Reenzarini

Wednesday 23 July 2014

SAAT CINTA MULA BERSEMI 4



BAB 4

            “Siapa lagi ayah? Mestilah Fika tu.”  Jawab Iffah Najihah.

            “Iffah! Kau sedar tak apa yang kau cakap ni?” Tanya encik Borhan. Mencerlung matanya memandang anaknya.

            “Orang sedarlah ayah. Orang tahulah Fika tu hanya anak pungut.” Jawab Iffah Najihah.

            “Astaghfirullahalazim! Kenapalah dengan kau  Iffah? Sampai bilalah kau nak buat perangai macam ni? Fika tu adik Iffah. Mak Iffah yang susukan Fika tu sejak lahir. Fika anak susuan emak Iffah. Faham tak?” Sudah banyak kali diterangkan pada anaknya. Masih juga tak mahu menerima Fika sebagai adiknya.

            “Iffah tak boleh terima Fika tu ayah. Iffah tak suka kasih dan sayang ayah berbelah bahagi antara Iffah dan Fika.” Hatinya cukup cemburu bila ayahnya seringkali menyebelahi Afika Najwa.

            “ Janganlah tamak sangat Iffah. Apalah sangat kasih sayang yang mak dan ayah berikan pada Fika? Selama ini kami layan Iffah lebih dari kami layan Fika. Kami tak pernah mengabaikan Iffah selama ini. Kenapa Iffah nak cemburu lagi pada Fika?” Tanya encik Borhan. Apa nak jadi dengan anak kandungnya itu? Salah dirinyakah kerana Iffah berperangai kasar begitu? Apa yang harus dilakukannya untuk membuatkan Iffah menerima Fika? Kesian Fika, sering menjadi kemarahan Iffah Najihah.

“Banyak ayah! Banyak yang Iffah tak puas hati dengan Fika tu.” Selama ini setiap kali exam Afika Najwa mendapat keputusan peperiksaan yang lebih cemerlang dari dirinya. Kecantikan Fika tak dapat ditandinginya. Fika juga berkulit putih gebu mengalahkan dirinya yang berkulit gelap.

“Cuba jelaskan pada ayah, mana satu yang Iffah tak puas hati? Ayah nak dengar.” Tanya encik Borhan pada Iffah Najihah.

Iffah Najihah terdiam. Perlukah dia memberitahu ayahnya yang dirinya dengkikan Fika yang cantik dan Fika yang sering menjadi bualan guru-guru di sekolah?

            “Mak , ayah, kak Iffah. Makanan dah siap Fika hidangkan. Jomlah makan,” Dirinya berpura-pura ceria sedangkan dia sudah mendengar pertelingkahan mereka sekeluarga.

            “Yalah! Jom kita makan. Nak bertekak dengan Iffah, memang tak pernah nak habis. Sampai bila pun tak akan menang.” Encik Borhan masuk ke ruang makan. Telah terhidang makanan di atas meja. Kecur liurnya bila terpandangkan kari kepala ikan. Makanan kesukaannya.

            “Patutlah dari luar lagi ayah terbau kari. Fika masak kari kepala ikan kegemaran ayah rupanya.  Rendang pedas daging pun ada.” Puji encik Borhan. Cuba mengambil hati anak yang nampak kesedihan. Encik Borhan tahu Fika mendengar segala pertengkaran mereka tadi.

            “Biasa saja ayah.  Fika hanya masak kari kepala ikan. Emak yang masak rendang pedas. Masakan mak lagi sedap , ayah.”  Afika Najwa memuji emaknya.

            “Awak dah kenyang ke duduk mengadap budak Iffah tu puan Khatijah oi?” Perli encik Borhan.

            “Nak makanlah ni abang oi! Ingat awak sorang saja yang lapar. Saya pun dah lapar.” Puan Khatijah dah muncungkan mulutnya kerana diperli oleh suaminya.

            Aku menyendukkan nasi untuk ayah dan emak angkatku.

            “Fika pun duduklah, makan sekali.” Ajak encik Borhan.

            “Tak mengapalah ayah. Fika nak kemas dapur sekejap. Berselerak dapur tu.”Alasan Afika Najwa berikan pada ayahnya.

            “Duduklah Fika. Tinggalkan segala kerja dekat dapur tu.”  Puan Khatijah pula mengajak Afika Najwa makan bersama mereka.

“Baiklah mak,” aku akur dengan suruhan emak.

            Terdengar derap kaki menghampiri meja makan. Sengaja Iffah Najihah menghentak kakinya keras ke lantai tanda protes pada ayahnya.
“Elok-elok berjalan tu Iffah! Nanti tak pasal-pasal kaki kau tu terbenam dalam simen. Ayah ingatkan Iffah dah kenyang tengok televisyen tu.”

            Masam saja muka Iffah Najihah kerana diperli oleh ayahnya.

            “Fika!Cepatlah sendukkan  nasi aku.” Kasar Iffah Najihah memerintah Fika.

            “Iffah! Tak bolehkah kau senduk sendiri nasi kau tu? Nasi dah ada depan mata pun nak suruh Fika juga yang sendukkan. Dasar anak dara pemalas.” Marah encik Borhan.
           
“Tak mengapalah ayah, Fika boleh sendukkan nasi untuk kak  Iffah.” Aku bangun untuk menyendukkan nasi untuk kak Iffah.

            “Fika duduk. Biarkan Iffah senduk sendiri nasi. Masak pun malas. Nak makan pun nak orang sendukkan nasi untuk dia. Nak orang tolong suapkan sekali ke?" Soal encik Borhan, sekadar memerli anaknya.

            “Yalah! Orang sendukkan sendiri.” Senduk di tangan Fika dirampasnya. Sakit hatinya bila ayahnya menyebelahi Fika. Dasar anak pungut tak sedar diri. Gumamnya dalam hati.

            “Sudahlah tu, tak baik bergaduh depan rezeki.” Nasihat puan Khatijah.

“Fika, duduklah makan.” Ajak encik Borhan.

            “Baiklah ayah.” Aku patuh pada perintah ayah.

            Setelah ayah selesai membacakan doa makan, kami pun makan dengan berselera.

            “Sedap Fika masak, berselera ayah makan hari ini. Kena dengan selera ayah,” puji encik Borhan.

            “Mak yang masak semua ini ayah. Fika cuma masak kari kepala ikan saja.” Aku  tersenyum manis.

            Terasa hati puan Khatijah. Selama ini dirinya tidak pernah dipuji. Membuatkan hatinya hangat dengan pujian suaminya pada Fika.

            “Sedap awak masak hari ini Tijah. Berselera abang makan daging goreng pedas. Kari ikan ni pun sedap, kena dengan selera abang.” Puji encik Borhan.

            Kembang kembali hati puan Khatijah dipuji suaminya.

            “Biasa saja Iffah makan, ayah.” Sangkal Iffah Najihah.

            “Tak sedap ke? Tapi ayah tengok, sudah dua kali Iffah tambah nasi.” Perli encik Borhan. Dia bangun membasuh tangan di singki sebelum berlalu dari situ.

Muncung mulut Iffah Najihah kerana sekali lagi dirinya diperli oleh ayahnya. Tak habis-habis ayah nak perli aku. Pujilah anak pungut ayah tu, gumam Iffah dalam hati.

“Saya nak solat di masjid.” Beritahu encik Borhan pada puan khatijah sebelum berlalu masuk ke bilik.

“Iffah! Lepas makan tolong Fika kemaskan meja makan.” Ujar Puan Khatijah sebelum mengikut suaminya dari belakang. Nak sediakan pakaian untuk suaminya.

            “Ini kau punya pasallah!” Marah Iffah Najihah. Kepala Afika Najwa ditunjal dengan jarinya.

            Apa pasal aku pula yang bersalah? Rungutku dalam hati. Pinggan kotor, aku bawa ke dapur untuk dicuci.  Aku tak pedulikan kak Iffah yang sedang merenungku tajam.

            “Fika! Kemaskan semua ini.” Arah Iffah Najihah.

            “Tak payah cakap pun Fika tahu kak Iffah. Akak pergilah tengok televisyen dekat depan tu.” Lebih kepada perli sebenar.

“Berani kau lawan cakap aku ya.” Mata Iffah Najihah sudah mencerlung memandang Afika Najwa.

“Mana ada Fika lawan cakap kakak. Kak Iffah kan sedang sakit kepala. Pergilah berehat.” Jawabku lembut.

“Nasib baik kau.”Ujar  Iffah Najihah berjalan menuju ke ruang tamu.

Fuh! Leganya hati aku bila melihat kak Iffah meninggalkan ruang makan. Selesai mengemas aku masuk ke dalam bilik. Sehelai jaket yang aku sangkut di pintu almari aku ambil.

            “Bagaimana aku nak pulangkan kembali jaket ini kepada tuannya?”Tanyaku sendiri.
           
            Aku menyeluk poket  jaket itu. Terdapat beberapa helai duit kertas di dalamnya. Kemudian aku mengira duit itu. Ada lima keping duit seratus.  Bermakna semuanya seratus ringgit.

            “Ya Allah! Abang Amer bagi aku lima ratus ringgit.” Terkejut aku bila melihat duit sebanyak itu. Apa aku nak buat dengan duit sebanyak ini?Soalku dalam hati.

No comments:

Post a Comment