Reenzarini

Saturday 6 December 2014

TAK MAMPU BERHARAP 14



       Assalamualaikum....Hari tu kak Reen dah janji nak sambung cerita TAK MAMPU BERHARAP. Semoga terhibur dan berpuas hati dengan apa yang kak Reen tulis. Harap dapat komen dari pembaca semua. Terima kasih.

BAB 14

“Hisyam! Buat apa dekat sini?” Terperanjat aku bila melihat Hisyam Zafril berdiri tak jauh dariku. Wajah Hisyam Zafril kelihatan agak lesu. Mungkin seminar sepanjang hari ini membuatkan Hisyam keletihan.

            “Syam jumpa kawan yang bekerja di sini.” Jawab Hisyam Zafril.

            “Awak pula Lisa, buat apa dekat sini? Bukankah awak ada urusan di Angsana Holding?” Soal Hisyam Zafril pula.

            “Dah selesai pun urusan saya di sana. Saya tolong hantar kawan yang sakit. Dah masuk wad pun.” Jawabku.

            “Sakit apa?” Soal Hisyam Zafril ingin tahu.

           “Alahan…. sebab makan kacang tanah.”  Aku menceritakan apa yang berlaku pada Hisyam Zafril. Rasa bersalah kerana menyebabkan Rayyan mengalami alahan begitu mendalam dalam hatiku.

            “Susah tu, kena selalu berhati-hati kalau nak makan. Ada juga saya jumpa pesakit macam tu. Tapi tak ramailah , hanya segelintir saja.” Ujar Hisyam Zafril.

            “Kereta siapa ni Lisa?” Kereta di sebelah mereka, Hisyan Zafril amati. Kereta mewah. Baru dia perasan pintu kereta itu sudah terbuka.

            “Oh!  Ini kereta kawan saya yang masuk wad tu. Dia minta saya bawa balik sebab tak nak keretanya tersadai di sini. Mahu tak mahu terpaksalah saya bawa balik kereta ni ke rumah saya. Awak dah nak balik ke Hisyam?” Soal aku pada Hisyam Zafril.

“Ingat tadi nak balik. Tapi perut saya ni asyik berkeroncong pula.” Hisyam Zafril mengusap perutnya.

“Kesiannya….. Pergilah makan. Lepas makan barulah balik. Nak balik waktu ni. Tahu sajalah.” Sebelah kaki Lisa sudah berada di dalam kereta.

“Lisa…..jom temankan saya makan. Saya laparlah. Tadi tak ada selera nak makan.” Ajak Hisyam Zafril.

“Ish! Awak ni Hisyam , macamlah kalau saya temankan awak. Terus awak ada selera nak makan.” Aku ketawa perlahan. Menyesal pula kerana gatal menyuruh Hisyam Zafril pergi makan sebelum balik. Nah! Sekarang aku yang kena temankan Hisyam makan.

“Mestilah kalau awak yang temankan saya makan saya lebih berselera.” Jawab Hisyam sambil tersenyum. Doktor seorang ini memang tak dapat aku sangkal kekacakkannya. Baik budi pekertinya.

“Baiklah Hisyam. Nak makan dekat mana? Jangan jauh-jauh sangat , saya tak berapa tahu jalan dekat sini. Ingat-ingat lupa. Banyak yang dah berubah sejak lima tahun yang lalu.”

“Eh! Kereta ini ada GPS, kan?” Tanya Hisyam Zafril.

“Manalah saya tahu bagaimana nak menggunakannya. Ini pun baru pertama kali saya memandu kereta jenis ini.” Beritahu aku pada Hisyam Zafril.

Hisyam hanya tersenyum memandang Lisa Adrianna. “Nanti saya ajar Lisa bagaimana nak menggunakannya.”

"Terima kasih Syam." 

"Tak jadi hal. Tak jauh dari sini ada beberapa buah restoran masakan Thai. Saya teringin nak makan dekat situ. Nanti Lisa ikut saya dari belakang. Sebelum tu kita singgah dulu dekat masjid. Dah nak masuk waktu Maghrib ni.” Hisyam Zafril memandang jam di pergelangan tangannya.

            Dalam perjalanan ke restoran yang dicadangkan Hisyam. Mereka sempat singgah di masjid tak jauh dari situ.

“Jom Lisa, kita pergi ambil wuduk dulu.” Hisyam Zafril membukakan pintu kereta untuk Lisa Adrianna.

“Err! Hisyam….. saya tak boleh. Awak pergilah sendiri. Saya tunggu di sini.” Malu aku nak berterus terang dengan Hisyam.

            “Eh! Dah sampai ni, jom la masuk sekali. Atau awak tak tahu nak solat?” Hisham serkap jarang. Manalah tahu lima tahun di luar Negara membuatkan gadis itu lalai dalam menunaikan solat hingga terlupa bagaimana nak solat.

            “Bukan…bukan macam tu. Hisyam…..saya tak boleh, sebenarnya saya cuti.” Terpaksalah aku berterus terang pada Hisyam Zafril. Malu memanglah malu.

          “Oh! Cakaplah awal-awal Lisa cuti. Kalau macam tu saya masuk dulu. Lisa tunggu dalam kereta. Jangan lupa kunci pintu kereta.” Pesan Hisyam Zafril. Usai solat maghrib Hisyam kembali ke kereta.

            “Lisa….follow Syam dari belakang.” Arah Hisyam Zafril.

“Okey Syam….. jangan laju-laju tau . Kalau tidak saya terus balik ke rumah.” Sengaja aku ugut Hisyam. Padahal nak balik pun aku terasa cuak.Ingat-ingat lupa jalan di sini. Ini dah jumpa dengan Hisyam terasa lega sikit hatiku. Tak adalah menggigil kakiku seperti tadi. Lemah semangat betul aku ni.

Aku memandu sambil mengikut kereta yang dipandu oleh Hisyam ke restoran makanan ala Thai yang dikatakan oleh Hisyam itu. Sampai di depan restoran itu aku pastikan kereta Rayyan di kunci. Hilang kereta Rayyan, mana aku nak cari duit nak ganti semula kereta orang tu? Dahlah orang tu garang macam rimau.

“Lisa…..Apa tunggu lagi. Cepatlah, perut saya dah berkeroncong ni.” Sengaja Hisyam mengosok perutnya yang kempis. Seolah-olah lapar sangat perutnya.

Aku mengikut Hisyam lambat-lambat dari belakang. Segan dengan mata yang memandang kami. Mungkin orang ingat kami adalah pasangan kekasih. 

  Hisyam Zafril melambatkan jalannya untuk bersaing  dengan Lisa.

        “Lambatnya Lisa berjalan. Malu ke berjalan dengan saya? Maklumlah saya tak handsome,” soal Hisyam Zafril.

            “Taklah Hisyam. Awak ni handsome. Saya yang patut malu bila berjalan dengan awak.” Aku perasan beberapa pelanggan di restoran itu sedang memandang ke arah kami. Mestilah mereka pandang Hisyam Zafril yang segak bergaya walaupun dalam keletihan masih nampak kacak.

Handsome pun tak ada orang yang terpikat.” Hisyam Zafril tergelak. Mungkin lucu dengan kata-katanya sendiri.

“Awak yang jual mahal tak Hisyam?” Soalku sambil menjeling Hisyam yang berjalan kudi sebelah. 

Tergelak Hisyam bila mendengar kata-kata Lisa Adrianna itu.

Hisyam Zafril memilih tempat yang agak jauh dari pelanggan lain. Senang nak makan sambil berbual. Katanya. Aku ikut saja pilihannya.

“Lisa nak makan apa?” Tanya Hisyam Zafril sambil melihat menu yang disediakan. Kiranya restoran ini agak mewah jika dibandingkan dengan restoran yang biasa Lisa pergi.

“Entah….saya ikut saja apa pilihan Syam. Saya mana biasa makan di tempat begini.” Aku berterus terang dengan Hisyam Zafril.

Okey! Kalau macam tu Syam nak syorkan kita makan nasi putih sajalah. Lauknya, ikan siakap tiga rasa, daging masak merah dan tom yam campur. Ada apa lagi Lisa nak tambah.”Tanya Hisyam Zafril.

“Banyaknya awak order?Siapa nak habiskan.” Tanyaku.

“Kitalah yang habiskan.” Jawab Hisyam Zafril sambil tergelak.

“Eii! Ingat perut saya ni makan banyak sangat ke? Ikan siakap pun saya tak makan tau.”

“La! Kenapa tak cakap awal-awal. Kak….tukar menu. Ikan siakap tiga rasa gantikan dengan ikan jenahak bakar dan sotong dan udang goreng  untuk dua orang. Itu saja. Air nya pula bawakan air limau nipis dan Lisa nak air apa?” Tanya Hisyam Zafril padaku.

“Kak…. bagi saya air yang sama dengan kawan saya.” Aku tersenyum pada kakak yang mengambil pesanan kami. Sementara menunggu pesanan kami sampai. Sempat kami berbual kosong. Tak sampai setengah jam hidangan yang dipesan dah siap di hidangkan. Patutlah ramai pelanggan. Segalanya memuaskan hati. Cepat dan cekap.

Aku pandang makanan yang terhidang di atas meja. Banyaknya….. aku pandang meja pelanggan tak jauh dari kami. Banyak juga makanan yang berada di atas meja mereka. Tapi mereka tu ramai, memang padanlah banyak hidangan atas meja tu. Tapi kami hanya berdua. Malunya. Macam lahap sangat. Gerutuku dalam hati.

“Lisa…..apa tunggu lagi. Makanlah. Cepat makan cepat boleh balik.”

“Syam…..banyaknya hidangan ni, boleh habis ke kita makan?” Bisik aku pada Hisyam. Takut orang dengar apa yang aku cakapkan pada Hisyam.

“Tak banyak mana Lisa. Hidangan untuk dua orang saja.” Jawab Hisyam Zafril. Hisyam menadahkan tangannya membaca doa makan. Aku ikut sama menadahkan tangan, ikut sama membaca doa makan.

“Emm…Sedapnya makanan dekat sini Syam. Ikan bakar ni lembut sangat dan manis rasanya. Payah nak jumpa makanan yang sedap macam ni. Cukup rasa semuanya."

“Makanan dekat sini memang sedap. Puas hati dapat makan dekat sini. Kalau sedap makan sampai habis.” Hisyam tersenyum.

“Ikan apa ni Syam. Lembut macam isi ketam.” Soalku setelah mengunyah isi ikan tadi.

“Ikan jenahak. Kenapa?” Jawab Hisyam Zafril.

“Sedap….. Bila ada masa lapang, Lisa nak ajak ayah dan ibu makan dekat sini. Sedap sangat.” Pujiku lagi.

“Jangan lupa ajak Syam sekali.” Dengan tak malunya Hisyam Zafril mempelawa dirinya.

“Kalau Syam sudi, apa salahnya.” Jawabku sambil tersenyum.

“Eh! Dengan Lisa. Bila-bila pun Syam sudi.” Terkekeh Hisyam ketawa.

Seronok berbual dengan Hisyam Zafril. Ada saja yang hendak dibualkannya. Aku rasa macam dah lama kenal dengan Hisyam. Padahal kami baru saja berkenalan.

“Lisa…..awak dah ada seseorang ke?” Soal Hisyam Zafril.

“Siapa yang nakkan orang yang tak cantik dan anak yatim piatu macam saya ni.” Aku merendah diri. Teringat kembali bagaimana aku pernah dihina oleh Rayyan bila aku luahkan perasaanku pada Rayyan.

“Lisa……apa yang awak menungkan tu?” Soal Hisyam Zafril.

“Oh! Tak ada apa Syam. Hanya teringatkan kisah lama.” Jawabku.

“Nak berkongsi dengan Syam? Syam sedia mendengarnya.” Soal Hisyam Zafril.

“Saya rasa masih awal nak berkongsi dengan Syam. Tengoklah satu hari nanti saya akan ceritakan pada Syam.”

“Lisa….cuba rasa udang goreng tepung ni. Sedap dan ranggup rasanya.” Udang yang telah dicicah dengan sos, Hisyam suapkan ke mulut aku. Tak sempat aku nak menahannya. Aku kunyah perlahan udang yang Hisyam suapkan ke mulutnya. Hanya separuh udang itu dapat aku gigit. Besar sangat tak muat nak masukkan ke dalam mulutku.

Terkejut aku bila lihat selamba badak saja Hisyam menyuap separuh dari udang goreng yang aku makan tadi ke mulutnya.

“Syam! Kenapa makan sisa-sisa saya? Masih ada banyak lagi udang goreng yang lain. Kenapa tak makan?" Soalku.

“Eh! Syam terlupa tadi. Lisa tak marahkan?” Tanya Hisyam sambil tergelak. Entah terlupa atau sengaja. Gumamku dalam hati.

“Apa pula nak marah. Tapi tak eloklah Syam makan bekas saya makan.”

“Syam tak kisah pun.” Jawab Hisyam Zafril sambil ketawa.

 Tapi saya kisah.  Jawab hatiku.

"Lisa!! Aku berpaling melihat siapa yang memanggilku. Terperanjat aku melihat lelaki itu. Bagaimana dia boleh sampai ke sini? Soalku dalam hati.


No comments:

Post a Comment