Reenzarini

Sunday 17 May 2015

JUJUR AKU MENCINTAIMU 8


BAB 8

“Faham! Telinga saya tak pekak lagi. Tapi kalau asyik mendengar suara awak yang asyik membebel tu, mungkin pekak juga telinga saya akhirnya,” balas Rania Adira kembali.

“Menjawab saja kerja kau!”

“La, kalau saya tak menjawab marah. Jawab pun marah. Mana satu yang boleh ni?” soal Rania Adira. Dibentangkan toto di atas permaidani yang agak tebal. Mujurlah dia dah minta ibunya belikan permaidani yang gebu dan tebal untuk biliknya.

“Kau nak buat apa tu?” soal Hijaz Saufi bila dilihatnya isterinya sudah membentangkan toto di atas permaidani.

“Bentang toto nak tidur,” jawab Rania Adira.

“Kenapa tak tidur atas katil?” soal Hijaz Saufi.

“Awak ingat saya dah gila nak tidur dengan awak. Jangan ingat saya dah kemaruk nak tidur dengan lelaki yang tak sukakan saya. Lagipun nyenyakkah awak tidur bersama isteri yang kolot dan jijik ini? Sudahlah awak, awak tidurlah atas katil, saya tak sekejam awak nak suruh awak tidur atas toto ini. Awak tetamu , kenalah saya hormatkan awak,” bidas Rania Adira.

“Elok juga kau benarkan aku tidur atas katil, tak adalah bangun esok lenguh-lenguh badan aku.” Hijaz baring di tilam yang lembut.

“Ah! Selesanya!” sengaja dikerlingnya isteri yang masih berdiri tak jauh darinya. Masih ingin menyakitkan hati isterinya.

“Apa-apa ajelah!” Malas Rania Adira nak melayan kerenah suami yang berlagak. Lampu dimalapkan. Baju tidur hadiah dari mama, diambilnya dari dalam almari dan dibawa ke bilik air. Setelah membersihkan diri dan menukar pakaiannya, barulah Rania Adira keluar dari bilik air. Sengaja berpura-pura tidak kekok. Padahal dalam hati, hanya Allah saja yang tahu betapa malunya dia. Semua pesanan mama diikutinya. Malu tolak ke tepi. Itu pesanan mama. Awak boleh buat Nia. Yakin pada diri, bisik hati Rania Adira.

Baju tidur separas lutut dan hanya bertali kecil di bahu, agak selesa dipakai. Rania Adira berjalan di sebelah katil sebelum nenuju ke meja solek. Rutin sebelum tidur adalah menyapu lotion ke tubuhnya. Walaupun agak malu, tapi bila teringatkan hinaan dari Hijaz tadi, dia keraskan hatinya untuk memakai baju tidur pilihan Datin Ariana, mama mertuanya. Bau harum lotion semerbak dalam bilik berhawa dingin.

Sejak tadi Hijaz terpaku melihat penampilan isterinya dalam samar-samar lampu tidur. Tak sangka gadis yang disangka kampungan ini pandai bergaya. Sungguh seksi dengan baju tidur yang melekap ke tubuh dan hanya separas lutut. Tak jauh bezanya jika dibandingkan dengan Julia, malah lebih seksi. Dengan Julia dah tak rasa apa-apa bila melihat Julia mendedahkan tubuhnya, hanya perasaan bangga mempunyai kekasih seseksi Julia. Adakah hatinya sudah mula goyah? soal Hijaz Saufi dalam hati.

Rania Adira tersenyum selepas menyapu lotion ke tubuhnya. Sengaja dia menyapu lotion di pahanya.  Dari biasan cermin meja solek, dia tahu suaminya sedang memerhati gerak gerinya. Setelah selesai menyapu lotion, dia menuju ke katil dan dilihat suaminya sudah memejamkan matanya. Rania Adira pasti Hijaz belum tidur.

“Lasaknya tidur! Bukannya nak berselimut dalam sejuk begini. Esok pagi keras kejung.” sempat Rania Adira kutuk Hijaz sebelum menarik selimut hingga ke dada Hijaz. Akal nakalnya datang. Sempat dia berikan ciuman di pipi kanan dan kiri Hijaz.

Good night hubby. Mimpi yang indah-indah,” bisik Rania Adira di telinga Hijaz. Mengeletar juga tubuhnya kerana takut dan malu. Ini semua Datin Ariana yang ajar. Malu tolak ke tepi, suami sendiri. Apa nak dimalukan kata mama.Berkali-kali mama mengingatkannya. Kemudian Rania Adira merebahkan tubuhnya di atas selimut toto dan selimut ditarik sampai ke dada.  Barulah selesa nak tidur.

Hijaz membuka matanya. Masih terasa hangat kucupan di pipinya. Terasa lain bila dicium oleh orang yang halal. Ikutkan hati, rasa nak terkam isterinya. Tapi ego kena jaga. Hijaz kau jangan buat kerja gila. Sepanjang malam dia tidak dapat melelapkan mata, hanya merenung isteri yang sedang tidur. Entah bila dia tertidur. Sedar-sedar dia dikejutkan untuk solat subuh bersama ayah mertuanya. Langkahnya longlai kerana masih tidak cukup tidur.

**********

SEMUA barang sudah dimasukkan ke dalam bonet kereta. Beberapa hari berada di kampung mertuanya, sungguh jiwanya terseksa. Terseksa melihat keseksian isteri sendiri tanpa dapat disentuh.Semuanya salah dirinya kerana dia yang membuat peraturan.

“Ayah…….Kami balik dulu,” ujar Hijaz Saufi sambil bersalaman dengan ayah mertuanya kemudian dia bersalaman dengan ibu dan abang iparnya.

“Hijaz, jagalah Nia seperti menjaga diri Hijaz sendiri. Tolong layan Nia dengan baik. Jangan sakiti hatinya. Abang Raz tak akan lepaskan Hijaz jika Hijaz sakitkan hati Nia.” Sayang juga abang Raz dengan isteri aku. Apa susah, berlakon aje, tiba masa berpisah. Katakan saja tak ada jodoh. Habis cerita.

 “ABANG AMIR!” Jerit Rania Adira bila melihat Amir Farhan menunggang motosikal Kawasaki Ninja masuk perkarangan rumah mereka. Tangan Rania Adira melambai ke arah Amir Farhan. Senyuman terukir di bibirnya.

“Hai abang handsome! Nia ingatkan tak dapat jumpa abang Amir!” Setelah Amir Farhan menongkat motosikalnya barulah dia mendekati Amir Farhan.  Tangan lelaki itu disalami dan diciumnya.

Handsome la sangat.Getus hati Hijaz Saufi.

Sengaja Rania Adira bermanja dengan Amir Farhan. Setelah bersalaman dengan Amir Farhan terus lengan Amir Farhan dipeluknya manja. Sememangnya dia manja denga Amir Farhan. Satu lagi dia nak tengok samada Hijaz cemburu atau pun tidak, melihat kemanjaannya dengan  Amir Farhan. Sewaktu kecil dulu Rania Adira pernah disusukan oleh umi Amir Farhan.

Wajah Hijaz kelihatan tegang. Keningnya sudah berkerut. Hairan, kenapa tak ada sesiapa pun yang menegur kemanjaan isterinya itu.

“Nak balik dah ke?” Soal Amir Farhan. Amir Farhan bersalaman dengan semua yang ada di situ termasuk Hijaz Saufi.

Hijaz memerhati gelagat manja isterinya. Terasa darah panas menyerbu ke dadanya.Takkanlah kau cemburu Hijaz? Tak mungkin. Aku dah ada Julia. Hanya Julia cinta hatiku. Gerutu Hijaz dalam hati.

“Abang Amir dah nak bertolak balik ke?” tanya Rania Adira manja. Di belakang Amir Farhan terdapat sebuah beg galas.

“Ya! Ingat nak bertolak awal pagi tadi. Tapi selepas makan nasi lemak umi, terus mata abang Amir bagai digam hingga Abang Amir terlajak tidur sampai ke zohor,” ujar Amir Farhan sambil membetulkan tudung di kepala Rania Adira yang senget. Gelagatnya membuatkan Hijaz Saufi tak senang duduk.

“Kenapa tak ajak umi datang sekali?” tanya puan Hadirah.

“Umi tak dapat datang, ada saudara Amir berkunjung ke rumah. Umi kirim salam pada semua,” ujar Amir Farhan.

Lengan Amir Farhan dipeluknya lagi. Jari jemarinya mengusap janggut sejemput Amir Farhan. Sesekali Rania Adira menjeling suaminya tak jauh dari situ.

 Ini sudah lebih. Kutuk hati Hijaz. Terasa panas sampai ke dadanya. Tak boleh jadi. Dia perlu buat sesuatu.

“Sayang……Kita dah lambat. Nanti lewat pula tiba di KL,” ujar Hijaz Saufi.

Sayang konon. Gerutu Rania Adira dalam hati. Dia bersalaman dengan abang Razman dan sempat mengusap janggut sejemput abang Razman. Suka sangat mengusap janggut sejemput abangnya. Pipinya dicubit abang Razman.

Hijaz Saufi meraba dagunya yang sudah bercukur pagi tadi. Nak kena simpan janggut ni, bisik hati Hijaz.

 Rania Adira peluk dan cium pipi kakak iparnya, Anna.
   
“Jaga diri baik-baik Nia!” Pesan Anna.

“Baik kak Anna! Nia ingat pesan kak Anna. Sampaikan peluk cium Nia pada Ayu.” Ketika itu Ayu sedang tidur di bilik. Sempat Rania Adira usap perut kakak iparnya.

“Jaga baby kakak baik-baik.” Anna anggukkan kepala. Razman memeluk bahu isterinya.

Sebelum bertolak balik, puan Hadirah sempat menitipkan berbagai pesanan.“Hormatkan suami, jaga makan minum suami…….”Berbagai pesanan puan Hadirah.

Bagaimana pula jika suami tak hormatkan isteri? tanya Rania Adira dalam hati.

“Nia faham ibu. Ibu janganlah risau. Tahulah Nia menjaga suami Nia nanti.” Air mata sudah tak tertahan lagi. Ini bukannya pertama kali dia meninggalkan rumah sebab dia bekerja di KL. Tapi kali ini agak berlainan kerana dia tidak boleh sesuka hati balik jika bercuti kerana kini dia sudah bersuami.

“Sudahlah Nia, bukannya anak ayah tak balik lagi. Ada masa baliklah menjenguk kami. Minggu depan pun kita berjumpa lagi kan? Majlis di sebelah pihak lelaki nanti kita jumpa lagi.” Pujuk Hj Osman.

Hijaz, bila ada masa, bawalah Nia balik kampung.” Puan Hadirah melepaskan Rania Adira dari pelukkannya.

“Insya-Allah ibu. Sudahlah sayang, ada masa kita balik menjenguk keluarga di sini.” Meloya tekak Hijaz bila terpaksa berlakon di depan keluarga isterinya.

“Nia, KL tu bukannya jauh. Abang Amir kan tinggal dekat KL. Kalau ada apa-apa telefonlah abang Amir. Boleh kita berjumpa. Kau tak kisahkan Hijaz kalau aku berjumpa dengan isteri kau?” Semua memandang Hijaz.

“Eh! Apa salahnya. Aku tak kisah,” jawab Hijaz Saufi. Dalam hati dia mengutuk Amir Farhan.

 “Nia, kita jumpa lagi minggu depan. Dah! Jangan menangis lagi.” Air mata adik kesayangannya, Amir usap dengan jari jemarinya. Sayangnya pada Rania Adira tak perlu dipertikaikan lagi. Semua ahli keluarga mereka sudah tahu bagaimana sayangnya dia pada adik susuannya itu.

“Kami balik dulu!” Ujar Hijaz Saufi. Semakin meluat Hijaz melihat drama air mata mereka. Kalau dibiarkan bilalah nak berhenti drama itu? Tangan Hijaz memegang bahu Rania Adira. Ditarik lembut isterinya masuk ke dalam kereta. Kereta yang di pandu Hijaz bergerak perlahan keluar dari perkarangan rumah keluarga isterinya. Dibiarkan isterinya melambai keluarganya.

“Sudahlah tu…… melambai apa lagi? Dah jauh dari rumah!” tegur Hijaz Saufi.

“Saya lambai pak Din yang jual dekat warung tu. Sibuk aje dia. Tak payah nak sibuk hal saya!” Rania Adira menjeling Hijaz sekali.

“Apa hubungan kau dengan Amir Farhan?” soal Hijaz Saufi.

“Kenapa awak nak tahu?” Soal Rania Adira kembali.

“Meluat aku tengok perangai gedik kau tadi!” sergah Hijaz Saufi.

“Suka sayalah nak gedik ke, apa ke! Awak tak payah nak ambil tahu hal saya. Awak dah buat perjanjian. Patuh saja pada perjanjian yang awak dah buat.” Bidas Rania Adira.

“Tanya pun tak boleh! Aku ni suami kau. Wajib menegur kalau seorang isteri buat salah.” Menyesal buat perjanjian begitu. Kena ubah perjanjian nampaknya. Getus hati Hijaz Saufi.

“Baru sekarang nak mengaku isteri. Beberapa hari ini awak dah katakan pada saya, awak langsung tak anggap saya sebagai isteri awak. Teruskan saja dengan rancangan awak. Pinggan tak retak nasi tak dingin, orang tak nak, saya lagi tak ingin.”

Hijaz Saufi ketapkan giginya kerana geram dengan sindiran isterinya.

Sepanjang perjalanan Rania Adira memupuk matanya supaya tidur. Tak perlu nak mendengar cacian dari suami yang baru dinikahi. Setiap kali Hijaz buka mulut, hanya kata cacian yang menyakitkan hati Rania Adira. Duhai hati, bersabarlah.

**********

MAJLIS persandingan mereka di adakan di kelab golf. Sebuah kelab eksklusif. Tetamu yang datang kebanyakkannya adalah rakan dalam perniagaan. Sesi bergambar rancak diadakan. Berbagai gaya diarahkan jurufoto. Mak andam pula asyik mengekori ke mana saja Rania Adira berada. Sekejap-sekejap dibetulkannya mekap. Naik rimas Rania Adira dibuatnya. Mujurlah jurusoleknya adalah perempuan.

Pukul empat petang barulah majlis tamat. Dia sudah melepaskan lelah. Mekap yang tebal sudah di bersihkan sebelum solat asar. Kaki yang terasa lenguh diusap perlahan. Tak selesa betul memakai kasut setinggi ini. Selalunya kasut yang dipakai ke pejabat tidak terlalu tinggi. Hanya bila menghadiri majlis yang dianjurkan pejabat barulah dia melaram lebih. Kasut di tangannya dipandang lama. Nampak saja cantik. Kasut yang cantik itu dia campak ke tepi.

Rania Adira menutup wajahnya dengan tapak tangan. Tak sangka kini dia sudah menjadi isteri orang. Bukan sekadar mimpi atau khayalan tapi sesuatu yang pasti. Entah bagaimana hidupnya kelak di sisi Hijaz Saufi? Suami yang tak pernah mencintainya.

“Nia…….Kenapa ni?” tanya Datin Ariana. Dilabuhkan punggungnya di kerusi.

“Oh! Mama. Tak ada apa mama. Nia terasa letih sikit,” Rania Adira cuba menceriakan wajahnya.

“Mama harap Nia bersabar dengan anak mama tu. Bagi dia masa untuk mengenali Nia. Mama tahu bagaimana layanan anak mama pada Nia.”

“Abang layan Nia dengan baik mama. Mama jangan risau,” ujar Rania Adira.

“Goda suami Nia! Tak salah nak goda suami sendiri. Dapat pahala tau.” Rania Adira ketawa mendengar kata-kata mama mertuanya.

“Betul apa, mama cakap.” Datin Ariana sendiri turut ketawa.

“ Pergilah masuk berehat.” Tangan lembut menantunya digenggam dan diusapnya.

“Nia naik ke bilik dulu, mama.” Ujar Rania Adira.

“Pergilah berehat.” Langkah menantunya dipandang lama.

“MAMA harap Hijaz layan Nia dengan baik. Ya-Allah! Bahagiakanlah anak dan menantuku,” bisik Datin Ariana.

Sewaktu Rania Adira hendak ke bilik, dia terserempak dengan suaminya yang baru turun ke ruang tamu. Dia melangkah tanpa mempedulikan pandangan suaminya.

“Kenapa dengan menantu mama tu?” Tanya Hijaz Saufi. Tubuh isterinya yang sedang mendaki tangga ke atas dipandang hingga kelibat isterinya hilang dari pandangan matanya.

“Hijaz, tolonglah layan menantu mama dengan baik. Hijaz tak kasihan ke dengan Nia tu?”

“Hijaz dah cakap sejak awal lagi Hijaz tak boleh terima pernikahan ini. Hijaz tak cintakan Nia, mama. Hijaz dah ada pilihan hati sendiri. Tolonglah jangan paksa Hijaz. Sudah cukup baik Hijaz sanggup berkahwin dengan Nia. Hijaz cintakan Julia, mama. Hanya dia satu-satunya cinta hati Hijaz.”

“Hijaz, cubalah mencintai Nia. Mama rayu dengan Hijaz.” Tangan Hijaz, Datin Arianna genggam erat.

Hijaz menarik nafas panjang. Permintaan mamanya terlalu berat untuk ditunaikan.

“Baiklah mama, Hijaz cuba. Kalau Hijaz tak boleh terima juga Nia dalam hati Hijaz, kami akan berpisah. Masa tu Hijaz tak mahu sesiapa pun mencampuri urusan Hijaz.”

"Hijaz! Sampai hati Hijaz cakap macam tu!" Datin Ariana sudah berdiri kerana terperanjat dengan kata-kata anaknya.
 

No comments:

Post a Comment