Reenzarini

Tuesday, 10 March 2015

TAK MAMPU BERHARAP ( TEASER 3)


TEASER 3

“LISA……Ikhlaskah Lisa cintakan abang?” Soal Rayyan. Ketika itu mereka berdua duduk menonton televisyen di ruang tamu.

“Lisa ikhlas cintakan abang sampai bila-bila? Buktinya ini.” Jawab Lisa Adrianna sambil mengusap perutnya yang membukit. Dia kini sedang sarat mengandung anak pertama mereka.

“Kenapa abang tanya Lisa macam tu?” Soal Lisa Adrianna kembali. Sejak balik dari kerja suaminya asyik bertanyakan soalan itu.

“Selama ini apa yang abang sediakan untuk isteri abang ni cukup, kan?” Tanya Rayyan lagi. Risau jika kasih isterinya berubah.

“Lebih dari mencukupi. Lisa tetap cintakan abang walaupun abang tak berharta. Walaupun abang hanya tinggal sehelai sepinggang saja. Cinta Lisa tetap pada suami Lisa ni.”Jawab Lisa Adrianna. Pipi suaminya dicium kiri dan kanan. Cuba menghilangkan keraguan dalam hati suaminya.

“Senang hati abang dengar Lisa cakap macam tu.” Balas Rayyan. Dahi isterinya dikucup lembut. Sesungguhnya dia teramat sayangkan isterinya.

“ Lisa bahagia menjadi isteri abang.” Ucap Lisa lembut.

“Abang pun bahagia menjadi suami Lisa. Tak sabar nak tunggu kelahiran baby abang ini.” Perut isterinya yang sudah membukit diusap dan dicium lembut. Rayyan mengukir senyuman bila terasa gerakkan di perut isterinya.

Baby abah duduk kat dalam tu baik-baik tau. Jangan tendang perut mama kuat-kuat. Kasihan mama.” Perut isterinya diusap lembut. Setiap malam sebelum tidur dia akan bercakap dengan anak dalam kandungan isterinya.

“Abang…..Esok mama nak datang rumah kita.” Sesekali dia kegelian bila perutnya diusap begitu.

“Kenapa mama tak cakap dengan abang pun?” Soal Rayyan. Matanya masih memandang pergerakkan baby dalam perut isterinya.

“Saja mama tak nak ganggu abang bekerja. Sebab tu mama hubungi Lisa.” Seminggu dua ini mama mertuanya sudah semakin rapat dengannya. Mungkin sebab dia sudah hamilkan anak Rayyan. Tak sabar nak timang cucu agaknya.

“Mama nak datang dengan ayah ke?” Tanya Rayyan lagi.

“Entahlah…..Tapi esok hari bekerja, kan. Tentu ayah pergi pejabat. Saja kut mama nak jumpa Lisa dan nak jumpa baby abang ni.” Senang hatinya dengan perubahan mamanya. Diusap lagi perut isterinya.

“Esok abang sibuklah sayang. Sayanglah yang layan mama.” Dahi isterinya dikucup lembut.

“Okeylah! Lisa tak kisah pun layan mama. Bukankah mama abang tu mama sayang juga.” Pipi suaminya Lisa cium berkali-kali.

“Sayang…..Jom masuk tidur. Abang dah mengantuk ni. Baby abah pun dah mengantuk.” Perut Lisa diciumnya lembut.

Lisa Adrianna juga selesa dimanjakan suaminya. Sejak menikah suaminya sangat penyayang.

“Jomlah! Sayang pun dah mengantuk ni.” Setelah memastikan suis lampu ditutup. Rayyan memimpin tangan isterinya mendaki tangga ke bilik tidur mereka.
**********
“Kenapa Lisa? Tak sihatkah?” Tanya Datin Sufiah yang sudah duduk di sofa. Dia baru saja tiba bersama pembantu rumahnya.

“Tak ada apalah mama. Kepala Lisa pening sikit.” Balas Lisa dengan senyuman.

“Kalau tak sihat, Lisa pergilah berehat dalam bilik. Biar mama dan Sutinah yang masak makan tengahari nanti.”

“Tak apalah mama. Lisa okey.” Balas Lisa Adrianna. Sebelah tangannya sudah melekap ke dahinya. Terasa pening kepala sejak pagi tadi.

“Okey apa macam tu? Pergi naik ke bilik. Berehat. Mama boleh masak. Jangan risau. Bila dah siap semua mama panggil makan.” Tubuh Lisa ditarik perlahan menuju ke tangga. Misinya harus dilakukan dengan segera.

“Tak mengapalah mama. Lisa naik sendiri.” Perlahan dia mendaki tangga naik ke biliknya.

BUNYI sms masuk ke telefon bimbit  Datin Sufiah. Datin Sufiah tersenyum sendiri.

“Kami on the way ke sana. Bersedialah.” Bunyi mesej yang diterima Datin Sufiah.

Datin Sufiah membalas sms dari Wanda. Senyuman semakin mekar di bibirnya.

“Okey! Beres semuanya.”

Pagar di buka mengunakan kawalan dari dalam rumah. Sebuah kereta masuk ke perkarangan rumah banglow dua tingkat itu. Pantas Datin Sufiah membuka pintu rumah.

“ Masuk ke dalam bilik air hingga saya suruh awak keluar barulah awak keluar. Bilik berhadapan dengan tangga. Jangan sentuh perempuan tu. Faham?” Soal Datin Sufiah.

“Baiklah Datin. Jangan lupa perjanjian kita. Saya perlukan duit itu hari ini juga.” Kalau bukan kerana terdesak dia tidak akan melakukan pekerjaan itu.

“Selesaikan dulu baru saya akan tunaikan bayaran itu.”  Desak Datin Sufiah.

“Okey beres.” Ucap Rizal. Kakinya terus menapak ke tingkat atas.

“Sutinah! Jom balik.” Ajak Datin Sufiah. Dia perlu segera keluar dari rumah itu sebelum anaknya sampai. Selebihnya biarlah Wanda yang menjalankan misi itu.

“Tapi Datin. Saya belum siap masak.” Beritahu Sutinah.

“Aku cakap balik!” Jerit Datin Sufiah kerana marah.

Iye Datin , saya datang sekarang.” Terburu-buru Sutinah mengikut langkah Datin Sufiah ke kereta setelah memastikan dapur dipadamkan apinya.

Datin Sufiah memakirkan keretanya tak jauh dari situ. Sutinah hanya mendiamkan diri di dalam kereta. Tak berani nak bersuara. Bila Datin Sufiah melihat kereta yang dipandu anaknya sudah berada di hadapan rumah, segera dia memandu keretanya seolah-olah dia baru saja tiba di situ.

“KERETA siapa tu Rayyan?” Soal Wanda. Sengaja menambah keresahan hati Rayyan.

“Entah. Aku tak tahu.” Jawab Rayyan. Dia keluar dari kereta.

“Rasanya inilah kereta yang selalu datang ke rumah awak setiap kali awak pergi kerja.”

Laju Rayyan menuju ke rumahnya.

“Rayyan……..Awal balik. Mama lambat sampai. Mama singgah ke pasar tadi.” Tegur Datin Sufiah.

 Beberapa beg plastik sudah penuh di tangan Sutinah. Beg-beg plastik itu sengaja ditinggalkan di dalam keretanya.

“Kereta siapa ni mama?” Soal Rayyan pada mamanya.

“Kereta kawan Lisa kut?” Jawab Datin Sufiah.

Rayyan menerpa masuk ke dalam rumah diekori oleh Wanda dan Datin Sufiah dari belakang. Bibir mereka sudah menguntumkan senyuman.

“Perangkap sudah mengena,” bisik Wanda pada Datin Sufiah. Datin Sufiah tersenyum lebar.

Pintu bilik ditolak kasar hingga tersentak Lisa Adrianna yang sedang tidur.

“Abang…..Bila abang balik. Lisa belum masak lagi. Kepala Lisa pening. Lisa ingat nak tidur sekejap. Tadi mama ada dekat bawah. Kesian mama kena masakkan untuk Lisa.” Perut yang sudah membukit diusapnya lembut. Hanya tinggal dua bulan lagi dia akan bersalin.

“Kereta siapa dekat luar tu?” Soal Rayyan Hafiz. Wajahnya tegang.

“Kereta mamalah abang. Awal pagi lagi mama datang dengan Sutinah. Kenapa abang tanya?” Soal Lisa bila dilihatnya wajah suaminya tegang. Lisa Adrianna bangun menghampiri suaminya. Pening yang dirasai sejak pagi lagi ditahan sebaik mungkin. Kenapa suaminya masam saja sejak sampai tadi?

“ Lisa jangan nak bohong abang. Abang baru saja sampai. Kereta siapa dekat luar tu?”  Jerkah Rayyan Hafiz. Terperanjat Lisa mendengar jerkahan suaminya. Selama ini mana pernah suaminya naikkan suara.

“Lisa tak tipu. Kereta mama dekat luar tu.” Jawab Lisa Adrianna.

Datin Sufiah menerpa masuk ke dalam bilik bersama Wanda. “Hei perempuan! Kau jangan nak babitkan nama aku kerana nak menutup perbuatan kau yang curang itu.”

“Apa mama cakap ni? Lisa tak fahamlah.” Dahinya dikerut untuk memahami apa yang dikatakan oleh mama Rayyan. Terasa anak dalam perutnya bergerak-gerak.

“Rayyan! Mama percaya Lisa ni dah curang di belakang Rayyan.” Provok mamanya lagi.

“Apa yang mama cakap ni? Curang……Siapa yang curang?” Balas Lisa kembali.

Datin Sufiah menolak pintu bilik air. Ditariknya seorang lelaki keluar dari bilik air.

“Siapa lelaki ni?!!” Soal Datin Sufiah garang.

Mencerlung mata Rayyan memandang wajah Lisa. Tak menyangka isteri yang selama ini dipuja sanggup curang dengannya.

“Siapa lelaki ini Lisa? Selama ini di belakang abang, Lisa curang. Abang tak sangka Lisa tergamak buat abang macam ni.” Hancur luluh hati Rayyan melihat isteri yang dicintai curang dengannya.

“Ya Allah abang! Lisa tak tahu siapa lelaki ini? Lisa tak tahu bagaimana lelaki ini masuk?” Tangisan sudah bergema di dalam bilik itu. Dia sudah terduduk di atas katil. Tidak tahu bagaimana semua ini berlaku. Sempat dia memakai tudung segera yang dicapai dari atas katil.

“Berani kau buat hubungan dengan isteri aku.” Kolar baju lelaki itu Rayyan Hafiz cekak kuat. Bertalu-talu penumbuk dilepaskan ke muka lelaki itu. Lelaki itu hanya diam sambil memegang bahagian yang terkena tumbukkan hingga hidungnya berdarah.

“Rayyan! Sudahlah tu. Jangan kotorkan tangan Rayyan dengan darah kotor lelaki ini.” Tangan Rayyan yang sedang mencekak kolar baju lelaki itu Datin Sufiah lepaskan. Isyarat matanya menyuruh lelaki itu pergi dari situ. Tanpa berlengah lelaki itu meninggalkan bilik itu. Mana boleh dibiarkan Rizal lama-lama dalam bilik itu. Tak pasal-pasal Rizal buka rahsia mereka.

“Rayyan tak sangka, mama. Isteri yang Rayyan cinta selama ini mengkianati Rayyan. Rayyan kecewa mama.” Rambut yang rapi bersikat diusap dengan kasar.

“Abang! Lisa bersumpah Lisa tak tahu apa yang berlaku. Lisa tak kenal siapa lelaki itu.” Tangisan Lisa bergema di dalam bilik itu. Air mata mengalir di pipi gebunya. Dia cuba mendekati suaminya tapi Datin Sufiah menarik tubuhnya supaya tidak mendekati suaminya.

“Hei! Perempuan curang. Kau jangan nak sentuh anak aku dengan tangan jijik kau tu.” Garang Datin Sufiah menarik tubuh Lisa yang cuba mendekati Rayyan. Ditamparnya pipi gebu Lisa.

“Abang! Abang! Lisa tak bersalah. Percayalah cakap Lisa.” Lemah tubuhnya mempertahankan diri dengan segala tuduhan. Pipi yang terasa sakit dipegangnya.

“Rayyan! Awak pastikah anak yang Lisa kandung ini anak awak? Entah-entah anak lelaki tadi?” Sampuk Wanda yang baru masuk ke bilik itu. Sebentar tadi dia keluar membayar duit upahan lelaki tadi. Puas hatinya dapat membalas segala sakit hatinya.

“Tidak abang! Percayalah abang, Lisa tak buat semua tu.” Rayu Lisa sambil memeluk lutut suaminya.

“Jangan percayakan perempuan ini, Rayyan. Awak dah lihat buktinya tadi.” Hasut Wanda.

“Betul tu Rayyan. Mama percaya perempuan ini hamilkan anak lelaki tadi. Rayyan jangan mudah percaya dengan kata-kata dusta perempuan ini.” Datin Sufiah menambah bara di hati Rayyan.

Rayyan menepis tangan Lisa yang sedang memeluk lututnya.  Tersungkur Lisa bila tangannya terlepas dari lutut suaminya. Mujurlah perutnya tak terhentak ke lantai.

“Abang…….Demi Allah! Percayalah……Lisa tak pernah curang dengan abang.” Lisa cuba merangkak mendekati suaminya semula.

Datin Sufiah menarik tudung yang dipakai Lisa hingga tercabut tudung segera yang dipakai Lisa. Dicekaknya rambut Lisa dan pipi mulus Lisa ditampar berkali-kali hingga mengalir darah dari bibir yang terluka itu.

“Aduh! Mama……Jangan buat Lisa macam ni. Apa salah Lisa hingga mama buat Lisa begini?” Tangis Lisa sambil mengelap bibir yang berdarah dengan tangannya. Wajah suaminya dipandang dengan mata yang berkaca dengan air mata.

“Jangan panggil aku mama. Perempuan jijik!” Rambut panjang Lisa ditarik kuat.

Rayyan melarikan pandangan matanya. Tak sampai hati melihat isteri dicintai selama ini dipukul mamanya.  Tapi kerana sakit hati dibiarkan saja mamanya menyeksa isterinya. Dipekakkan telinganya bila mendengar jeritan kesakitan isterinya.

“Aku tak ada menantu yang curang macam kau!” Tempik Datin Sufiah.

“Tidakkk!! Lisa tak curang. Ini cucu mama. Anak ini anak abang. Percayalah cakap Lisa. Hanya abang yang kenal siapa Lisa. Lisa tak tergamak buat semua tu. Percayalah abang.” Merayu-rayu dia pada Rayyan.

“Apa lagi yang tak cukup aku bagi hingga kau tergamak buat aku begini? Anak yang kau kandung itu bukan anak aku. Itu anak lelaki itu, kan?” Soal Rayyan sambil merenung isterinya.

“Tidak…Ini anak abang. Ini anak abang…..Percayalah. Ya-Allah…..Tunjukkanlah kebenaran.” Makin lemah tubuh Lisa menagih simpati dan kepercayaan dari suaminya. Hancur luluh hatinya dituduh begitu.

“Ceraikan saja perempuan ini, Rayyan. Tak guna Rayyan simpan perempuan begini dalam rumah ini. Benci mama dengan perempuan curang ini.” Desak Datin Sufiah. Puas hatinya jika perempuan ini diceraikan.

“Tidak abang……Kesiankanlah Lisa dan anak abang ini. Kami tak bersalah.” Rayu Lisa lagi.

“Betul cakap mama. Aku patut buat pilihan. Lisa Adrianna……..Aku ceraikan kau dengan talak satu! Berambus kau dari rumah ini. Aku tak nak tengok muka kau lagi. Jangan kau berani nak berbin atau berbinti anak haram kau dengan nama aku.” Rayyan terus keluar dari bilik tidur mereka. Membawa hati yang parah kerana kecurangan isteri yang dicintai.

Lisa berlari mengikut Rayyan dari belakang. Tak dipedulikan dirinya yang sedang hamil. Wanda segera menarik Lisa yang cuba mengikut Rayyan.

“Abanggg!! Jangan tinggalkan Lisa. Lepaskan aku Wanda!” Rayu Lisa Adrianna. Langkah Rayyan semakin hilang dari pandangannya.

“Wanda! Cepat ikut Rayyan.” Arah Datin Sufiah. Dia pula memegang lengan Lisa Adrianna.

“Abang……Kesiankanlah Lisa. Lisa tak bersalah.” Tangis Lisa lagi. Cuba meronta melepaskan diri dari Datin Sufiah. Rambut panjangnya dicekak oleh Datin Sufiah.

“Puas hati aku. Akhirnya anak aku ceraikan kau juga.” Sinis Datin Sufiah berkata.

“Mama…..Kenapa mama tergamak buat Lisa macam ni? Apa salah Lisa? Tak kesiankah mama pada cucu mama?” Soal Lisa pada Datin Sufiah.

“Jangan panggil aku mama. Aku bukan mama kau. Aku dan Wanda yang merancang semua ini. Kau tahu kenapa aku lakukan semua ini? Aku bencikan kau. Kalau kau nak tahu aku yang upah lelaki tu. ” Lega dapat luahkan kebenciannya pada Lisa.

“Sampai hati mama buat Lisa macam ni. Lisa harap mama kesiankanlah cucu mama  yang sedang Lisa kandung ini.” Lisa Adrianna masih berharap Datin Sufiah mempertimbangkan cucu sulung yang dikandungnya.

“Aku tak heran dengan anak yang kau kandung tu. Wanda boleh bagi aku berapa pun cucu yang aku nak. Kau jangan muncul lagi dalam hidup anak aku. Cepat kau berambus dari hidup anak aku.” Pipi mulus itu ditamparnya lagi. Berdarah bibir Lisa kerana tamparan dari Datin Sufiah Baru puas hatinya dapat menyakitkan anak Samad.

“Mama…Sampainya hati mama pukul Lisa.” Pipi yang terasa sakit diusapnya lembut. Tangannya meraba perutnya. Terasa anak di dalam perutnya menendang. Sayang…….nenek bukan marah anak mama. Guamam Lisa dalam hati.

“Sekarang kau keluar dari rumah ini. Jangan kau bawa satu pun barang berharga dalam rumah ini. Aku nak kau keluar sehelai sepinggang. Kereta dan telefon bimbit pun aku tak benarkan kau bawa keluar dari rumah ini. Biar kau merempat dekat luar tu.”
**********
“ Rayyan! Tunggu dulu.” Wanda berlari menuruni tangga ke pintu hadapan.

“Kau nak apa?” Soal Rayyan Hafiz.

“Saya nak ikut awak.” Kasut bertumit tinggi segera disarung ke kakinya.

“Untuk apa Wanda? Puas hati kau tengok aku macam ni?” Tanya Rayyan. Nafasnya turun naik menahan hati yang masih membara.

“Biar saya pujuk hati awak yang sedang bersedih. Saya sanggup lakukan apa saja.” Ucap Wanda sambil merangkul tubuh Rayyan.

“Semua perempuan sama saja. Gatal!” Tubuh Wanda ditolak kasar. Mujur Wanda sempat berpaut di tiang tak jauh darinya.

Buntang matanya melihat kereta yang di pandu Rayyan sudah keluar dari perkarangan rumah itu.

“Eleh! Ingat aku hadap sangat dengan kau. Nantilah kau. Aku kenakan kau cukup-cukup hingga kau menyembah di kaki aku.” Jerit Wanda geram.
**********
Auntie……” Panggil Wanda.

“Mana Rayyan? Kenapa Wanda tak ikut Rayyan tadi? Kenapa Wanda lepaskan peluang untuk mengoda Rayyan?” Soal Datin Sufiah pada Wanda. Dasar lembab. Getus hati Datin Sufiah.

“Wanda tak sempat nak ikut Rayyan. Menonong saja dia pergi.” Wanda berkata dengan geram.

“Tak mengapa Wanda. Biarkan Rayyan bertenang dulu. Kita pastikan perempuan ini berambus dari rumah ini. Buat menyemak saja dia dekat sini.” Marah Datin Sufiah.

“Hei perempuan! Apa tunggu lagi. Berambus kau dari rumah ini.” Herdik Wanda.

“Kenapa aku nak ikut cakap kau? Ini rumah suami aku.” Balas Lisa Adrianna. Sakit hati kerana ditengking di dalam rumah sendiri.

“Auntie! Tengok perempuan ni. Berani dia tengking Wanda.” Wanda mengadu pada Datin Sufiah.

“Dasar perempuan tak tahu malu! Kau bukan lagi isteri anak aku. Berani kau marah bakal menantu aku. Apa tunggu lagi, cepat pergi dari rumah ini. Ingat! Jangan bawa apa-apa pun termasuk telefon. Aku tak mahu kau hubungi anak aku lagi.”

“Datin……Tolonglah kesiankan saya dan anak dalam kandungan saya ini. biarkan saya hubungi sahabat saya.” Mohon Lisa pada Datin Sufiah.

“Baiklah…… Aku benarkan kau hubungi kawan kau. Tapi tinggalkan rumah ini dengan segera. Kalau aku jumpa kau dekat rumah ini lagi, aku tak teragak-agak buat yang lebih teruk lagi dari tadi. Dengan anak kau sekali aku hapuskan.” Datin Sufiah berikan amaran pada Lisa Adrianna.

Wanda tersengih mendengar kata-kata dari Datin Sufiah. Berjaya juga dia menghasut Datin Sufiah supaya mengikut rancangannya. Dasar orang tua bodoh. Menantu dan cucu sendiri pun nak aniaya. Bisik hati Wanda.

“Terima kasih Datin. Saya tak harap apa-apa lagi Datin. Saya janji saya tak akan ganggu hidup Datin sekeluarga lagi selepas ini.” Ujar Lisa Adrianna pada Datin Sufiah.

Lisa masuk ke bilik tidurnya semula. Telefon bimbit di meja sebelah katil diambilnya. Nama seseorang dicari. Sementara menanti panggilan bersambut dia memerhati sekeliling bilik itu. Bilik yang akan ditinggalkan sebentar lagi. Berkaca kembali matanya.

“Hello Lynn….Boleh tak kau datang jemput aku di rumah? Apa….. Kau ada dekat site. Esok baru balik?”

“Tak mengapalah Lynn. Jumpa esok.”Talian diputuskannya.

“Lebih baik aku hubungi Syam.” Bisik Lisa sendiri. Perutnya diusap lembut. “Sabar ya anak mama! Kita balik ke rumah nenek dan atuk.”

“Hello Syam……Syam boleh tak jemput Lisa di rumah? Nanti Lisa ceritakan pada Syam. Lisa tunggu.” Telefon bimbit ditinggalkan di atas meja solek. Beg tangan dicapai. Diperhati bilik tidurnya, bilik yang banyak memberikan kenangan indah dan kenangan pahit dalam hidupnya.

Sempat ditinggalkan sekeping nota kepada suaminya. Diletakkan nota itu di dalam laci meja di tepi katil. Setiap hari suaminya akan menyimpan beg dompetnya di situ.

Pintu bilik tidur ditutupnya perlahan. Berlinangan air mata menitis di pipi. “YaAllah berkatilah hidupku dan anak dalam kandunganku ini. Lindungilah suamiku walau di mana dia berada. Peliharalah imannya.” Langkah diatur menuju ke ruang tamu.

“Datin……Terima kasih kerana pernah menjadi ibu mertua saya.” Tangan di hulur untuk menyalami bekas mama mertuanya. Datin Sufiah enggan menyambut tangan Lisa. Lisa mencapai tangan bekas mama mertuanya. Lembut tangan bekas mertuanya dicium. Datin Sufiah keraskan hatinya.

“Maafkan Lisa jika selama ini Lisa tak mampu menjadi menantu yang baik. Sampaikan salam Lisa pada ayah. Lisa pergi dulu.” Langkah diatur menuju ke pintu rumah.

“Nanti dulu!!” Langkahnya ditahan Wanda dengan garang.

“Serahkan kad kredit dan kad bank kau.”  Wanda cuba merampas beg tangan Lisa Adrianna.

Lisa Adrianna menepis tangan Wanda.

“Kenapa pula aku nak serahkan semua itu pada kau? Kad bank dan kredit kad hasil pendapatan aku selama bekerja. Kau tak ada hak nak ambil dari aku. Kalau kau berani ambil, aku tak teragak-agak buat laporan polis.” Kali ini Lisa berani kerana semua simpanannya hasil dari pekerjaannya selama ini. Tidak ada yang berhak mengambilnya. Duit yang suaminya masukkan setiap bulan adalah nafkah untuknya.

“Tengok tu auntie. Degilnya perempuan ni.” Wanda mengadu pada Datin Sufiah.

“Biarlah Wanda duit dia. Biarlah dia simpan.” Bila mendengar Lisa akan melaporkan pada polis, kecut perut Datin Sufiah. Takut tembelang mereka pecah.

“Kau terlepas kali ini!” Marah Wanda.

Lisa Adrianna melangkah keluar dari rumah dengan langkah perlahan. Biarlah dia menunggu Hisyam di luar pagar. Sisa-sisa air mata masih setia mengalir. Apa nak buat. Air mata tak mahu berhenti mengalir. Jika ini sudah takdir hidupnya. Dia akan tabah menerimanya. Dari kecil hingga besar hidupnya penuh dengan dugaan. Semua ini membuatkan dirinya bertambah kuat mengharungi hidup yang penuh dengan dugaan demi anak yang di kandungnya. Bayi dalam kandungannya adalah kekuatannya sekarang.

Kakinya semakin lemah untuk berdiri. Akhirnya dia duduk bersimpuh di tepi jalan. Berkali-kali diusap perutnya.

“Mama tak apa-apa sayang. Sekejap lagi kita pergi rumah nenek. Kita jumpa atuk dan nenek.” Ujar Lisa perlahan. Air mata mengalir laju membasahi pipinya.

Sebuah kereta mewah berhenti di hadapannya. Lisa kenal siapa pemilik kereta itu. Lisa cuba bangun tapi tenaganya sudah tiada. Dia terduduk kembali di atas tar jalan.

Lisa!! Hisyam Zafril pantas menghampiri Lisa Adrianna.

“Syam……Tolong Lisa.” Air mata kembali mengalir di pipi gebunya.

“Kenapa duduk di sini? Kenapa tak tunggu dalam rumah? Mana Rayyan?” Tanya Hisyam Zafril.

“Syam…….Rayyan dah ceraikan Lisa. Lisa tak tahu nak minta tolong dari siapa lagi. Hanya Syam dan Lynn saja yang Lisa ingat.” Air mata berhamburan lagi membasahi pipinya.

“Ya Allah! Kenapa dengan Rayyan ni. Hantu mana yang menghasut fikirannya?” Terkejut Hisyam mendengar cerita dari Lisa.

“Tak mengapa Lisa. Jom masuk dalam kereta. Panas dekat luar ni. Kenapa tak tunggu saja dalam rumah?” Sempat Hisyam bebelkan Lisa.

“Lisa dah dihalau dari rumah. Mereka tak benarkan Lisa berada di dalam rumah.”

“Sekarang Lisa nak ke mana?” Soal Hisyam Zafril.

“Lisa nak balik ke rumah keluarga Lisa. Lisa nak tidur sekejap. Sampai nanti kejutkan Lisa.” Jawab Lisa lemah. Kepalanya terasa berpusing. Dipejamkan matanya supaya peningnya hilang.

Lisa!! Jerit Hisyam Zafril. Tubuh Lisa yang sudah pengsan dicempung masuk ke dalam keretanya. Hisyam Zafril terus memandu keretanya ke hospital. Wajah Lisa yang lebam di pandang sedih. Tergamak mereka siksa Lisa. Getus hati Hisyam Zafril.
**********
            “Lisa……Makan bubur ni. Biar tenaga Lisa kembali pulih. Sejak semalam Lisa tak makan apa-apa.” Semangkuk bubur dihulurkan pada Lisa Adrianna.

“Lisa tak ada selera nak makan. Bibir Lisa rasa sakit.” Perlahan disentuh bibir yang terluka akibat dipukul Wanda dan Datin Sufiah.

“Kurang ajar betul siapa yang buat Lisa macam ni. Report saja polis. Biar dia orang kena dakwa.”
“Tak mengapalah Syam. Lisa pun tak apa-apa. Baby Lisa pun okey!”

“Lisa!!” Panggil Lynn sambil membuka pintu bilik yang menempatkan Lisa Adrianna.

“YaAllah! Lynn. Tak boleh ke elok-elok sikit perangai tu. Terkejut baby Lisa dekat dalam ni.” Tegur Lisa Adrianna.

“Sorry! Tak sengaja. Lisa! Kau okey ke?” Tubuh Lisa sudah berada dalam pelukan Lynn.

“Aku okey! Baby pun okey.” Jawab Lisa tenang.

“Aku kesiankan kau, Lisa. Tak habis-habis dilanda kesedihan. Apa yang aku boleh tolong kau, Lisa.” Tangis Lynn. Sedih hatinya melihat wajah Lisa yang lebam.

“Kau tolong doakan keselamatan aku dan baby aku pun dah cukup baik Lynn.”

“Siapa buat kau macam ni Lisa? Rayyan ke yang pukul kau?” Soal Lynn.

“Rayyan tak pernah berkasar dengan aku Lynn. Dia suami yang baik.”

“Baikkah yang buat kau macam ni. Dia dah ceraikan kau tanpa usul periksa.” Soal Lynn kembali. Sakit hatinya melihat Lisa yang tenang.

“Dia cuma salah faham pada aku. Dia tak bersalah.”

“Kau, kan Lisa. Semua orang kau anggap baik.” Balas Lynn.

“Lynn……Biarlah Lisa berehat. Dia masih belum sihat.” Nasihat Hisyam Zafril. Dari tadi Lynn asyik bercakap hingga dia tak sempat mencelah.

“Saya bukan apa Syam. Saya geramkan Rayyan tu.” Lynn duduk mengadap Hisyam Zafril.

“Lynn……Lisa dah tidur. Biarkan dia berehat. Awak pun berehatlah. Mesti awak baru sampai dan masih keletihan.” Ujar Hisyam Zafril.

“Saya okey! Risau saya mendengar cerita awak pasal Lisa.” Lynn pandang wajah Hisyam. Handsome pulak doktor ni. Selama ini aku tak pernah renung dekat macam ni.

“Awak dah makan.” Pertanyaan Hisyam Zafril mengejutkan Lynn yang sedang leka memandang wajah lelaki itu.

“Err…..Belum lagi. Sarapan pagi pun hanya segelas susu kotak.” Jawab Lynn.

“Laa tak elok macam tu. Lain kali jangan lupa ambil  sarapan. Penting tu.” Kalau doktor tu doktor juga.

“Err……Nak temankan saya makan ke nak berceramah ni?” Soal Lynn sambil membetulkan selimut Lisa.

“Nak ajak makanlah ni.” Laju Hisyam menuju ke pintu. Lynn hanya tersenyum manis.

********** 

 Part 1



“Rayyan! Ke mana Rayyan pergi. Puas mama telefon. Bimbang mama.” Bertalu - talu Datin Sufiah bertanya pada Rayyan.

“Mama! Mana Lisa?” Soal Rayyan Hafiz.

“Mama dah halau perempuan tu keluar dari rumah Rayyan sehelai sepinggang.” Beritahu Datin Sufiah.

“Mama, kenapa mama halau isteri Rayyan?” Soal Rayyan. Menggigil kakinya menahan marah.

“Baru padan dengan muka dia. Dia ingat nak bolot harta kita. Jangan harap mama nak benarkan. Puas hati mama dapat halau dia dari hidup anak mama.” Langsung tak peduli perasaan anaknya.

“Kenapa mama buat Lisa dan cucu mama macam tu?” Soal Rayyan Hafiz.

“Eh! Perempuan curang macam tu tak elok Rayyan simpan lama-lama. Rayyan boleh menikah dengan Wanda lepas ni.”

“Perempuan tu? Perempuan mana mama? Perempuan tu isteri Rayyan…… Mama. Dia ada nama. Nama dia Lisa Adrianna.”

“Rayyan dah ceraikan dia. Kenapa Rayyan nak pedulikannya lagi? Nikah saja dengan Wanda. Mama lagi suka.” 

“Apa yang mama cakap ni? Lisa tu masih isteri Rayyan. Isteri yang sedang hamilkan anak Rayyan. Cucu mama. Rayyan tak suka mama keji isteri Rayyan lagi.” Talian diputuskannya.

“Eh! Kenapa dengan Rayyan ni? Tak ingatkah dia dah ceraikan perempuan tu?” Bebel Datian Sufiah sendiri.

“Kenapa Su cakap sorang-sorang ni? Siapa yang telefon Su?” Soal Dato’ Ariff.

“Rayyan…….Dia dah ceraikan isterinya. Tapi masih nak cari perempuan tu lagi. Geram hati Su.”

“Mungkin dia dah menyesal ceraikan isterinya.” Ujar Dato’ Ariff.

“Apa pulak menyesal. Sepatutnya dia gembira kerana terlepas dari perempuan jalang tu.”

“Tak baik Su cakap macam tu. Abang pasti Lisa bukan macam yang Su cakapkan. Sepatutmya Su nasihatkanlah Rayyan tu. Sekarang tengok apa yang dah terjadi. Menyesal tak sudah.” Ujar Dato’ Ariff.

“Semuanya dah terbukti. Elok pun Rayyan dah ceraikan perempuan tu. Baru puas hati Su.”

Dato’ Ariff mengelengkan kepalanya. Kesal dengan sikap isterinya.
**********
Dingdong……Dingdong……

Laju Rayyan melangkah turun ke bawah. Adakah Lisa sudah pulang? Pagar automatic ditekan dari dalam rumah.

“Lisa!!” Panggil Rayyan setelah pintu pagar terbuka. Tapi langkahnya terhenti.

“Kau!! Apa kau buat dekat sini? Tak puas lagi kau kacau isteri aku?” Soal Rayyan sambil mencekak kolar baju lelaki itu.

“Encik Rayyan! Tolong dengar cakap saya dulu. Saya datang bukan nak bergaduh dengan encik.” Kolar bajunya yang dicekak cuba ditariknya. Tapi tenaga Rayyan lebih kuat darinya. Tenaga orang yang sedang marah.

“Mana kau sorok isteri aku?”  Rayyan menengking lelaki itu.

“Maafkan saya. Tolong lepaskan saya. Saya tak tahu apa-apa.” Kolar baju yang dicekak cuba dilepaskan sekali lagi.

“Saya tak tahu di mana isteri encik Rayyan. Saya langsung tak kenal dengan isteri encik Rayyan. Saya datang nak pulangkan duit ini.” Rizal menyerahkan sampul surat duit upahan yang diterimanya. Walaupun dia perlukan duit itu tapi isterinya enggan di bedah kerana duit yang dibawanya hasil dari pekerjaan yang tak baik. Isterinya lebih rela mati dari menganiayai orang.

“Duit apa ni?” Soal Rayyan. Kolar baju lelaki itu dilepaskannya. Duit yang berada di dalam sampul surat di tarik sedikit.

“Datin Sufiah dan cik Wanda yang mengupah saya.” Terang Rizal.

Astaghfirullahalazim!! Apa mama dah buat ni? Tergamak mama lakukan semua ini pada menantu mama.”Rayyan kesal dengan sikap mamanya.Tidak sangka mamanya senekad itu. Dia juga terlalu percayakan mamanya hingga isteri yang dicintai selama ini menghilangkan diri.

“Lisa…..Maafkan abang, sayang. Abang bersalah kerana tidak percayakan Lisa.” Bisik Rayyan sendiri.

“Kalau awak dah ambil duit ini kenapa awak pulangkan duit ini?” Soal Rayyan Hafiz.

“Saya tak boleh terima duit hasil perkara haram yang saya lakukan. Isteri saya enggan dibedah bila dia tahu saya terima duit dari Datin. Dia lebih rela mati dari dibedah menggunakan duit ini.”

**********

Part 2

Rayyan Hafiz melempar sampul surat ke atas meja kopi setelah masuk ke ruang tamu.

“Apa semua ni, mama? Cakap dengan Rayyan apa semua ini?” Soal Rayyan. Kalau diikutkan hatinya mahu ditengking mamanya. Tetapi mengingatkan wanita di hadapannya ini adalah mama yang melahirkannya dia sabarkan hatinya.

“Rayyan! Kenapa ni?” Tanya Dato’ Ariff.

“Ayah tanyalah mama. Apa yang telah mama buat pada isteri Rayyan?” Sebak di dada Rayyan sudah tak terkira. Lebih-lebih lagi mengenangkan isteri yang sedang sarat hamilkan anaknya.

“Su, apa yang telah Su buat pada menantu kita?” Soal Dato’ Ariff.

“Dia bukan menantu Su.” Jawab Datin Sufiah sombong.

Astagfirullahalazim…….Kenapa dengan Su ni?” Tanya Dato’ Ariff.

Datin Sufiah mengambil sampul surat yang dicampak anaknya tadi. Tangannya sudah mengigil ketakutan. Adakah rancangannya dan Wanda sudah bocor. Siapakah yang membocorkannya. Adakah Wanda atau Lisa sendiri.

“ Duit apa ni Rayyan?” Tanya Datin Sufiah kembali.  Berpura-pura tidak tahu.

“Inilah duit upah yang mama bagi pada lelaki dalam bilik Rayyan supaya menghancurkan rumah tangga Rayyan. Rayyan tak sangka mama Rayyan sendiri tergamak upah orang untuk musnahkan kehidupan anak mama sendiri, cucu mama dan menantu mama.”
“Rayyan percaya cakap perempuan tu?” Soal Datin Sufiah.

“Perempuan yang mama sebut tu ada nama. Namanya Lisa. Isteri Rayyan langsung tak terlibat mama. Lelaki yang mama dan Wanda upah tu yang datang berjumpa dengan Rayyan dan serahkan duit ini kembali. Rizal namanya”

Tak guna Rizal. Kau dah bocorkan rahsia aku dan Wanda. Gerutu Datin Sufiah dalam hati.

“Apa yang telah Su buat?” Abang tak sangka isteri abang tergamak aniaya anak dan menantu sendiri. Lisa tu sedang hamilkan cucu sulung kita, Su. Su sepatutnya gembira sebab kita akan dapat cucu tak lama lagi.” Kesal Dato’ Ariff dengan isterinya.

“Perempuan tu hanya nakkan harta kita bang.” Datin Sufiah masih menuduh Lisa hendak merampas harta mereka.

“Harta siapa? Semua tu datangnya dari hasil peninggalan arwah ibu dan bapa abang. Su juga berasal dari keluarga susah. Adakah Su juga tamakkan harta keluarga abang?” Bidas Dato’ Ariff. Selama ini dibiarkan saja isterinya kerana dia sangat sayangkan isterinya.

“Abang!! Tergamak abang tuduh Su macam tu.” Naik turun dada Datin Sufiah kerana marah. Tahu pulak marah.

“Tahu pulak Su marah. Macam tu jugalah dengan menantu kita tu. Lisa juga tak tamakkan harta kita. Tergamak Su tuduh menantu kita macam tu.” Dato’ Ariff kesal dengan sikap isterinya.

“Su tak sukakan Lisa menjadi menantu kita. Su nak Rayyan menikah dengan Wanda. Wanda tu barulah setaraf dengan kita.” Mengigil Rayyan menahan marah bila mendengar permintaan mamanya. Masih tak insaf mamanya. Sebelum dia bersuara , ayahnya terlebih dahulu bersuara.

“Lagi-lagi Wanda yang Su suka. Sedar tak apa yang Su lakukan hanyalah memusnahkan kehidupan Rayyan? Wanda tu perempuan yang sudah rosak.” Melengking suara Dato’ Ariff.

“Tak baik abang cakap macam tu.” Sangkal Datin Sufiah. Masih percaya Wanda bukan macam apa yang dicakapkan suaminya.

“Abang cakap apa yang abang lihat dengan mata abang sendiri. Dah banyak kali abang terserempak dengan Wanda masuk ke bilik hotel sambil berpeluk sakan. Sebab tu abang bantah bila Su nak jodohkan Rayyan dengan Wanda.”

“Su tak percaya!” Mendidih darah Datin Sufiah mendengar tuduhan suaminya.

“Betul tu mama. Rayyan juga tahu perangai Wanda. Dah banyak lelaki tidur dengan Wanda. Tak kiralah lelaki tu tua atau pun muda. Semuanya dia sapu.” Sokong Rayyan.

Datin Sufiah diam. Tak tahu nak percaya atau tidak kata-kata dari suami dan anaknya.

“Abang tak tahu bagaimana nak terangkan lagi pada Su. Abang harap Su jangan pandai-pandai nak jodohkan Rayyan dengan Wanda. Abang tak suka. Rayyan dah pun ada isteri dan bakal menimang anak tak lama lagi.” Amaran Dato’ Ariff berikan pada isterinya.

“Tapi Su sukakan Wanda. Sejak mula lagi Su tak suka dengan Lisa. Tak suka Lisa menjadi menantu kita.”

  **********
Part 3 (last part) 



Pengesahan talak mereka dilakukan di mahkamah. Lisa ke sana ditemani Lynn dan Hisyam Zafril.


“Lisa……Maafkan abang. Abang bersalah dengan sayang.” Lisa tahu Rayyan menyesal dengan apa yang telah berlaku.


“Lisa dah maafkan abang.” Ujar Lisa Adrianna perlahan. Ini adalah pertemuan mereka yang pertama setelah dia di halau keluar dari rumah itu. Selama ini dia menghilangkan diri tanpa dapat dikesan oleh Rayyan.

“Tak bolehkah Lisa maafkan kami, demi anak yang Lisa kandung?” Dato’ Ariff berharap Lisa akan kembali rujuk bersama anaknya.

“Saya pergi sebab dihalau Dato’. Anak dan isteri Dato’ yang mahu saya pergi. Bagaimana mengilanya rindu saya pada anak Dato’. Saya terpaksa bertahan demi anak yang saya kandung. Jika tidak dah lama saya jadi gila. Gila dengan dugaan demi dugaan yang terpaksa saya tempuhi.” Ucap Lisa Adrianna dengan mata yang bergenang dengan air mata. Kelihatan Rayyan turut mengusap air mata yang mengalir. Matanya merah menahan tangisan.


“Maafkan mama. Mama bersalah pada Lisa.”Datin Sufiah mendekati Lisa.

“Datin tak salah, yang bersalah adalah Lisa. Lisa yang tak sedar diri masuk ke dalam keluarga Datin. Maafkan Lisa kerana pernah menjadi menantu yang Datin tak restui.”

“Abang, maafkan Lisa. Halalkan segala-galanya. Abang pernah memiliki Lisa. Tapi jodoh kita tak panjang. Mungkin bukan jodoh kita untuk bersama. Pergilah, pergi dari hidup Lisa. Jangan toleh lagi. Lupakan Lisa. Teruskan hidup abang tanpa Lisa.” Kata-kata Lisa Adrianna menusuk ke jantung Rayyan Hafiz.

“Lisa……..Maafkan abang.”

“Lisa dah maafkan abang. Air matanya diusap perlahan. Baby dalam perutnya bergerak-gerak. Diusapnya lembut. Sayang maafkan mama. Getus Lisa dalam hati.

“Abang…….Perceraian kita akan sah setelah Lisa melahirkan anak ini.  Lisa harap abang berbahagia dengan siapa saja yang abang pilih.” Ucap Lisa sebelum bergerak menuju ke kereta Hisyam Zafril. Mata Lynn turut basah mendengar kata-kata dari Lisa.  

“Lisa! Terimalah abang kembali.” Rayu Rayyan setelah melihat Lisa masuk ke dalam kereta Hisyam Zafril.

“Berikan Lisa masa Rayyan. Hatinya terluka dengan apa yang berlaku. Letakkan diri Rayyan di tempat Lisa.” Nasihat Dato’ Ariff. Tubuh Rayyan dipeluk untuk memberikan kekuatan.

“Rayyan tak boleh ayah. Rayyan tak mampu berjauhan dengan Lisa. Bagaimana dengan anak kami?” Soalnya sambil mengesat air mata. Kereta yang dipandu Hisyam Zafril telah jauh meninggalkan dia yang masih berdiri di situ.

“Berdoalah pada Allah semoga jodoh Rayyan tetap bersama Lisa.” Pujuk Dato’ Ariff. Hatinya sendiri turut merasa sedih dengan apa yang berlaku. Ya-Allah! Bahagiakanlah mereka berdua. Jodohkanlah mereka kembali. Hanya Lisa menantuku. Doa Dato’ Ariff. Matanya turut berkaca melihat kesedihan anaknya.

Datin Sufiah turut mengesat air mata. Segalanya kerana dia yang membuat onar. YaAllah! Ampuni dosaku. Dia menyesal kerana terlalu mengikut kata hati. Bukan mudah dia hendak meraih kembali kemaafan dari anak dan suaminya.



** Harap pembaca berpuas hati. Sudilah komen penulisan kak Reen.Sebab panjang sangat, kak Reen masukkan part yang tertentu saja.



2 comments:

  1. lama betul tak jengah blog kak reen... rindu nak baca story lisa dgn rayyan. Alhamdulillah terubat juga akhirnya. terima kasih kak reen. btw kak reen ade ke story kak reen ni ada yang telah di cetak? kalau ada apa tajuknya ya?

    from eity ahmad

    ReplyDelete
  2. Best sangt2...Cte rayyan dan lisa nie lagi bgus klau d novel kn..sory bru komen blog akak reen...btw semua best2 jerr yg sya baca.

    ReplyDelete