Reenzarini

Friday, 6 December 2013

BILA CINTA MULA BERBISIK 9



BAB 9
            "Cepatlah aku dah dahaga ni !" Panggil Ady Ikram kuat. Tak lama kemudian muncul Alya menatang dulang yang berisikan air milo. Dulang itu diletakkan di atas meja.

            "Abang Ady minumlah air milo ni tapi masih panas. " Alya duduk disebelah Ady Ikram dan menyendukkan mee goreng untuk Ady Ikram. Untuk dirinya disenduk sedikit saja mee goreng itu. Entahlah rasa macam tak ada selera nak makan.

            "Mak Nab …..mana mak tuk dan tuk ayah? Dari tadi Ady tak nampak mereka? "Tanya Ady Ikram bila mak Nab muncul dari dapur.

            "Datuk dan Datin dah ke pejabat. Ada mesyuarat hari ini." Jawab mak Nab.

            "La! Kenapa tak cakap dengan Ady, selama ini Ady pun selalu menghadiri setiap mesyuarat yang diadakan?" Tanya Ady Ikram.

            "Datuk dan datin cakap tak payah  . Alya tak sihat. Datin pesan biar Ady jaga Alya yang tak sihat," jawab mak Nab.

            "Dah besar panjang macam tu pun nak suruh orang jaga, mengada-ngada !" Kata Ady Ikram sebelum berlalu ke ruang tamu.

            "Alya! Jangan ambil hati dengan Ady tu. Lepas makan nanti, Alya makan ubat ni." Beberapa paket ubat mak Nab serahkan pada Alya. Datin Aminah telah berpesan padanya supaya menjaga Alya. Ady Ikram? Bukannya boleh harap sangat dengan Ady tu.

            "Baiklah mak Nab nanti Alya makan, " jawab Alya. Mak Nab terus ke dapur menyiapkan kerjanya.

            Setelah mengemas meja makan, Alya ke bahagian belakang rumah untuk membasuh pakaiannya dan Ady Ikram. Dimasukkan pakaian kotor suaminya dan pakaian dirinya ke dalam mesin basuh. Pakaian pengantin mereka diasingkan kerana kata mak tuk pakaian itu akan dihantar ke cucian kering. Entahlah dirinya pun tak tahu bagaimana cucian kering tu. Ikut sajalah kata mak tuk.

            "Lah! Dekat sini rupanya Alya. Puas mak Nab cari Alya. Ingatkan Alya dah naik ke bilik untuk berehat." Terkejut Alya bila ditegur dari belakang.

            "Mak Nab….terperanjat Alya. Kenapa mak Nab cari Alya ke?" Soalnya pada mak Nab.

            "Ni mak Nab nak tanya Alya. Hari ini Alya nak makan apa? Alya cakap saja nanti mak Nab masak." Mak Nab kalau dengan Alya ,apa saja makanan kesukaan Alya di masaknya.Maklumlah dia sendiri tak ada anak. Pada Alya Maisarah dan Ady Ikram saja tempat dia tumpang bermanja.

            "Apa saja mak Nab masak Alya makan. Abang Ady nak makan apa?" Soal Alya pada mak Nab.

            "Ady tu….apa mak Nab masak semuanya dia makan." Ady Ikram memang seorang yang tak cerewet pasal makan. Semua yang dimasak dia bedal .

            "Alya….mak Nab dah pesankan, biar mak Nab buat semua ni. Nanti datin Aminah marahkan mak Nab biarkan Alya buat kerja. Tengok tu dahi Alya pun masih ada kesan benjol. Jom ikut mak Nab ke dapur. Biar mak Nab tuamkan dahi Alya tu."Tangan Alya ditariknya dengan lembut. Alya mengikut saja bila tangannya ditarik oleh mak Nab.

            "Duduk sini, arah mak Nab." Alya mengikut saja arahan mak Nab. Mak Nab mengambil sesuatu di dalam mangkuk.

            "Apa tu mak Nab?" Soal Alya Maisarah.

            "Telur rebus ! Buat tuam dahi Alya yang benjol tu." Jawab mak Nab.

            "Kepala abang Ady pun benjol mak Nab," beritahu Alya malu-malu.

            "Mak Nab tahu. Mak Nab dah suruh dia tuam kepalanya sendiri." Entah apa-apalah pengantin baru berdua ni. Baru semalam dah benjol-benjol kepala. Ganas betul. Gumam mak Nab dalam hati.

            "Biar Alya tuam sendiri mak Nab. Mak Nab kan banyak kerja nak buat." Telur yang berbungkus dengan tuala nipis itu diambil dari tangan mak Nab. Dituamnya di dahi yang benjol itu.

            "Alya!! "Jerit Ady Ikram dari ruang tamu.Terperanjat Alya hingga terlepas bungkusan telur ayam yang dibungkus dengan tuala nipis itu.

            "Apa hal dengan Ady tu Alya ?Asyik menjerit saja kerjanya. Dah kena fenomena menjerit ke? Soal mak Nab sambil gelak. Tak habis-habis nak protes Ady tu.  Dapat teman tidur malam pun masih lagi nak protes. Apa lagi yang tak kena entahlah?Gumam mak Nab dalam hati.

            "Alya!! Terdengar jeritan Ady Ikram lagi. Apalah yang Ady Ikram mahu dari Alya .

            "Alya ke depan dulu  mak Nab. Lambat-lambat nanti runtuh pula rumah ni." Gelak Alya dan mak Nab bersatu.

            "Ada apa abang panggil Alya?"Tanya Alya lembut. Dengan singa ni kena cakap lembut-lembut takut kena baham pula.Ya- Allah berdosa pula gelarkan suami aku singa. Rasanya hanya gelaran itu yang sesuai kut. Gelaknya dalam hati.
           
           "Kau ke mana Alya? Dari tadi aku menjerit panggil nama kau , macam nak tercabut anak tekak aku ni." Marah Ady Ikram. Alahai! Kenapalah dengan Ady Ikram ni. Tak habis-habis nak menyinga dengan Alya. Asyik nak cari pasal saja kerjanya. Mujurlah Alya tu boleh bersabar dengan kerenah Ady Ikram tu.

            "Alya sedang basuh baju dekat belakang tu, kenapa abang panggil Alya?" Tanya Alya lagi.

            "Abang Ady nak makan asam pedas, boleh Alya buatkan untuk abang Ady? Boleh pula buat baik kalau nak minta sesuatu. Kalau tidak tu…. aku ,kau saja bahasanya sejak menikah dengan Alya.

            "Boleh…..nanti Alya buatkan untuk abang. Ada apa-apa lagi yang abang nak Alya masakkan untuk abang?" Tanya Alya.

            "Kau ingat aku nak melantak macam kau tu." Badan Alya dipandang atas bawah. Nak perli  la tu.

            Kurus pula aku tengok Alya ni. Sejak bila dia mula kurus ni . Cuma muka Alya masih nampak chubby tapi comel,puji Ady Ikram tanpa sengaja. Patutlah semalam senang saja dia mencempung Alya ke katil. Malam ni kalau ada peluang nak cuba lagi. Dia kan bini aku,dah halal pun. Buat apa aku tengok saja. Bodoh betul aku ni. Tapi ego mau ada babe!Gumamnya dalam hati.

            "Tak adalah saja Alya tanya , kalau-kalau abang nak makan benda lain lagi?"Perlahan Alya bertanya.

            "Aku nak makan kau, boleh." Tanya Ady Ikram sambil merenung Alya dengan pandangan mata nakal.. Menyampah Alya tengok muka gatal Ady Ikram.

            "Abang jangan nak mengarut boleh tak?" Geram Alya dengan Ady Ikram.Laju Alya berlalu dari situ. Tiba di dapur Alya mengurut dadanya yang berdebar.

            "Kenapa Alya?" Soal mak Nab bila dilihatnya Alya Maisarah mengurut dadanya.

            "Tak ada apa mak Nab? Abang Ady nak makan asam pedas buatan Alya." Laju saja kakinya melangkah ke peti sejuk. Dikeluarkan ikan merah kesukaan Ady Ikram. Hari ini dia nak ikat perut Ady Ikram dengan masakannya. Biar Ady Ikram tak boleh lupakannya. Sentiasa teringatkannya.

            "Hari ini biar Alya yang masak mak Nab. Alya nak tambat hati abang Ady dengan air tangan Alya." Jawab Alya sambil tersenyum.

            "Biar mak Nab bantu Alya. Alya tu bukannya sihat lagi. Nanti apa-apa hal jadi pada Alya teruk mak Nab kena marah dengan Datin Aminah."

            "Baiklah  mak  Nab boleh bantu Alya."Tangan mak Nab di tariknya mendekati meja di dapur. Selepas itu hanya kedengaran suara mereka berdua bergurau senda sambil memasak.

            "Mak Nab…… Alya nak ke belakang sekejap.Nak tengok mesin basuh. Terlupa pula tadi Alya sedang membasuh baju." Alya bergerak untuk ke belakang.

            "Mak Nab dah sidai pun baju tu. Tak payahlah Alya ke belakang. Semuanya mak Nab dah uruskan.  Itukan kerja mak Nab."Beritahu mak Nab.

            "Lah! Kenapa mak Nab tolong sidai baju tu? Alya baru nak merasa menjadi seorang isteri." Beritahu Alya.

            "Tak mengapa Alya. Alya dah penat memasak tadi, sebab tu mak Nab bantu Alya sidaikan baju-baju tu."

            "Terima kasih mak Nab kerana membantu Alya . Sayang mak Nab!" Alya memeluk mak Nab.

            "Mak Nab sayangkan Alya seperti anak mak Nab sendiri. Mak Nab nak lihat Alya bahagia mulai hari ini. Jangan sedih-sedih lagi." Mak Nab membalas pelukan Alya.

            "Apa hal berpeluk di dapur ni! "Tanya satu suara . Menyibuk saja kerjanya. Orang nak berpeluk pun tak boleh…

Thursday, 5 December 2013

BILA CINTA MULA BERBISIK 8



BAB 8

            Usai solat subuh, Alya mendekati Ady Ikram. Serba salah….nak kejut ke tidak? Monolog Alya dalam hati. Ah! Kejut sajalah. Apa nak risau. Diakan suami aku.

            Alya Maisarah mendekati abang Ady yang masih berselimut. Ditatapnya wajah Ady yang sedang tidur. Dilabuhkan punggungnya dibirai katil.

            Maafkan Alya bang! Alya tahu abang tak pernah mengingini diri ini. Alya tahu abang terseksa dengan pernikahan kita. Tapi apakan daya Alya bang! Semuanya  atas  kehendak  ibu. Alya tak nak jadi anak yang derhaka. Dengan memenuhi permintaan ibu ini, Alya harap ibu akan menerima Alya. Sudah puas Alya menderita…..semoga dengan pernikahan ini akan beraraklah mendung yang meliputi hati Alya.

            Alya janji, satu hari abang akan dapat kebebasan abang semula,itu janji Alya pada abang. Alya harap abang dapat bersabar ya! Alya tahu abang tak bersalah. Kalau hati tak suka , tak perlulah abang memaksa diri abang untuk menerima Alya.Dapat menjadi isteri abang pun satu rahmat buat Alya. Alya pasrah bang!Bisik Alya dalam hati. Tangannya mengusap lembut rambut suaminya. Dikucup lembut pipi suaminya.

              Mata Ady Ikram terbuka luas bila terasa pipinya disentuh seseorang.

         "Kau buat apa ni Alya? Kau jangan berani nak sentuh aku."Laju saja Ady Ikram duduk. Dahinya terus terhantuk dahi Alya yang sedang duduk berdekatan dengannya.

       "Aduh! " Kedua-duanya mengaduh kesakitan bila dahi mereka terhantuk. Alya mengusap dahinya yang dah terasa benjol. Sakit….. Sudahlah semalam dahinya  terluka . Kini dahinya benjol pula. Memang tak boleh dekat dengan abang Ady ni. Ada saja kecederaan yang terjadi padanya.

        "Alya! Kan aku dah cakap. Kau ni kalau tak susahkan hidup aku memang tak boleh senang,kan? Suka sangat buat aku marah." Dahinya yang dah benjol diusapnya perlahan.

            "Alya cuma nak kejutkan abang bangun . Dah subuh," jawab Alya takut-takut. Kini dia sudah berdiri berhampiran katil Ady Ikram.

            "Lain kali panggil saja aku . Aku bukannya jenis tidur mati. Boleh ke tepi tak? Aku nak lalu." Marah Ady Ikram. Alya menjauhkan diri dari katil. Pagi-pagi dah nak naik angin.

            Setelah Ady Ikram ke bilik air, Alya mengemas tempat tidur. Biar nampak kemas dan sedap mata memandang. Baju Ady Ikram diletaknya  di atas katil bersama dengan kain pelekat. Dia tahu tanggungjawabnya sebagai seorang isteri. Semua tu diketahuinya semasa kursus nikah dulu. Walaupun bukan isteri pilihan suaminya tapi dia kena menjalankan kewajipannya sebagai seorang isteri.Sejadah dibiarkan di atas permaidani supaya mudah abang Ady menunaikan solat.

            Setelah menyediakan segala kelengkapan  buat suaminya dia pun keluar dari bilik menuju ke dapur. Tudung yang tersarung di kepala dibetulkannya. Kedengaran dari arah dapur bunyi orang sedang memasak. Tentu mak Nab dah bangun,bisiknya dalam hati.

      "Assalamualaikum  mak Nab!" Salam diucapkan buat mak Nab yang belum perasaan kehadiran Alya di ruangan dapur itu.

            "Waalaikumussalam……..hai senyap-senyap saja pengantin baru kita ni masuk ke dapur. Nasib baik mak Nab tak bersilat tadi.Kalau tak habislah Alya kena lipat dengan mak Nab" Sempat lagi mak Nab mengusik Alya. Ini yang membuatkan wajah Alya blusher pagi-pagi buta ni.

            "Awalnya Alya bangun? Kenapa tak tidur lama sikit?Alya tak berapa sihat,kan? Semalam mak Nab tidur mati ,langsung tak dengar apa-apa.Maafkan mak Nab , tak jenguk Alya pun semalam. Pagi ini baru datin Aminah beritahu mak Nab."

            "Tak mengapa mak Nab , sikit aje! Alya okey lagi ni." Senyuman diberikan pada mak Nab.

            "Eh! Kenapa kepala Alya ni benjol? Datin Aminah cakap Alya luka saja. Tak cakap pun kepala Alya ni benjol. Nanti tuamkan. Biar cepat susut benjol ini." Kata mak Nab sambil membelek benjol di kepala Alya Maisarah.

            "Sikit saja mak Nab.Terhantuk tadi. Itu yang benjol sedikit." Jawab Alya.

         "Jangan lupa sekejap lagi tuamkan."Arah mak Nab. Alya tak kisah kalau mak Nab nak arah-arah, sebab dia tahu mak Nab sayang padanya.

            "Baiklah mak Nab. Sekejap lagi Alya tuamkan. Mak Nab masak apa pagi ini?" Tanya Alya.

            "Mak Nab nak masak mee goreng dan cucur bawang ikan bilis." Jawab mak Nab.

            "Sedapnya mak Nab. Tak sabar Alya nak makan. Biar Alya bantu mak Nab.,Kesian mak Nab, sorang-sorang buat kerja rumah." Tangannya sudah mencapai daun sawi di atas meja.

            "Tak perlu, Alya pergilah naik ke atas, berehat."Ditepuknya bahu Alya perlahan. Daun sawi diambilnya dari tangan Alya Maisarah.

           "Baiklah mak Nab. Alya naik ke atas dulu."Perlahan langkahnya diatur ke tingkat atas.Tombol pintu dibuka dari luar. Kelihatan Ady Ikram sedang berselimut di atas katil.

       " La !…..sambung tidur rupanya."  Pintu di kunci dari dalam. Pakaian Ady Ikram yang tersangkut di kerusi meja solek dikutip dan dimasukkan ke dalam bakul di bilik air. Dipungutnya tuala yang terdampar di atas permaidani dan dimasukkan ke dalam bakul baju kotor. Bakul itu dibawa keluar dari bilik air dan di tempatkan di sebelah pintu bilik air.

         Baru nampak kemas. Tanpa pengetahuannya , Ady Ikram sengaja  menyepahkan bajunya supaya Alya mengemasnya. Saja nak sakitkan hati Alya Maisarah. Sebenarnya Ady Ikram berpura-pura tidur.
               
            Puas hatinya kalau dapat sakitkan hati Alya. Sakit hatinya kerana Alya menerima lamaran dari Datuk Sulaiman dan Datin Aminah. Kini dia yang terpaksa mengadap muka Alya setiap hari. Ini baru beberapa hari. Kalau seumur hidupnya kena mengadap muka Alya, mahu gila otaknya, gumam Ady Ikram dalam hati.

            Alya melangkah ke sofa berangkai tiga. Tak perasan pula dalam bilik ni ada sofa, kalau dia tahu dah lama dia tidur di sofa.Tubuhnya dilabuhkan ke sofa. Bolehlah aku lelapkan mata sekejap. Gebu juga sofa ini. Mungkin inilah tempat tidur aku setiap malam?Kepalanya dilabuhkan ke lengan kerusi. Kusyen kecil digunakan buat lapik kepalanya. Satu lagi kusyen dipeluknya. Sekejap saja matanya sudah terpejam rapat.

            "Alya! Alya! Bangun…. Dah lewat ni. Kenapa kau tak kejutkan aku? Marah Ady Ikram. Entah bagaimana dia boleh tertidur  setelah berpura-pura tidur tadi.

            Tahu nak marah saja Ady Ikram. Alya mengusap mukanya dengan tapak tangannya.

               
            "Kenapa ni bang? Alya mengantuklah! Alya nak tidur sekejap. Sekejap lagi Alya bangun." Alya memejamkan matanya semula.

            "Kau  memang  suka  buat  aku  marah. Sekarang kau bangun! Tahu tak sekarang kau dah jadi bini orang? Ini yang kau nakkan? Nak sangat jadi bini aku . Mulai hari ini kau kena layan aku . Pergi  siapkan makanan untuk aku. Aku dah lapar!" Baju yang baru dipakainya dicampak ke muka Alya Maisarah. Sengaja nak sakitkan hati Alya. Lambat-lambat Alya mencapai baju yang dicampak  ke mukanya. Wajah Ady Ikram dipandang dengan hati yang pedih.


            "Kenapa? Tak puas hati dengan aku?"Tanya Ady Ikram sebelum masuk ke bilik air.

            Alya menapak ke katil dan mengemas semula katil yang dah berselerak itu. Setelah berpuas hati dia keluar dari bilik itu sambil membawa bakul baju kotor yang diletaknya berhampiran pintu bilik air.  

            "Mak Nab …..maafkan Alya kerana tertidur tadi. " Malu kerana dah pukul 10 pagi baru dia terjaga. Itu pun sebab dikejutkan oleh Ady Ikram.

            "Tak mengapalah Alya, mak Nab tahu Alya tak sihat. Mana Ady?Tanya mak Nab bila dilihatnya Alya Maisarah seorang diri turun ke bawah.

            "Abang Ady tengah mandi mak Nab, sekejap lagi dia turun." jawab Alya.

            "Alya nak makan dulu atau nak tunggu Ady?"  Tanya mak Nab.

            "Tak mengapalah mak Nab, Alya nak tunggu abang Ady. Nanti Alya makan dengan abang Ady. Mak Nab….Alya nak basuh baju. Mana mesin basuh? Tanya Alya Maisarah.

            "Tak payah basuhlah Alya. Letak saja dekat situ, nanti mak Nab basuh. Semua ni kerja mak Nab . Biar mak Nab buat semua tu." Mak Nab  mengambil bakul di tangan Alya.

            "Biarkan saja mak Nab! Itu yang dia nak. Biar saja dia yang basuh semua tu. Nak sangat jadi bini Ady.Dia ingat dia boleh bersenang lenang dalam rumah ni." Ady Ikram terus menuju ke meja makan.

            "Alya!! Mana air aku?" Kuat Ady Ikram menjerit.

            "Inikan airnya Ady, " beritahu mak Nab.

            "Alya ! Buatkan aku air milo panas. Ku nak bagi aku minum air milo yang dah sejuk ni." Marah Ady Ikram. Mak Nab hanya mengelengkan kepalanya.

            "Biar mak Nab yang buatkan, Alya tak sihat. Biar dia berehat Ady." Mak Nab terus ke dapur.

            "Tak payah! Tak payah! Ady nak Alya yang buatkan untuk Ady. Buat apa ada bini kalau nak jaga makan minum Ady pun dia tak mampu." Kata Ady Ikram.

            "Tak mengapalah mak Nab , biar Alya buatkan air milo untuk abang Ady. Mak Nab pergilah buat kerja lain." Alya terus ke dapur. Mak Nab mengikut Alya dari belakang. Risau dengan kesihatan Alya.

            Alya pantas membancuh air milo untuk Ady Ikram. Dia dah biasa membuat air milo untuk Ady Ikram. Selama ini dia yang membancuh air untuk Ady Ikram.Hanya Ady Ikram yang tak tahu.

            "Alyaaa!!!! Jerit Ady Ikram kuat. Tu dia ah! Kalah tarzan panggil bini dia. Gerutu Alya dalam hati.


Wednesday, 4 December 2013

BILA CINTA MULA BERBISIK 7



BAB 7

            "Rasakan  kau  siapa  suruh  cari  pasal  dengan aku?" Ady Ikram melangkah menghala ke almari pakaian yang berada di penjuru bilik . Ditinggalkannya Alya yang masih terbaring di celah katil pengantin mereka. Setelah membuka pintu almari, dicapainya sehelai baju tidur dan seluar longgar.

            Aik! Dari tadi kau tak bergerak, masih  lagi kau nak baring di tepi katil tu. Memang kau sengaja nak sakitkan hati aku. Gumamnya dalam hati.

            "Alya! Alya! Bangun, takkanlah kau nak tidur celah katil ini?" Tanya Ady Ikram. Alya masih seperti tadi,hanya mendiamkan diri di celah katil.

         "Alya!" Panggil Ady Ikram lagi. Dihampirinya Alya yang terbaring dicelah katil.Digoncangnya  tubuh Alya Maisarah . Tidur mati ke Alya ni?

       "Alya!! " Kau jangan nak berpura-pura tidur pula. Geram melihat Alya yang masih tak bergerak.  Alya masih seperti tadi , hanya kaku  terbaring di atas lantai. Ady memusingkan Alya mengadapnya.

            "Ya-Allah! Alya….kenapa dengan kau? Alya kau kenapa ?"Kelam kabut Ady Ikram mencapai tisu dari meja kecil di tepi katil. Dahi Alya yang berdarah dilap dengan tisu. Mungkin dahi Alya terkena bucu meja ditepi katil?
               
         "Alya kau jangan takutkan aku. Maafkan abang Ady." Dahi Alya yang masih berdarah dilapnya lagi. Tubuh Alya digoncangnya. Tak boleh jadi ni…..kena panggil tuk ayah dan mak tuk. Sebelum keluar sempat kepala Alya di lapik dengan bantal. Ady Ikram berlari keluar dari bilik mengetuk pintu bilik Datuk Sulaiman dan Datin Aminah.

           
            "Mak tuk…..tuk ayah…..tolong! Alya pengsan." Jerit Ady Ikram. Pintu bilik Datin Aminah dan Datuk Sulaiman diketuknya bertalu-talu. Kalau boleh nak dirobohnya pintu itu.
               
              "Kenapa ni Ady? Malam-malam buta menjerit?" Datin Aminah bertanya pada Ady Ikram setelah pintu biliknya di buka.

            "Mak tuk! Tolong Ady….Alya  pengsan." Ady Ikram terus berlari masuk ke biliknya.Tak sedar dirinya masih lagi belum memakai pakaian.Hanya bertuala.

            "Apa! Alya pengsan."  Jeritan datin Aminah sampai ke telinganya yang dah berada di dalam bilik . Mujurlah sanak saudara telah balik ke rumah masing-masing.

            "Kau buat apa sampai Alya pengsan ni, Ady?" Soal datin Aminah. Dia juga ikut melutut mengadap Alya yang sedang pengsan. Kerisauan melanda hatinya. Hatinya sangat sayangkan Alya.

            "Ya-Allah sampai berdarah kepala Alya ni, kenapa Ady?" Datin Aminah masih merenung wajah Ady Ikram.

            "Mak tuk…….sebenarnya Ady….."belum sempat Ady menyambung kata-katanya ,datuk Sulaiman sudah bersuara.

            "Ady…… ambilkan tuk ayah air." Datuk Sulaiman memeriksa nadi Alya. Ady kembali dengan segayung air paip. Datuk Sulaiman  mengusap muka Alya dengan air.Wajah Alya kelihatan   agak pucat. Muka  Alya  ditepuknya beberapa kali supaya Alya sedar. Alya mula sedar dan mengerang kesakitan.

            "Ya- Allah ! Sakitnya dahi Alya mak tuk. Sakit……" Kata Alya dalam keadaan lemah.

           
            "Ady tolong  tuk ayah angkat Alya ke atas katil."Permintaan dari datuk Sulaiman cepat saja di penuhinya. Sekali cempung saja Alya sudah Ady baringkan di atas katil. Tak sangka Alya yang montel itu boleh diangkatnya  dengan mudah sekali. Hatinya dah takut kalau-kalau mak tuk tahu kecederaan Alya adalah disebabkan dirinya.

               
            "Ady….. call doktor Rashid !" Tanpa menunggu lagi, Ady Ikram terus meminta doktor Rashid datang ke rumah mereka. Doktor Rashid adalah doktor peribadi keluarga mereka.

            "Kenapa dengan Alya ni Ady ? Sampai pengsan bini kau ni. Kalau ia pun nak berseronok janganlah ganas sangat. Tengok sampai tak sempat nak berpakaian," tegur datin Aminah.Matanya memandang Ady yang masih bertuala.

            Baru  Ady  Ikram  perasan  dirinya  masih  lagi  belum  berpakaian. Baju yang diambilnya  dari  almari pakaian  tadi  jatuh  bertaburan  di atas  lantai. Cepat  saja  Ady mencapai pakaiannya dan masuk ke bilik air untuk memakai  pakaiannya.

            "Mana  ada  mak tuk ….Ady tak buat apa-apa pun.  " Kata Ady Ikram sebelum menutup pintu bilik air. Apalah mak tuk. Ingat aku hadap sangat dengan Alya tu?Tak ada keinginan langsung nak mendekati Alya.

         Doktor Rashid yang tiba, memeriksa Alya yang terbaring lemah. Luka di dahi Alya diperiksanya untuk memastikan samada luka itu perlu dijahit atau pun tidak.

            "Alhamdulillah! Luka di dahi ini tak perlu dijahit kerana darahnya sudah berhenti dan lukanya hanya sedikit sahaja." Penerangan dari doktor Rashid membuatkan hati mereka lega. Datuk Sulaiman mengiringi doktor Rashid hingga ke pintu vila.

            "Alya…." panggil datin Aminah lembut. Kepala Alya diusapnya dengan penuh kasih dan sayang.

            "Mak tuk….kenapa dengan Alya?" Soal Alya ingin tahu. Denyutan didahinya membuatkan dia memegang dahinya yang bertampal dengan kain pembalut.

            "Mak tuk pun tak tahu apa yang berlaku pada Alya?" Datin Aminah memegang tangan Alya yang sedang meraba dahinya.Alya cuba mengingati apa yang berlaku?

        " Alya jatuh dari katil." Jawab Alya. Matanya memandang wajah Ady Ikram yang sudah berpeluh. Takut kalau-kalau Alya menceritakan apa yang berlaku kepada mak tuk.

            "Alya cuai tadi mak tuk, sebab tu terjatuh." Alya lihat dirinya masih lagi memakai gaun pengantin. Patutlah dari tadi terasa rimas.

            "Mak tuk…. Alya nak mandi, boleh tak mak tuk? "Tanya Alya.

            "Sudah lewat ni Alya. Biar mak tuk lap saja badan Alya ni. Lagipun Alya masih lemah. Buatnya terjatuh dalam bilik air macam mana?" Tanya Datin Aminah.
               
            "Tapi Alya dah tak tahan dah ni mak tuk."Malu-malu Alya memberitahu datin Aminah.

           "Nak buang air ke? Kalau macam tu….Ady bawa bini Ady ni ke bilik air." Arah datin Aminah.

         "Kenapa pula Ady yang kena bawa  Alya ke bilik air?"Tanya Ady Ikram. Bodoh punya pertanyaan. Takkanlah nak suruh datin Aminah pula yang bawa Alya ke bilik air.

            "Ady kan suami Alya. Tentulah Ady yang kena ambil berat pasal Alya." Tegur datin Aminah.

           
            "Tak mengapalah mak tuk, Alya boleh berjalan sendiri. Alya tak  nak susahkan Ady. Mak tuk masuklah tidur dulu. Hari pun dah lewat ni."Tak nak menyusahkan datin Aminah. Kaki Alya sudah  menjejak  di lantai. Pening di kepalanya membuatkan dia terketar-ketar untuk bangun. Terasa  badannya sungguh lemah. Kenapa dengan aku ni. Aku tak nak susahkan Ady Ikram. Allah berikan aku kekuatan untuk menghadapi semua ini.

            Setelah berdiri , dia terhoyong hayang berjalan setapak demi setapak ke bilik air.

            "Ady Ikram!!!" Jerit datin Aminah.

            "Tak nampak ke Alya tu tengah pening? "Tanya datin Aminah sambil menampar bahu Ady Ikram.Geram melihat Ady yang masih kaku berdiri.

            "Aduh!" Ady Ikram mengusap bahunya yang di tampar oleh Datin Aminah. Dengan perasaan sebal Ady Ikram melangkah menghampiri Alya.

            "Kau ni menyusahkan orang saja kerjanya."Rungut Ady Ikram perlahan. Mana  dia berani nak cakap kuat , nak mampus kalau mak tuk dengar. Lengan Alya dicengkamnya kuat hingga berbayang merah dipergelangan tangan Alya.

            Alya Maisarah berjalan perlahan hingga masuk ke dalam bilik air.Tangan Ady yang mencengkam pergelangan tangannya di tepis .Sakit hatinya dengan Ady Ikram. Dia mandi walaupun Datin Aminah melarangnya mandi tadi. Sudah berada di dalam bilik air lebih baik dia mandi.Walaupun tahu orang perempuan tak elok mandi malam.  Badannya pun  dah melekit semacam . Mukanya dicuci bersih hanya menggunakan sabun mandi. Pencuci mukanya masih berada di dalam beg . Tak sempat nak ambil tadi.

            Setelah mandi barulah Alya perasan ….dia tidak membawa tuala masuk ke bilik air tadi. Terpaksalah dia meminta tolong dari Ady Ikram. Tak boleh….tak boleh……Aku tak boleh menyusahkan Ady Ikram.Gumam Alya sendiri.

            Pakaian pengantin  dipakainya  semula. Mujurlah tak basah. Kalau tidak tak tahulah apa aku nak buat. Alya membuka pintu dan menapak keluar dari bilik air.

            "Lamanya …..mandi ke?" Soal Ady Ikram . Sibuk nak ambil tahu. Alya hanya mendiamkan diri. Rasa tak bersemangat nak bercakap. Agaknya diam lebih baik dari bercakap.

            Kakinya terus melangkah menghampiri beg bajunya. Setelah mengeluarkan pakaian tidurnya dia menapak semula ke dalam bilik air. Tak dipedulikannya Ady Ikram yang sedang menunggu jawapan darinya. Mujurlah mak tuk dan tuk ayah dah keluar dari bilik.

            Selesai berpakaian Alya ke meja solek. Rambut yang basah tadi dilap dengan lembut.Disikatnya rambut separas pinggangnya  itu dengan jari. Kemudian diambilnya sehelai kain batik dan dihampar di atas permaidani yang tebal dan bantal di atas katil diambil buat melapik kepalanya yang masih pening. Direbahkan badannya yang lemah itu diatas permaidani berlapikkan kain batik itu. Matanya terus dipejam rapat. Sekejap saja dia sudah tertidur. Enggan lagi melayan fikirannya yang tengah kacau.Semoga esok menjanjikan kebahagiaan buat dirinya.

            Ady Ikram mengelengkan kepalanya. Ah! Lantak kaulah nak tidur dekat mana pun. Gumam Ady Ikram dalam hati. Direbahkan badannya di atas katil. Badannya yang keletihan juga memerlukan rehat. Akhirnya dia juga tertidur.