Reenzarini

Thursday 26 March 2015

JUJUR AKU MENCINTAIMU 2



BAB 2
           
“YA-Allah! Bantulah hamba-MU ini dalam menjalani hari-hari yang mendatang.” Apa yang dapat aku lakukan hanyalah berdoa.

Setiap yang berlaku mungkin ada hikmahnya. Takdir Allah itu tiada cacat celanya. Mestikah aku mempertikaikannya? Ah, tidak bersyukur namanya. Rintih aku dalam hati.

Teringat semula perbincangan dengan ayah dan ibu beberapa hari yang lalu. Wajah ayah dan ibu yang penuh dengan pengharapan. Tak tergamak aku menghampakan harapan mereka. Tapi bagaimana dengan hati aku?

“Kenapa ayah dan ibu panggil Nia balik?” Tanyaku setelah berada di ruang tamu.

Mereka saling berpandangan. Pandangan mata mereka seperti menyatakan ada yang hendak mereka bincangkan denganku. Hatiku keresahan.
           
“Nia…….sebenarnya Nia dah dipinang orang.”

“Aduh ayah! Siapa pula yang kelabu mata nak pinang Nia ni ayah?” Tergelak aku. Aku menyangka hanya usikan ayah seperti selalu.

“Dato’ Amar dan Datin Ariana dah berkenan nak jodohkan Nia dengan anak lelaki mereka.” Beritahu ayah sambil memandangku.

“Dato’ Amar mana pula ni ayah? Selama ini Nia tak tahu pula ayah ada kawan yang berpangkat Dato’?” Soalku.

“Beberapa minggu yang lalu kami terserempak dengan mereka. Kemudian kami mengundang mereka ke sini. Mereka adalah jiran kita sewaktu tinggal di Selangor.” Ayah menceritakan pertemuan semula dengan temannya itu. Kiranya seperti jejak kasihlah!

“Bagaimana mereka boleh berkenan nak bermenantukan Nia? Mereka pernah tengok Nia ke ayah?” Soalku pada ayah.

“Mereka ada terlihat potret Nia dan berkenan nak jadikan Nia menantu mereka,” sampuk ibu pulak.

Mereka berkenan setelah melihat gambar aku. Cantik sangatkah aku hingga mereka nak jodohkan aku dengan anak mereka?

“Gambar Nia yang mana satu ibu?” Soalku ingin tahu. Gambar yang ada semuanya gambar lama. Gambar Zaman aku comot pulak tu. Gambar terbaru ada di rumah sewa.

“Gambar dekat  atas rak tu,” tunjuk ibu.

“Hah! Gambar Nia pakai baju sekolah masa tingkatan enam tu?” Tanya aku inginkan kepastian.

Aduh! Itu gambar sewaktu aku remaja dulu. Mana nak sama dengan aku yang dah meningkat dewasa ini! Getusku.

“Yalah, Nia! Takkanlah nak tunjuk gambar ibu pula.” Sempat ibu buat lawak.

“Nia……Tolonglah pertimbangkan permintaan mereka,” pujuk ayah.

“Yalah Nia…….. Mereka tu baik sangat. Tak sombong. Nia akan bahagia dapat mertua macam mereka.” Pujuk ibu pulak.

Memanglah bahagia kalau dapat mertua macam mereka. Tapi bagaimana pula dengan anak mereka? Elokkah perangainya? Buatnya perangai macam hantu! Teruk aku.

“Ini soal masa depan Nia, ibu. Nia tak kenal pun siapa mereka. Anak mereka lagilah Nia tak kenal. Nia tak nak tersalah buat pilihan. Lagi pun permintaan mereka itu mendadak saja. Nia rasa tersepit nak buat keputusan.” Ucap aku perlahan.  Serba salah aku dibuatnya.

“Ayah tahu. Tapi ayah berharap sangat dapat berbesan dengan mereka. Nia pun pernah minta kami yang tentukan soal jodoh Nia.”  Lebih kepada memujuk sebenarnya.

Alamak! Apa harus aku lakukan? Aku juga cakap nak biarkan ibu dan ayah yang tentukan jodoh aku. Kini mereka nak jodohkan aku dengan anak kenalan mereka. Haruskah aku menerimanya?

“Nia bukan nak jadi anak derhaka tapi bagilah Nia masa untuk buat keputusan,”  pintaku sambil melutut di kaki mereka. Kalau boleh aku tak mahu melukakan hati mereka. Tapi bagaimana pula dengan hati aku? Bolehkah aku terima pilihan mereka?

“Kami tak paksa Nia. Nak terima atau tidak, itu terpulang pada Nia. Ambillah masa untuk membuat keputusan. Tapi janganlah lama sangat, tak baik biarkan orang tertunggu-tunggu.” Nasihat ayah. Pasti cadangan mereka diterima oleh Rania Adira kerana anak itu tak pernah menghampakan mereka.
**********
 “Bagaimanakah penerimaan anak lelaki Dato’ Amar dan Datin Ariana? Adakah dia juga tersepit macam              
aku? Adakah dia bersetuju dengan permintaan Dato’ Amar dan Datin Ariana? Perlukah aku berkorban demi
hubungan Dato’ Amar dan ayahku? Kalau tak jadikan aku menantu mereka. Hubungan persahabatan kedua
belah pihak masih dapat diteruskan.” Soalku sendiri.

“Apakah keputusan yang dapat aku berikan. Agak susah untuk membuat keputusan. Hatiku runsing memikirkan semua ini. Pada siapakah harus aku merujuk?” Rintih aku sendiri.

“Azira!” Jerit aku tiba-tiba. “Kenapalah aku terlupakan teman baikku, Azira?” Segera aku hubungi                 
teman  baikku itu.

“Zira! Kau ada masa tak malam nanti?” Soalku pada Azira. Dia adalah sahabat baikku.

“Malam ni? Aku free, kenapa? Kau dah rindu dengan aku ke?” Usik Azira. Walaupun tinggal di rumah sewa yang berasingan tapi hubungan persahabatan kami sejak belajar dulu tak pernah terputus.

“Iyelah! Rindu lama tak jumpa kau.” Balas aku.

“Nak jumpa dekat mana?” Tanya Azira sambil tergelak.

“Nanti aku jemput kau. Rumah sewa kita pun bukannya jauh mana. Aku perlukan sangat kau malam ini.”

Weh! Seramlah aku dengar rayuan kau.” Usik Azira.

“Please! Bila kita jumpa nanti aku ceritakan pada kau.”

“Okey! Jemput aku lapan setengah malam. Janji, kau belanja aku.”

“Baiklah, aku belanja kau nanti.” Janjiku.

“Cantik tu! Tak sabar aku nak tahu apa yang penting sangat kau nak ceritakan pada aku,” balas Azira.

“Jumpa malam nanti! Assalamualaikum……”Ujarku

“Waalaikumussalam………”

**********

Hijaz Saufi pulang ke rumah setelah pukul dua pagi. Suasana ruang tamu yang suram membuatkan penglihatannya terhad.

“Baru balik! Apa nak jadi dengan kau, Hijaz? Waktu macam ni baru nak balik.” Sergah Dato’ Amar setelah lampu menerangi ruang tamu.

“Abah! Tak tidur lagi?” Soal Hijaz Saufi.

“Sampai bila Hijaz nak jadi begini?” Sedih melihat anak yang sering pulang dalam keadaan mabuk.

“Abah!Esok kita bincang lagi. Kepala Hijaz pening. Hijaz masuk bilik dulu!” Hijaz melangkah menuju ke tangga tanpa mempedulikan panggilan abahnya.

“Hijaz!! Abah tak habis bercakap dengan Hijaz lagi.” Dato’ Amar menekan dadanya. Tiba-tiba dia jatuh pengsan.

Prangg!! Bunyi kaca terhempas membuatkan Hijaz berpaling ke belakang. Dilihat abahnya sudah terdampar di lantai. Kaca dari meja berdekatan sudah pecah berderai. Mungkin abahnya terjatuh atas meja kaca itu. Darah sudah membasahi tubuh Dato’ Amar yang terluka.

“Abah! Kenapa abah?” Tanya Hijaz. Mata yang layu tadi kembali segar. Mengeletar tubuhnya sewaktu memangku kepala abahnya.

“Abah! Maafkan Hijaz.”

“Hijaz! Kenapa dengan abah.” Tanya Datin Ariana yang baru turun ke ruang tamu. Tadi dia terdengar bunyi kaca pecah.

“Hijaz tak tahu mama.” Ujar Hijaz. Dia terasa bersalah kerana tidak peduli dengan kata-kata abahnya sebentar tadi.

“Abang…….Jangan tinggalkan Ana. Bukalah mata bang.” Luka di tangan suaminya di tekap dengan bajunya.

“Hijaz telefon ambulan.” Arah Datin Ariana.

 Segera Hijaz keluarkan telefon dari poket seluarnya, lantas didail ambulan.

**********

“Bagaimana dengan suami saya doktor?” Tanya Datin Ariana pada doktor yang bertugas.

“Dato’ Amar terkena serangan jantung. Mujur tak teruk dan cepat dibawa ke hospital.”

“Bagaimana keadaan dia sekarang?”

“Dato’ dah sedar dan sedang berehat. Tak dibenarkan pelawat. Kalau boleh biarlah Dato’ berehat. Hanya keluarga terdekat saja yang boleh melawat.”

“Terima kasih doktor.”Ucap Datin Ariana.

“Hijaz! Lebih baik Hijaz balik.” Sakit hatinya melihat Hijaz sejak sampai hanya tidur. Semuanya penangan air setan itu.

“Mama! Bagaimana dengan abah?”

“Buat apa Hijaz nak ambil tahu lagi pasal abah? Puaslah hati Hijaz, tengok abah macam tu” Marah Datin Ariana.

“Mama, maafkan Hijaz. Hijaz tak sengaja nak sakitkan hati abah.”

“Pergi balik! Bersihkan diri tu dulu. Malu mama ada anak macam Hijaz.” Bau arak dari tubuh anaknya membuatkan tekaknya loya.

“Mama!”

“Pergi balik!!” jerkah Datin Ariana.Hilang kelembutannya selama ini.

“Hijaz balik dulu mama.” Lemah Hijaz berjalan keluar dari wad kecemasan.

Datin Ariana menangis seorang diri. Menyesali nasib yang menimpanya. Tak sanggup rasanya berpisah dengan suami tercinta. Ya - Allah jangan ambil suamiku. Doa Datin Ariana dalam hati.

No comments:

Post a Comment