amer.” Iffah berpura-pura menangis. Meraih simpati Amer Rafik. Hebatnya lakonan Iffah.

“Kau jangan nak buat fitnah, Iffah. Aku tahu kau dah masukkan sesuatu ke dalam makanan dan minuman aku. Selepas aku makan aku terus mengantuk.” Amer Rafik terus ke meja makan untuk mengambil makanan yang ditinggalkannya di atas meja semalam. Alangkah terperanjatnya dia, bila dilihatnya meja itu kosong. Semuanya telah dibersihkan Iffah Najihah. Sungguh licik Iffah Najihah.

           “Jahanam kau Iffah!” Permukaan meja di tumbuknya kerana geram. Walaupun tangannya sakit tapi hatinya lagi sakit.

            “Kau keluar dari rumah aku Iffah.” Halau Amer Rafik. Tak disangka Iffah Najihah begitu rapi membuat perancangan. Dia kini sudah terjerat.

“Keluar!”Jerkah Amer Rafik. Tubuh bogel Iffah ditarik dan di tolak jatuh ke lantai.

“Kau kutip pakaian kau ni perempuan jalang!”

          “Iffah boleh keluar, jangan ingat Amer boleh terlepas begitu saja. Iffah akan ceritakan apa yang berlaku pada keluarga Iffah dan keluarga Amer. Tak ketinggalan juga dengan Fika kesayangan Amer tu.” Perli Iffah Najihah sambil ketawa.

           “Berambus kau Iffah. Aku tak nak tengok muka kau lagi.” Marah Amer Rafik. Menyesal kerana selama ini dirinya hanya berlembut dengan segala tindak tanduk Iffah Najihah. Sejak awal dirinya kurang senang dengan tingkah laku Iffah. Tidak disangkanya begitu sekali jahatnya Iffah.

“Ya-ALLAH! Bantulah hamba-MU ini.” Doa Amer Rafik.
          
           Sejak hari itu Amer sudah memohon pertukaran ke HKL. Tidak mahu dirinya dihampiri oleh Iffah Najihah. Tetapi bukan semudah itu untuk bertukar tempat kerja. Dirinya terpaksa bersabar sementara ada kekosongan di HKL.

“Ya-ALLAH bantulah aku.” Setiap hari Amer Rafik tak pernah lupa memohon bantuan dari yang maha Esa.

            Sebulan selepas itu Iffah datang menemui Amer Rafik. “Amer…...Iffah ada benda nak cakap dengan Amer sekejap.” Panggil Iffah Najihah bila dilihatnya Amer baru balik dari kerja.

            “Apa kau nak cakap, cakap saja di sini. Aku tak ada masa nak mengadap muka kau. Jijik tahu dengan perbuatan kau itu.” Ujar Amer Rafik tanpa senyuman. Sudah tidak ada kelembutan dalam perbualannya dengan Iffah Najihah.

        “Amer, Iffah dah hamil.” Hati Iffah berdebar-debar bila memberitahu Amer tentang kehamilannya itu. Mudah-mudahan berita kehamilannya dapat memerangkap Amer Rafik. Sebenarnya usia kandungannya adalah enam minggu.

            “Kau jangan nak buat lawak Iffah. Aku tak pernah bersama dengan kau. Kau sengaja nak perangkap aku. Hari tu kau masukkan aku ubat tidur.” Sangkal Amer Rafik.

         “Amer, jangan lupa tentang apa yang berlaku sebulan yang lalu. Kalau Amer tak nak bertanggungjawab, Iffah akan laporkan pada polis. Amer akan hilang segalanya. Amer akan hilang pekerjaan, Amer juga akan kehilangan Fika.” Ugut Iffah Najihah.

“Kau sengaja ugut aku Iffah. Ini adalah rancangan kau nak kenakan aku,kan? Aku langsung tak sentuh kau. Malam tu aku hanya tidur setelah makan makanan yang kau letak ubat tidur.” Amer Rafik sama sekali tak akan mengaku anak dalam kandungan Iffah itu anaknya.

“Amer tak akan lepas dari Iffah. Iffah ada gambar kita berdua untuk membuktikannya. Ya ! Iffah yang rancang segala-galanya. Puas hati Iffah.”

“Kenapa kau buat semua ini Iffah? Aku adalah bakal adik ipar kau. Kau tak kesiankan Fika?”Tanya Amer Rafik.

“Iffah buat semua ini kerana Iffah cintakan Amer. Iffah tak nak lihat Fika hidup bahagia. Iffah bencikan Fika!”

“Anak dalam kandungan kau tu. Aku tahu anak siapa. Dia anak Johan bukan?” Serkap Amer Rafik.

“Pandainya Amer teka. Ya ini memang anak Johan tapi aku tak nak Johan yang jadi bapa kepada anak ini. Iffah nak Amer yang jadi ayah kepada anak ini.”

“Kau jangan lupa Iffah! Aku ini seorang doktor. Aku boleh buktikan anak itu bukan anak aku.” Tempelak Amer Rafik.

“Tapi Iffah ada gambar kita malam tu Amer. Iffah akan tunjukkan pada ibu bapa kita sebagai bukti. Amer tak akan terlepas dari Iffah.”

“Kau memang perempuan tak guna Iffah!  Kau tak akan perolehi kebahagiaan jika bersama dengan aku. Aku hanya cintakan Fika.”

  “Baiklah Iffah, kalau itu yang kau nak aku boleh menikah dengan kau tapi selepas kau bersalin aku akan ceraikan kau. Aku tak pernah ada perasaan  pun kepada kau selama ini.” Terpaksalah Amer Rafik menikahi Iffah Najihah. Demi pekerjaannya dan demi kedua orang tuanya.

            Nak ceraikan aku, kau tengoklah nanti apa yang aku akan lakukan. Nyawa Fika jadi taruhannya, getus Iffah Najihah dalam hati.
           
            Berita perancangan pernikahan mereka disampaikan pada keluarga mereka. Cuma berita tentang kehamilan Iffah saja yang tak diberitahu kepada keluarga mereka.

            Hancur luluh hati Afika Najwa bila mendengar perancangan pernikahan diantara Iffah Najihah dan Amer Rafik.

            “Abang Amer, apa yang berlaku sebenarnya? Kenapa abang Amer nak menikah dengan kak Iffah. Bukankah kita yang bercinta selama ini? Tergamak abang Amer dan kak Iffah buat semua ini pada Fika. Abang Amer curang dengan kak Iffah.” Tangis Afika Najwa sayu.

            “Abang Amer terpaksa Fika. Iffah dah perangkap abang Amer, dia dah masukkan ubat tidur dalam makanan abang Amer. Iffah ugut nak buat laporan polis dan hancurkan kerjaya abang Amer. Iffah dah hamil . Tapi anak tu bukannya anak abang.Anak Johan. Maafkan abang Amer. Abang  Amer tak berdaya Fika.”

            “Ya-Allah inikah dugaan MU kepadaku,” tangisku.

       Selepas itu Afika Najwa sudah tidak dapat dihubungi oleh  Amer Rafik. Sehari sebelum pernikahan Iffah dan Amer Rafik. Afika Najwa diminta oleh emaknya meninggalkan rumah mereka. Itu adalah atas permintaan dari Iffah Najihah. Iffah Najihah tidak mahu Fika berada di rumah mereka semasa majlis pernikahan mereka. Takut kalau Afika Najwa mengganggu majlis itu nanti.

          “Fika, pergilah ke mana saja semasa majlis pernikahan mereka.  Mak rayu pada Fika. Lepaskan Amer pada Iffah. Amer Rafik dah pilih Iffah sebagai isterinya. Mak minta Fika janganlah ganggu mereka. Anggaplah ini balasan Fika untuk kami kerana telah membesarkan Fika.” Rayu puan Khatijah.

Hancur hatiku mendengar rayuan mak itu. Ke mana aku nak pergi? Hanya mereka saja yang aku ada.Ayah hanya mendiamkan diri. Tak mampu berkata apa-apa. Aku menangis teresak-esak. Sudahlah abang Amer dirampas, kini aku pula disuruh keluar dari rumah . Ke mana harus aku pergi?

Friday, 5 September 2014

SAAT CINTA MULA BERSEMI 11



 BAB 11

Amer membantu Fika menghidangkan makanan. Terliur Amer bila melihat rendang kesukaannya itu. Tak sabar nak merasanya.

        “Sedapnya, tak sabar nak makan masakan Fika.” Amer Rafik memuji masakan Fika. Bertuahnya kalau dirinya berkahwin dengan Fika nanti. Makan dan minumnya pasti terjaga.

            “Sudahlah tu Amer, tak payahlah nak puji lebih-lebih. Orang perempuan mestilah kena pandai memasak. Semuanya dah siap terhidang. Jomlah kita makan.” Ajak puan Khatijah.

            “Tak semua orang perempuan ni pandai memasak, Amer.” Perli encik Borhan.

            “Ayah nak cakap Iffah tak pandai memasaklah tu.” Cebik Iffah Najihah yang sedang  duduk berhadapan dengan ayahnya.

            “Dah memang Iffah tak tahu memasak,” bidas encik Borhan kembali.

            “Ayah ni sengaja nak memalukan Iffah di depan Amer.” Masam muka Iffah Najihah apabila diperli oleh ayahnya.

            “Ayah bercakap dari fakta dan realiti.” Ujar encik Borhan lagi.

            “Amer……. jemputlah makan. Pedulikan dengan pak cik dan Iffah. Hari-hari macam ni la perangai mereka. Tak habis-habis nak bertekak.” Puan Khatijah  menjeling suami dan anaknya.

            “Baiklah mak cik. Fika jom makan,” ajak Amer Rafik. Kerusi di sebelahnya ditarik untuk Afika Najwa.

            “Terima kasih abang Amer.” Malu-malu aku duduk di kerusi yang ditarik abang Amer tadi.

            Setelah encik Borhan membaca doa , mereka makan dengan berselera.

            “Sedapnya rendang ni Fika, cukup rasa semuanya.” Puji Amer.

            “Biasa saja abang Amer. Kalau abang Amer suka, makanlah lebih sikit.”Pelawaku. Sambil makan kami berbual.

            “Pak cik…….. Amer ingat nak hantar rombongan peminangan untuk meminang Fika. Kalau boleh Amer nak menikah dalam masa terdekat ini. Tapi Fika pula minta tangguh dulu. Nak kerja dulu.” Amer  Rafik menjeling Afika Najwa yang malu-malu.

            “Eloklah tu. Pak cik pun setuju kalau  kamu berdua bernikah. Amer pun dah nak mula bekerja.” Ayah pula memberikan pendapatnya.

            “Lepas Amer bertugas di Johor nanti , Amer nak pinang Fika. Bolehkan pak cik?” Tanya Amer Rafik.

            “Boleh , apa salahnya,” jawab encik Borhan sambil tersenyum Dalam hati terfikir pula bagaimana nak cari wali untuk anaknya. Kalau boleh dia nak bapa Fika sendiri yang mewalikan anaknya.

            Iffah Najihah menguis nasi di pinggannya. Hilang seleranya bila mendengar perancangan ayah dan Amer Rafik. Sesuatu harus dilakukannya segera. Takkan dibiarkan mereka dapat hidup bahagia.

            Selesai makan, ayah meminta aku bersiap untuk menemani abang Amer dan kak Iffah ke Johor Bharu.

            “Fika pergilah bersiap…..boleh pergi bersama Amer ke Johor Bharu. Temankan mereka.” Tadi Amer sempat meminta kebenaran untuk membawa Fika bersama kerana Iffah Najihah adalah tunangan orang. Tak elok mereka berdua saja yang pergi. Nanti apa pula kata Johan dan keluarganya?

            Mencerlung mata Iffah dengan permintaan ayahnya itu. Sakitnya hati bila mendapat tahu Fika ikut bersama mereka ke Johor Bharu.

           “Buat susah-susah saja nak bawa Fika. Fika tak payah ikutlah ayah.” Iffah Najihah membantah cadangan ayahnya.

“Hish! Budak ni. Tak elok Iffah dan Amer saja pergi. Iffah tu tunangan orang. Apa kata Johan bila dapat tahu Iffah pergi ke sana dengan Amer?”

            Masam wajah Iffah mendengar bebelan ayahnya.

           “Hah! Fika…… cepat pergi bersiap. Siap lawa-lawa sikit. Biar terbuka mata orang yang selalu perasan dirinya lawa tu.” Perli encik Borhan.

            “Baiklah ayah. Fika masuk bilik dulu.” Langkah diatur menuju ke biliknya. Segera dia bersiap dan membawa beberapa helai pakaian.

            Setelah bersalaman mereka bersedia untuk bertolak. Amer Rafik membukakan pintu untuk Afika Najwa.

            “Fika….. duduk di sini.” Ujar abang Amer padaku.
           
            Menjeling Iffah Najihah melihat Amer Rafik membukakan pintu untuk Fika. Mengada-ngada, pintu pun nak orang bukakan, gerutu Iffah dalam hati. Baru tadi dia bercadang nak duduk di sebelah Amer Rafik. Hancur harapannya.

            Sepanjang perjalanan ke Johor Bharu, hati Iffah menggelegak mendengar perbualan mereka berdua. Benci bila melihat mereka bergurau senda.

*************
            Setelah Amer Rafik berpindah ke Johor. Kami telah sepakat untuk bertunang. Amer Rafik telah pun menyewa di sebelah rumah kak Iffah.

            Amer Rafik tidak berapa suka dengan perangai lepas laku Iffah Najihah sejak putus tunang dengan Johan. Iffah Najihah sesuka hati keluar masuk ke rumahnya. Konon-konon nak sediakan makan malam untuk Amer Rafik. Sudah di tegur tapi kata Iffah Najihah, ini adalah kali terakhir dia masuk ke dalam rumah Amer Rafik. Menyesal pula kerana telah memberikan kunci rumahnya kepada Iffah.

            “Amer……Iffah dah sediakan makan malam untuk Amer. Jemputlah makan.” Tangan Amer ditariknya mendekati meja makan. Dalam keletihan Amer  Rafik duduk di kerusi dengan rasa terpaksa. Kalau tidak mengenangkan Iffah adalah kakak kepada Fika , sudah lama dihalaunya Iffah keluar dari rumahnya.

            “Iffah! Tak perlu sediakan semua ini. Amer boleh cari makan sendiri. Lagi pun kita bukannya mahram . Tak elok Iffah keluar masuk rumah Amer. Iffah pula bakal kakak ipar Amer.” Tegur Amer Rafik.

            “Tak mengapalah Amer, Iffah nak baliklah ni. Amer makanlah. Iffah balik dulu.” Iffah keluar dari rumah Amer bila dilihatnya Amer sudah makan makanan yang disediakannya. Semua makanan itu dibeli dari restoran. Manalah dia tahu memasak.
Setelah menunggu agak lama barulah Iffah masuk semula ke dalam rumah Amer Rafik. Kelihatan Amer  Rafik duduk di sofa sambil memicit kepalanya. Entah kenapa kepalanya terasa pening.

“Amer ! Kenapa ni?” Tanya Iffah Najihah. Berpura-pura risaukan Amer Rafik.

            “Entahlah Iffah! Kepala Amer pening.” Beritahu Amer pada Iffah Najihah.

            “Mari Iffah bawa Amer masuk ke dalam bilik.” Tubuh Amer dipapah masuk ke dalam bilik. Dibaringkannya Amer Rafik di atas katil. Baju Amer ditanggalkannya tanpa malu. Dirinya sudah biasa melihat tubuh lelaki, apa yang nak dimalukannya?

            “Iffah! Kau buat apa ni?” Tanya Amer dengan suara lemah. Matanya sudah hampir  tertutup kerana mengantuk. Tanpa Amer sedari mengantuknya itu adalah kerana makanan dan minumannya tadi telah dicampur dengan ubat tidur.

            Semuanya sudah dirancang oleh Iffah. Sejak beberapa hari yang lalu Iffah cuba mendekati Amer Rafik. Sejak mendengar khabar tentang hasrat Amer untuk meminang Fika hatinya tak senang. Berbagai perkara sudah dicubanya , harap dengan ubat tidur ini kejayaan akan diperolehinya.

“Kau tak akan terlepas kali ini Amer. Kau akan berada dalam genggaman aku tak lama lagi.” Ketawanya memenuhi rumah sewa Amer Rafik.

HARI YANG AMAT MEMENATKAN.

Hari ini hari yg amat memenatkan bagi kak Reen.  ke pasar, membasuh( mesin yg buat sebenarnya)mengemas rumah dan memasak.

Usai solat zuhur kak Reen ke bandar Kangar untuk membeli keperluan anak perempuan yg akan mendaftar ke u tk lama lagi. 3 tempat dlm bandar kangar tu kak Reen pergi. Bermakna tiga tempat park kereta. Dah siap beli semuanya.Kak Reen singgah beli kelapa muda untuk hubby yg sedang demam.( pesanan dari hubby)

 Kak Reen balik ke rumah kerana keperluan untuk di fotostat terlupa anak kak Reen bawa. Teringat pula buku yg anak kak Reen pinjam di library kena pulangkan.

Singgah sekejap di rumah dan pergi pula ke library Kuala Perlis. Kemudian pergi fotostat segala borang. Baru teringat terlupa nk beli  bantal. Kak Reen pandu kereta ke Simpang 4. Di sana saja kak Reen tahu ada jual bantal kekabu. Ikut pantai dari kuala perlis ke sungai baru. Sepanjang pantai kak Reen speed  ke simpang 4. Kak Reen memang suka pandu laju. Cepat saja sampai. Tengok jam dah hampir pukul 5. Balik ke rumah baru nak makan tengahari merangkap mlm.

Lutut yg retak ari tu dah mula sakit kembali. Berehat sekejap. Mlm ni lepas bagi kucing mkn, barulah online.