Reenzarini

Saturday 15 February 2014

HANYA ENGKAU YANG TAHU 7



BAB  7

            Hari minggu begini, Hajaratul Qistina lebih selesa memandu sendiri ke pusara arwah   Ekmal dan Azlan. Pada abang Omar dikatakannya, dirinya ingin bersendirian. Mujurlah abang Omar akur dengan permintaannya itu. Tapi kalau abah dapat tahu , teruk juga abang Omar kena marah dengan abah.

            Qis parkir kereta berhampiran beberapa buah kereta. Pagi yang tenang, dengan tiupan angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa, menyambut kedatangan Qis.

            "Assalamualaikum ahli kubur, "kata Qis perlahan. Qis menjejakkan kakinya dengan lafaz bismillah.

            "Bismillahirrahmanirrahim……"

            Qis mengeluarkan tikar yang selalu disimpan  di tempat menyimpan barang, di belakang kereta. Tikar kecil itu telah sedia ada  di dalam keretanya. Langkah diatur dengan tenang, menuju ke pusara arwah suaminya dan pusara arwah Azlan.

            Tidak berapa jauh dari pusara arwah , dirinya  perasan seorang lelaki sedang mengalunkan surah yasin. Suara yang mengalunkan surah yasin , merdu sampai kependengarannya. Dipandangnya   belakang lelaki itu.  Lelaki yang samakah yang pernah dilihatnya membaca surah yasin di situ? Itu pun setahun yang lalu.

            "Assalamualaikum  abang , assalamualaikum Azlan. Qis datang lagi melawat abang dan Lan." Kata Qis perlahan.

            Tikar yang dibawanya, dibentangkan berhampiran pusara arwah  Ekmal dan arwah Azlan. Kemudian dia duduk bersimpuh membaca surah yasin.Surah yasin yang sejak dulu telah dihafalnya. Matanya hanya tertumpu di pusara suaminya.  Kini dirinya sudah boleh bertenang.  Tangisan  juga dapat ditahan supaya tidak mengalir. Tidak mahu arwah suaminya terseksa jika dirinya menangis.Cuma kadang-kadang dirinya agak terbawa-bawa dengan emosi jika sudah merindui  arwah suaminya.

            Usai membaca surah yasin, dia berdoa untuk arwah suaminya dan juga arwah Azlan. Perlahan dia menyiram pusara arwah suaminya dan arwah Azlan. Begitu juga dengan kelopak bunga mawar putih yang dibawa tadi. Ditaburkan di atas pusara mereka berdua.

            Batu nisan arwah suaminya dia pegang. Dia bayangkan dia sedang memeluk suaminya. Semoga terubat segala kerinduan dia pada arwah Ekhmal.

            "Abang, Qis rindukan abang. Qis sunyi hidup sendiri."Bila terasa  matanya bergenang  ditubir matanya . Dia  menguatkan hatinya untuk tidak menangis. Tikar yang dibentang tadi, digulungnya semula. Tidak mahu berlama di situ takut dia menangis.

            "Abang,  Lan , Qis balik dulu. Ada masa Qis datang lagi. Bersemadilah abang dan Lan dengan aman. Qis akan sentisa mendoakan abang dan Lan di sana. Assalamualaikum….jumpa lagi." Airmata yang hampir menitis ditahannya  sebaik  mungkin supaya tak menitis. Tidak mahu menyeksa arwah di sana.

            Setelah menyimpan tikar , dia masuk ke dalam kereta. Enjin kereta dihidupkannya. Penghawa dingin kereta dipasang. Pintu kereta  dikunci untuk keselamatannya. Dari dalam kereta , dia memandang pusara arwah suaminya dan Azlan. Lama juga dia memandang pusara mereka dari jauh.  Airmata yang menitis laju dipipi, diusap dengan jarinya. Dia menutup mulutnya dengan tapak tangan supaya suara tangisannya  tidak kedengaran.

            "Allah ! Engkau tabahkanlah hatiku. Aku tak ingin menyeksa  arwah suamiku di sana."

            Dilambaikan tangan pada pusara arwah suaminya dan Azlan. "Selamat tinggal abang, Qis balik dulu. Lain kali Qis datang lagi, " janjinya.
           
            Perasan seperti ada mata yang memandangnya  , terus dia jatuhkan tangannya. Entah siapa yang berada di dalam kereta sebelah? Entah orang tu ingat dia dah gila agaknya hingga melambai pada pusara yang kaku sejak tadi.

            Kereta yang bercermin gelap itu tentu ada pemandunya kerana enjin kereta itu terpasang sejak tadi. Biarlah, siapa pun orang tu. Apa dia peduli. Luah Hajaratul Qistina dalam hati.

            Semasa Qis mengundurkan kereta. Dia perasan, kereta abang Omar juga ada di sana.

            "Tak mengapalah , kalau itu sudah tanggungjawabnya untuk menjaga aku. Aku faham. Dia tak boleh lepas tangan begitu saja. Kalau itu sudah tugasnya. Aku akur." Bisik Qis perlahan.

              Hajaratul Qistina memandu perlahan keluar dari perkarangan tanah perkuburan. Perlahan saja dia memandu keretanya. Sisa air mata, dikesat dengan jarinya.

            Dia memandu masuk ke garaj setelah gate automatic di buka.  Dirinya perasan ada sebuah kereta mewah yang berhenti di depan pagar rumah sebelah.

            Sebelum masuk ke dalam rumah, dia  melihat bunga-bunga mawar di halaman rumahnya. Masih basah. Tentu kak Hani telah menyiram pokok-pokok bunga mawar ini. Diciumnya  sekuntum mawar putih.

            "Wangi, "bisik Qis. Penat menilik pokok bunganya.  Dia duduk berayun di buaian besi di halaman rumahnya. Angin petang yang bertiup, nyaman terasa.Wangi bau harum bunga mawar, sesekali dapat dihidunya.

             Halaman rumahnya dipenuhi dengan bunga mawar berbagai warna. Setengah dari pokok itu dibelinya dan ada juga pokok bunga mawar itu yang mama belikan untuknya. Kini sudah berpuluh pokok bunga mawar ditanamnya. Memang menarik bila halaman rumahnya dipenuhi  dengan berbagai warna bunga mawar. Wangi bau bunga mawar yang sedang berkembang itu.

             Semua ini adalah impian dia dan arwah Ekmal untuk menanam pokok bunga mawar di halaman rumah mereka. Sekurang-kurangnya dia akan tenang dan damai bila berada di taman bunga mawar ini. Terasa begitu dekat dengan arwah Ekhmal.Walaupun sudah hamper setahun berlalu, tapi hatinya masih kuat mengingati arwah suaminya.

            Rumahnya  juga  tidak  jauh  dari rumah mertuanya. Jika ada kelapangan, mama juga akan  menziarahinya  bersama  dengan  abah. Kalau dia ada kelapangan, dia juga akan ke rumah mereka.
           
            Kelihatan kak Hani keluar menatang dulang untuk  minum petang. Dulang itu kak Hani letakkan di meja batu tak jauh dari tempat dia duduk. Perlahan dia menghayun buaian.

            "Akak dah siram  semua pokok-pokok bunga  tu, Qis. "Kata kak Hani tanpa Qis bertanyakan kepadanya.

            "Lain kali, tak payahlah Kak Hani siram pokok-pokok ini. Qis boleh siram sendiri. Akak , kan banyak kerja nak dibuat, "kata Hajaratul Qistina..

            "Tak mengapalah  Qis. Setelah siap memasak tadi,  tak ada kerja nak buat. Bukan apa sangat pun. Setakat nak siram semua pokok tu bukannya susah pun, " jawab  kak Hani.

            "Syirah….. sini, dekat dengan auntie Qis ," Dia mengamit anak bongsu kak Hani yang sedang memakai kasut di muka pintu. Terkedek-kedek anak itu mendekatinya. Qis mendukung anak comel itu  dan  diletakkannya  di atas pahanya. Pipi tembam itu dicium bertalu-talu. Geram dia melihatnya. Kalaulah dia ada anak sebegini comel,alangkah bahagianya dia.

            "Wanginya Syirah, dah mandi ke?" Tanya Hajaratul Qistina.
           
            "Sudah,  Syirah pakai bedak yang auntie Qis belikan untuk Syirah, "jawab Syirah manja Pipi Qis  pula jadi mangsa ciuman Insyirah.

            "Patutlah wangi anak auntie ni. Mana kak Nina?" Tanya Qis pada Syirah. Selama ini anak-anak itulah penghiburnya sejak kematian abang Ekmal.
           
            "Kak Nina tengok tv, "jawab Syirah petah. Walaupun baru berumur tiga tahun tapi mulutnya petah berbicara. Tengkuk Qis pula dipaut  kedua belah tangan kecil Syirah.

            "Auntie Qis!" Jeritan  Hanina membuatkan Qis memandang ke pintu rumah. Kelihatan Nina  sedang berlari mendekatinya.
           
            "Jangan berlari sayang , nanti terjatuh." Kata Qis pada Hanina. Kak Hani hanya  memerhati anak-anaknya. Anak-anaknya sering dimanjakan oleh Qis.

            "Auntie……"tangan Qis tak lupa disalam Hanina sebelum tubuh Qis  dipeluk .

            "Adik,  sudahlah tu. Biar kak Nina pula peluk auntie Qis." Tubuh adiknya ditolak perlahan. Cuba meleraikan tangan adiknya yang sedang memeluk tengkuk auntie Qis.

            "Adik baru saja nak peluk auntie Qis." Muncung mulut anak kecil itu sudah sedepa membuatkan  Qis tergelak kecil.

            "Sini, dua-dua auntie peluk." Qis menarik Hanina duduk di sebelahnya. Keduanya di peluk.

            "Nina, Syirah , jangan kacau auntie Qis nak minum. Pergi main basikal dekat sana." Kak Hani mengarahkan anak-anaknya jangan menggangguku. Anak-anak itu memang jenis yang mendengar  kata.   Berlari mereka mendapatkan basikal yang aku belikan untuk mereka  berdua.

           
            "Abang Omar mana, kak Hani? "Tanya Qis bila dia perasan, abang Omar belum muncul sejak dia sampai tadi. Padahal dia tahu abang Omar berada di tanah perkuburan. Masakan sampai sekarang belum tiba.Mungkin abang Omar singgah di mana-mana?

            "Sekejap lagi baliklah tu, ada hal sikit dekat luar tu" beritahu kak Hani.

            "Kak Hani dah masakkan untuk Qis. Nanti bila nak makan Qis panaskan dulu."

            "Akak bawalah balik buat makan malam nanti. Tinggalkan sedikit untuk Qis. Bukan banyak pun Qis makan, "jawab Hajaratul Qistina.

            "Baiklah  Qis, nanti akak ambil buat makan malam." Sesekali kak Hani menegur anak-anaknya.

            "Qis makanlah, akak ada kerja lagi dekat dalam. Akak masuk dulu. Qis tengokkan budak-budak ni sekejap."

            "Baiklah kak Hani. Kak Hani masuklah dulu. Jangan risau Qis ada. Nanti Qis tengokkan mereka."  Janji Hajaratul Qistina.

            'Hanina, Syirah…..sini temankan auntie minum, "ajak Qis.

            Berlari anak-anak itu mendekatinya. Berebut mereka untuk duduk di atas paha Qis. Qis tarik tangan mereka berdua duduk di kerusi batu.

            "Pergi basuh tangan." Arah Qis pada mereka berdua.. Berlari mereka berdua  mendapatkan getah paip yang terdapat di situ. Qis hanya mengelengkan kepala bila  melihat telatah mereka. Sekali lagi mereka berlari mendekatinya semula. Berebut-rebut  mereka hendak duduk disebelahnya.

            "Jangan berebut.  Nina duduk sini,  Syirah pula duduk di sini." Qis aturkan tempat duduk mereka. Terhibur Qis dengan telatah anak-anak itu.


No comments:

Post a Comment