Reenzarini

Sunday 15 March 2015

JUJUR AKU MENCINTAIMU 1



BAB 1

“Hijaz tak nak! Abah tak boleh paksa Hijaz.” Marah Hijaz Saufi. Zaman sekarang mana ada lagi jodoh yang diatur. Ingat novel ke? Getus hati Hijaz Saufi. Geram dengan permintaan abahnya.

“Abah tak peduli Hijaz suka atau pun tidak! Apa yang abah tahu, abah nak Hijaz menikah dengan Rania Adira!” Suara Dato’ Amar sama naik dengan anaknya.

"Hijaz tak nak! Jangan paksa Hijaz!"

"Hijaz Saufi!" Lantang suara Dato' Amar memecah kesunyian banglow miliknya.

“Abang……Bertenang bang. Hijaz, janganlah bantah cakap abah.” Lembut Datin Ariana berkata sambil mengusap dada suaminya. Bimbang apa-apa berlaku pada suaminya. Sejak akhir-akhir ini suaminya bukannya sihat sangat.

“Sakit hati abah tau bila dengar orang cakap pasal Hijaz. Abah dah tak tahan melihat perangai Hijaz yang tak senonoh.  Hidup  berpoya-poya, mabuk setiap malam."

"Biar orang nak kata apa pun Hijaz tak peduli."

Apa! Hijaz ingat orang muda tu tak boleh mati awal!” Bentak Dato’ Amar lagi. Sakit hatinya Allah saja yang tahu. Terasa dirinya telah gagal mendidik anaknya.

“ Bersabar bang!” Pujuk Datin Ariana. Bimbang dengan kesihatan suaminya.

“Abah tak boleh paksa Hijaz! Hijaz bukan budak kecil sampai abah nak tentukan siapa pasangan hidup Hijaz. Hijaz dah ada pilihan hati.”  Bentak Hijaz Saufi.

“Siapa calon isteri yang Hijaz cakap tu? Perempuan yang kainnya tak pernah cukup tu? Atau perempuan yang berpeleseran di kelab-kelab malam. Itu perempuan yang Hijaz nak buat bini? Jangan harap nak jadi menantu abah! Abah tak akan terima.” Mengelegak marahnya dengan Hijaz Saufi. Menyesal hantar anaknya belajar hingga ke luar Negara jika begini akhirnya perangai anaknya.

“Abah belum lagi berkenalan dengan pilihan Hijaz. Bila abah dah berkenalan barulah abah tahu betapa baiknya teman wanita Hijaz.”

“Huh! Nak berkenalan? Kirim salamlah! Langsung abah tak berminat kalau perempuan macam tu yang Hijaz pilih.”  Bukan dia tak kenal siapa perempuan yang di usung anaknya ke hulu ke hilir.  Seorang pelakon yang sedang meningkat naik. Apa yang membuatkan perempuan tu naik pun tak tahulah.Lakonannya hampeh!Harapkan rupa?Cantik apanya kalau tempek berkilo bedak.                                                                                                                                                                                                                                  

“Hijaz berhak tentukan hidup Hijaz. Abah tak boleh paksa Hijaz ikut kemahuan abah.” Entah siapalah perempuan yang abah dan mama nak jodohkan dengan aku? Terdesak sangat ke nak kahwin dengan aku? Perempuan gatal! Kutuk Hijaz Saufi dalam hati.

“Abah lakukan semua ini demi Hijaz. Perempuan yang Hijaz bawa ke hulu ke hilir tu hanya mahukan duit Hijaz. Jika Hijaz tak berduit tak ada siapa pun yang mahukan Hijaz.” Pujuk Dato’ Amar. Kendur kembali nada suaranya.

“Hijaz….terimalah pilihan kami. Mama rasa Hijaz akan bahagia jika menikah dengan Rania Adira. Rania Adira tu gadis yang baik Hijaz. Berkenalanlah dulu dengan Rania Adira. Mama percaya Hijaz akan terpikat.” Pujuk Datin Ariana pula. Eh! Yakin sangat aku bercakap. Macamlah aku pernah berkenalan dengan Rania. Tak mengapalah. Aku pasti Rania gadis yang sesuai dengan Hijaz.

    “Abah, mama, Hijaz belum bersedia untuk menjadi seorang suami. Tolonglah fahami hati Hijaz.” Rayu Hijaz Saufi. Mana mungkin dia menerima pilihan mereka sedangkan dia sendiri sudah ada pilihan hati. Pilihan yang dia rasa sesuai dengan jiwanya.

“Belum bersedia! Umur Hijaz dah hampir tiga puluh tahun. Tak bersedia apa lagi? Tak tahulah nak jadi apa dengan Hijaz? Cubalah jadilah lelaki yang matang. Tak bersedia konon, berpoya-poya aje yang Hijaz tahu.

"Abah dah buat keputusan. Jika Hijaz masih nak membantah keputusan abah. Silakan keluar dari rumah ini dengan sehelai sepinggang. Rumah ini tak terima orang yang degil macam Hijaz. Tinggalkan segala apa yang Hijaz dapat dari abah.” Kata putus telah dibuat oleh Dato’ Amar. Sepatutnya dari dulu lagi dia buat begitu agar anaknya tahu hidup di luar tu susah.

Datin Ariana terkedu. Tak sangka itu keputusan suaminya. Tapi sebagai seorang isteri, segala keputusan suaminya dia akan menyokongdari belakang.

“Tolonglah abah! Jangan buat Hijaz macam ni. Hijaz anak abah. Satu-satunya anak yang abah ada.”  Rayu Hijaz Saufi.

“Harta abah, suka hati abahlah nak buat apa pun. Semuanya abah dapatkan dengan titik peluh abah sendiri. Jika Hijaz masih nak bantah cakap abah. Tolong hantar surat perletakkan jawatan dan tinggalkan kunci kereta Hijaz termasuk kunci kondo yang abah beli tu. Hijaz boleh berkerja di syarikat lain. Segala kemewahan abah akan tarik balik.” Keputusan akhir Dato’ Amar berikan pada Hijaz Saufi.

“Tergamak abah buat Hijaz macam ni.”  Suara Hijaz Saufi kedengaran sayu. Tak menyangka abahnya begitu tegas kali ini. Bagaimana dia nak berdepan dengan kekasih hatinya. Dia sudah berjanji untuk menikah dengan Julia. Hanya Julia yang sesuai dengan jiwanya. Kalau abah tahu Julia tinggal di kondo pemberian abah, mati abah kerjakan aku. Gerutu hati Hijaz Saufi.

“Abah nak tengok berapa lama Hijaz boleh bertahan dengan hidup Hijaz tanpa kemewahan. Boleh tak perempuan yang Hijaz bawa tu bertahan dengan Hijaz yang dah tak ada-apa-apa?” Ujar Dato’ Amar sebelum berlalu naik ke biliknya. Semakin lama semakin sakit hati mengadap anak yang tak pernah berubah.

“Abah! Abah tak boleh buat Hijaz macam ni.” Rambut yang sedia terpacak diusap dengan kasar kerana geram melihat abahnya berlalu tanpa mempedulikannya.

“ABANG….takkanlah sampai begitu sekali abang nak buang anak kita?” Lembut Datin Ariana memujuk suaminya setelah berada di dalam bilik tidur mereka.

“Itu yang dia nak? Abang hanya memudahkannya saja.” Jari jemari isterinya digenggam dan dikucupnya lembut.

“Tolong sokong keputusan abang. Abang tak mahu Hijaz tersilap memilih pasangan hidupnya.” Mata hitam pekat isterinya direnung sayang. Sayang kepada isterinya tak pernah berubah hingga kini.

“Ana akan sokong abang sampai bila-bila.” Tubuh suaminya dipeluk erat.

“Terima kasih sayang. Abang harap anak kita mendapat isteri sebaik Ana.” Ucap Dato’ Amar sambil tersenyum.

“Insya-Allah! Kita doakan yang terbaik buat Hijaz.”Ujar Datin Ariana sambil tersenyum. Senyuman yang selalu membuatkan Dato’ Amar tenang.

**********

SAKIT HATI Hijaz Saufi dengan kata dua dari abahnya. Hijaz Saufi tiada pilihan lagi. Dia mana pernah hidup susah. Perempuan jahat tu yang dah racuni fikiran abahnya.

“Siaplah kau bila jadi bini aku nanti. Aku kerjakan kau cukup-cukup. Jangan ingat nak hidup senang dapat kahwin dengan aku.” Dendam Hijaz Saufi. Kunci kereta dicapainya. Dia mesti keluar untuk melepaskan geramnya.

“Shakir, kau dekat sekarang?” Tanya Hijaz Saufi melalui telefon bimbitnya.

“Aku dekat kelab,” jawab Shakir.

“Tunggu! Aku on the way ke sana.” Laju kereta dipandu menuju ke kelab yang selalu dia dan kawan-kawannya melepak. Di situlah tempat anak-anak orang kaya menghabiskan duit mak bapak mereka.

Kelab yang dimaksudkan adalah tempat di mana hanya mereka yang berdaftar sebagai ahli saja yang dapat masuk. Ahlinya adalah dari golongan yang berada atau anak-anak orang kaya.

**********
           
            ALUNAN muzik rancak yang berkumandang di dalam kelab, langsung tak menarik hatinya. Jiwanya resah memikirkan permintaan abahnya. Baginya permintaan mereka agak melampau. Nak ikut jiwanya yang merana, tak ikut poketnya yang merana. Argh! Buntunya otaknya.
          
          “Kenapa dengan kau, Hijaz? Masam aje muka kau? Kena tinggal lagi ke?” Soal Shakir sambil tersenyum. Mesti bergaduh dengan Julia lagi. Getus hati Shakir.

“Bukan pasal tu. Julia sibuk sikit kebelakangan ini. Aku tak kisah. Itu minat dia.” Jawab Hijaz Saufi.

“Habis pasal apa kau monyok semacam saja ni?”Soal Khairul pula. Minuman berbuih diteguk sekali.

“Shakir! Orderkan minuman untuk aku! Aku nak lupakan sakit hati aku.” Dadanya ditepuk dua kali.

“Kau nak minum apa?” Tanya Shakir kembali.

“Macam biasalah!” Jawab Hijaz Saufi.

Okey! Aku order sekarang!” Shakir meninggalkan mereka di situ.

“Kau kenapa Hijaz?” Soal  Khairul.

“Aku kena paksa kahwin!”

What!!? Kau? Kena paksa kahwin?” Soal Khairul terkejut. Macam tak percaya pula.

Iyelah aku kena paksa kahwin! Takkanlah nenek aku pulak!” Marah Hijaz Saufi.

Terkekeh! Kekeh Khairul ketawa.

“Kenapa dengan kau Khairul? Gila apa?” Tanya Shakir hairan. Dia baru saja kembali ke meja mereka.

“Kawan kita ni kena paksa kahwin.” Ujar Khairul sambil ketawa.

“Siapa kena paksa kahwin? Hijaz?” Tanya Shakir.

Iyelah! Kawan kitalah. Siapa lagi?” Jawab Khairul sambil ketawa.

“Betulkah Hijaz?” Soal Shakir.

Hijaz anggukkan kepalanya. Malas nak terangkan lagi. Buat sakit hati.

“Kau kena paksa kahwin dengan siapa Hijaz?” Shakir ingin tahu.

“Entahlah! Aku pun tak tahu. Entah perempuan gatal mana yang teringin nak berlakikan aku.”Kutuk Hijaz Saufi.

Tergelak Khairul dan Shakir mendengar kutukkan dari Hijaz Saufi.

“Tak sangka aku. Zaman sekarang ada juga yang kena paksa nikah!” Ujar Khairul.

"Kau terima ke Hijaz?" Soal Khairul.

"Pening kepala aku nak fikirkan semua ini."

"Julia dah tahu pasal ini?"  Tanya Shakir.

“Belum." Jawab Hijaz Saufi.

   "Apa salahnya kau jumpa dulu perempuan tu. Mana tahu kau akan jatuh cinta dengan dia." Shakir berikan cadangannya. Selama ini dia tahu Julia bukanlah perempuan yang baik. Tapi mahukah Hijaz percayakannya? Kamal pernah ditumbuk Hijaz bila memberitahu kecurangan Julia. Tak pasal-pasal kena penumbuk Hijaz.Dahlah Hijaz tu boleh tahan sasa badannya. Hingga kini persahabatan dengan Kamal terputus.

    "Gila apa! Dalam hati aku hanya ada Julia.Tak pernah aku curang dengan dia tau. Malas aku nak cakap pasal ni. Buat sakit hati aku saja.” Dalam hati Hijaz penuh dengan dendam. Nanti kau perempuan. Kau dah porak perandakan hidup aku! Minuman yang berada di hadapannya diteguk dengan rakus. 


**Jangan lupa komen. Nak juga tahu sesuai ke tidak dengan pembaca semua.

2 comments:

  1. Replies
    1. Terima kasih adik kerana sentiasa jadi pembakar semangat kak Reen untk terus menulis.

      Delete