Reenzarini

Sunday 29 March 2015

JUJUR AKU MENCINTAIMU 3



BAB 3

“Assalamualaikum ayah!”

“Waalaikumussalam……. Apa khabar anak ayah?” Soal ayah.

“Nia sihat ayah. Ayah dan ibu sihat?” Tanyaku pada ayah.

“Ayah dan ibu sihat. Dah lama Nia tak hubungi kami. Sibuk ke?” Ayah tahu aku merajuk dengan mereka.

“Sibuk sikit ayah.” Jawabku perlahan.

“Ayah, Nia dah buat keputusan setelah beberapa kali membuat solat istikharah. Nia terima lamaran dari Dato’ Amar dan Datin Ariana.” Beritahu aku pada ayah.  

“Alhamdulillah! Tercapai juga hasrat Dato’ Amar nak berbesan dengan kita.” Ujar ayah gembira.

Setelah beberapa kali melakukan solat istikharah jiwa aku merasa cukup tenang. Walaupun tidak ada bayangan yang memberikan pertunjuk tapi aku pasrah. Mungkin ini yang terbaik buat diriku.

“Terima kasih Nia. Adakah Nia ikhlas terima lamaran ini? Ayah tak mahu memaksa Nia. Apa saja keputusan Nia kami terima. Ayah dan ibu mahu anak ayah bahagia. Tak ada paksaan.” Tanya encik Osman. Tahu Rania Adira adalah anak yang baik.  Tidak pernah mengecewakan mereka.

“Nia ikhlas ayah. Nia dah minta pertolongan dari Allah, barulah Nia buat keputusan. Maaf kerana ambil masa lama baru buat keputusan.”

“Alhamdulillah! Tak mengapa asalkan keputusannya mengembirakan hati kami.” Begitu gembira hati encik Osman menerima perkhabaran itu. Sekejap lagi bolehlah dia berkongsi kegembiraan itu dengan Dato’ Amar. Semoga kesihatan Dato' Amar kembali pulih setelah mendengar khabar gembira itu.

“Tapi Nia nak tahu. Anak Dato’ Amar tu setuju ke tidak nak dijodohkan dengan Nia? Nia tak nak ada paksaan dalam hal ini.” 

“Dato” Amar cakap anaknya telah bersetuju dengan pilihan mereka.” Encik Osman yakin anak Dato’ Amar juga sebaik Rania Adira.

Terasa lega hatiku bila mendengar ayah berkata begitu. Bermakna anak Dato’ Amar juga bersetuju dengan lamaran ini. Aku tak mahu dikatakan hidung tak mancung pipi tersorong-sorong. Bagaimanakah rupa Hijaz Saufi tu? Gemuk ke kurus ke? Tanya hatiku. Tak kisahlah asalkan bahagia.

**********

Bunyi telefon bimbit membuatkan aku segera mencapai telefon bimbit yang di simpan dalam laci meja kerjaku. Aku lihat Hana sibuk menyemak fail di atas mejanya.

“Siapa pulak ni?” Soal aku sendiri. Nombor yang tak ku kenali. Segera aku sentuh butang hijau.

 “Assalamualaikum, boleh bercakap dengan Rania Adira?” Tanya satu suara yang tidak aku kenal.

“Waalaikumussalam! Ya , saya Rania Adira. Boleh saya tahu siapa di sana?” Tanyaku lembut.

“Ni auntie…… mama Hijaz Saufi.” Jawab pemanggil itu.

“Auntie silap orang kut?” Aku mana ada kawan yang bernama Hijaz Saufi.

“Anak…… Rania Adira binti Osman, kan?” Tanya auntie  itu lagi.

“Betul tu nama saya. Tapi saya tak kenal Hijaz Saufi. Saya tak ada kenalan yang bernama Hijaz Saufi. Mungkin auntie tersilap nombor.” Sekali lagi aku menafikan panggilan itu untuk aku. Sesekali ada juga aku terima panggilan yang tak kukenali.

“Auntie adalah isteri Dato’ Amar. Nama auntie Ariana. Mungkin ayah dan ibu Nia terlupa nak bagi tahu tentang kami. Auntie ialah mama bakal tunang Nia.” Beritahu Datin Ariana.

“Auntie ni, Datin Ariana ke?” Tanya aku inginkan kepastian.

“Ya, auntie adalah Datin Ariana.” Jawab Datin Ariana sekali lagi.

“Maafkan Nia, Datin. Nia tak cam suara Datin tadi. Ini adalah pertama kali Nia dengar suara Datin.” Memang pun tak kenal.

“Eh! Tak payahlah nak berdatin dengan auntie. Panggil saja auntie. Lagipun tak lama lagi kita akan menjadi satu keluarga. Nia, terima kasih kerana sudi menerima lamaran kami. Auntie harap Nia dan Hijaz akan berbahagia.”

“Insya-Allah auntie! Nia pun harap begitu juga. Maaflah sebab ambil masa lama untuk buat keputusan.”

“Tak mengapa. Auntie tak nak ganggu Nia bekerja, auntie cuma nak ucapkan terima  kasih pada Nia kerana sudi terima lamaran kami. Minggu hadapan kita akan bertemu.”

“Soal jodoh, Nia dah serahkan pada ibu dan ayah Nia.” Ucapku sebelum mengakhiri perbualan itu. Siapa yang tak mahukan kebahagiaan dalam rumah tangga. Bagaimana pula dengan Hijaz Saufi? Adakah dia seorang lelaki yang sempurna. Bagaimanakah rupanya? Bagi aku, kacak itu jatuh tempat kedua. Yang penting hati budi seseorang itu. Insya-Allah! Jodoh masing-masing Allah dah tentukan dari awal lagi.

**********
           
Sedang aku tidur lena. Bunyi telefon bimbit mengejutkan aku dari tidur. Nombor siapa ni tak kenal pun. Gumam aku dalam hati. Malam-malam telefon tak tahu ke orang nak tidur. Segera aku menekan butang hijau. Manalah tahu ada hal kecemasan dari ayah dan  ibu.

“Hello! Siapa ni?” Tanya seorang lelaki.

“Assalamualaikum……..” Ucapku lembut.

“Waalaikumussalam! Siapa ni?”

“Eh! Dia yang telefon kita, tanya siapa kita pulak?” Balasku.

“Hello! Boleh aku bercakap dengan Rania Adira.” Tanya si pemanggil.

“Ya saya Rania Adira. Boleh saya tahu siapa di sana?”Tanyaku.

“Aku Hijaz Saufi.” Jawab lelaki itu.

“Maaf……saya tak ada kenalan bernama Hijaz Saufi. Awak silap orang tak?” Tanyaku kembali.

“Aku anak Dato’ Amar dan Datin Ariana. Kenalan ibu bapa awak.”

“Dato’ Amar dan Datin Ariana…..mereka kenalan ibu dan ayah saya.  Kenapa? Penting sangat ke hingga tak boleh nak tunggu pagi esok? Kacau orang nak tidur saja.”

“Aku tak peduli kau nak tidur ke apa ke? Aku tak berminat nak berkenalan dan bertunang dengan kau. Tambah-tambah jadikan kau isteri aku. Tolong lupakan niat nak jadi menantu Dato’ Amar. Semua ini tak mungkin berlaku. Jangan  pernah bermimpi.” Tegas Hijaz Saufi.

 Ya Allah kenapa dengan lelaki ni?  Bila masa aku nak kenal rapat dengan dia?  Kenal nama pun tidak. Orangnya lagilah tak ingin aku kenal.   Kenapa la dia perasan sangat?

“Awak jangan nak perasan la. Saya rasalah, kan, awak dah tersilap menduga.” Perliku.

“Aku tak pernah tersilap. Boleh tak kau jangan ambil kesempatan di atas kebaikan mama dan abah aku!!  Suara kasar Hijaz Saufi kedengaran.

Oh! Main kasar ya, nanti kau.

“Siapa ambil kesempatan? Saya?!” Balasku kembali. Ingat dia sorang boleh naikkan suara.

“Jangan cuba nak dekati aku.” Hijaz Saufi beri amaran pada Rania Adira.

“Siapa yang cuba mendekati siapa ni? Setahu saya Dato’dan Datin yang melamar saya. Saya nak tanya awak, siapa yang telefon siapa malam ini?Saya ke awak?” Balasku kembali. Macamlah aku berminat nak kenal dia. Perasan!  Sayang sekali Dato’ Amar dan Datin Ariana ada anak yang sombong dan bongkak macam ni.

“Memang aku yang hubungi kau tapi aku nak fahamkan kau, aku tak  pernah menerima pilihan mereka!” Herdik Hijaz Saufi.

“Siapa yang mulakan dulu? Bukan ibu dan ayah saya yang nak kita bertunang tapi abah dan mama awak.” Sinis aku membalas kata-kata lelaki itu. Siapa suruh cari pasal dengan aku.

“Aku tak kira, yang aku tahu. Aku tak mahu bertunang dengan kau.” Garang Hijaz meluahkan kemarahannya pada Rania Adira.

“Tak mahu bertunang tak payah bertunang! Ingat saya hadap sangat nak bertunang dengan awak. Saya pun tak nak bertunang dengan awak!  Menikah dengan awak, lagilah saya tak mahu. Saya sendiri tak kenal dengan awak atau berminat nak kenal dengan lelaki sombong dan bongkak macam awak!” Bidasku kembali.

“Habis kenapa kau terima lamaran mereka?”Soal Hijaz.

“Sebab tak nak kecewakan mereka. Datin Ariana cakap awak terima jika kita dijodohkan. Saya tak nak jadi anak yang derhaka.” Jawabku geram.

“ Tolak lamaran dari mama dan abah aku.”

“Awak lelaki, Hijaz. Cubalah berbincang dengan mereka.” Lembut aku menasihatkan Hijaz.

“Sebab aku tak mampulah aku telefon kau. Abah aku sakit. Aku terpaksa menerima kau.  Jangan terima lamaran mama aku!” Balas Hijaz Saufi.

“Tengoklah macam mana? Minggu depan keluarga awak datang ke rumah saya, kan? Mana tahu waktu itu hati awak akan berubah.” Sengaja aku menyakitkan hati Hijaz Saufi.

“Jangan harap aku nak jatuh cinta dengan kau. Aku dah ada pilihan sendiri.” Jawab Hijaz Saufi.

“Okey! Kita tengok nanti. Jangan takbur Hijaz. Jangan sampai awak yang tergila-gilakan saya.” Cabarku sambil tergelak.

“Kau ni memang muka tak malu!Muka tembok!” Balas Hijaz Saufi geram. Telefon diputuskan begitu saja.  Sakit hatinya bila bercakap dengan gadis itu.

“Eh! Marah pula. Orang macam ni pun ada dalam dunia ini. Ah! Tidur lagi baik dari layan perangai lelaki bongkak tu.” Malas nak layan perangai sombong Hijaz tu. Terus aku pejamkan mataku kerana tak mahu memeningkan kepalaku.

Thursday 26 March 2015

JUJUR AKU MENCINTAIMU 2



BAB 2
           
“YA-Allah! Bantulah hamba-MU ini dalam menjalani hari-hari yang mendatang.” Apa yang dapat aku lakukan hanyalah berdoa.

Setiap yang berlaku mungkin ada hikmahnya. Takdir Allah itu tiada cacat celanya. Mestikah aku mempertikaikannya? Ah, tidak bersyukur namanya. Rintih aku dalam hati.

Teringat semula perbincangan dengan ayah dan ibu beberapa hari yang lalu. Wajah ayah dan ibu yang penuh dengan pengharapan. Tak tergamak aku menghampakan harapan mereka. Tapi bagaimana dengan hati aku?

“Kenapa ayah dan ibu panggil Nia balik?” Tanyaku setelah berada di ruang tamu.

Mereka saling berpandangan. Pandangan mata mereka seperti menyatakan ada yang hendak mereka bincangkan denganku. Hatiku keresahan.
           
“Nia…….sebenarnya Nia dah dipinang orang.”

“Aduh ayah! Siapa pula yang kelabu mata nak pinang Nia ni ayah?” Tergelak aku. Aku menyangka hanya usikan ayah seperti selalu.

“Dato’ Amar dan Datin Ariana dah berkenan nak jodohkan Nia dengan anak lelaki mereka.” Beritahu ayah sambil memandangku.

“Dato’ Amar mana pula ni ayah? Selama ini Nia tak tahu pula ayah ada kawan yang berpangkat Dato’?” Soalku.

“Beberapa minggu yang lalu kami terserempak dengan mereka. Kemudian kami mengundang mereka ke sini. Mereka adalah jiran kita sewaktu tinggal di Selangor.” Ayah menceritakan pertemuan semula dengan temannya itu. Kiranya seperti jejak kasihlah!

“Bagaimana mereka boleh berkenan nak bermenantukan Nia? Mereka pernah tengok Nia ke ayah?” Soalku pada ayah.

“Mereka ada terlihat potret Nia dan berkenan nak jadikan Nia menantu mereka,” sampuk ibu pulak.

Mereka berkenan setelah melihat gambar aku. Cantik sangatkah aku hingga mereka nak jodohkan aku dengan anak mereka?

“Gambar Nia yang mana satu ibu?” Soalku ingin tahu. Gambar yang ada semuanya gambar lama. Gambar Zaman aku comot pulak tu. Gambar terbaru ada di rumah sewa.

“Gambar dekat  atas rak tu,” tunjuk ibu.

“Hah! Gambar Nia pakai baju sekolah masa tingkatan enam tu?” Tanya aku inginkan kepastian.

Aduh! Itu gambar sewaktu aku remaja dulu. Mana nak sama dengan aku yang dah meningkat dewasa ini! Getusku.

“Yalah, Nia! Takkanlah nak tunjuk gambar ibu pula.” Sempat ibu buat lawak.

“Nia……Tolonglah pertimbangkan permintaan mereka,” pujuk ayah.

“Yalah Nia…….. Mereka tu baik sangat. Tak sombong. Nia akan bahagia dapat mertua macam mereka.” Pujuk ibu pulak.

Memanglah bahagia kalau dapat mertua macam mereka. Tapi bagaimana pula dengan anak mereka? Elokkah perangainya? Buatnya perangai macam hantu! Teruk aku.

“Ini soal masa depan Nia, ibu. Nia tak kenal pun siapa mereka. Anak mereka lagilah Nia tak kenal. Nia tak nak tersalah buat pilihan. Lagi pun permintaan mereka itu mendadak saja. Nia rasa tersepit nak buat keputusan.” Ucap aku perlahan.  Serba salah aku dibuatnya.

“Ayah tahu. Tapi ayah berharap sangat dapat berbesan dengan mereka. Nia pun pernah minta kami yang tentukan soal jodoh Nia.”  Lebih kepada memujuk sebenarnya.

Alamak! Apa harus aku lakukan? Aku juga cakap nak biarkan ibu dan ayah yang tentukan jodoh aku. Kini mereka nak jodohkan aku dengan anak kenalan mereka. Haruskah aku menerimanya?

“Nia bukan nak jadi anak derhaka tapi bagilah Nia masa untuk buat keputusan,”  pintaku sambil melutut di kaki mereka. Kalau boleh aku tak mahu melukakan hati mereka. Tapi bagaimana pula dengan hati aku? Bolehkah aku terima pilihan mereka?

“Kami tak paksa Nia. Nak terima atau tidak, itu terpulang pada Nia. Ambillah masa untuk membuat keputusan. Tapi janganlah lama sangat, tak baik biarkan orang tertunggu-tunggu.” Nasihat ayah. Pasti cadangan mereka diterima oleh Rania Adira kerana anak itu tak pernah menghampakan mereka.
**********
 “Bagaimanakah penerimaan anak lelaki Dato’ Amar dan Datin Ariana? Adakah dia juga tersepit macam              
aku? Adakah dia bersetuju dengan permintaan Dato’ Amar dan Datin Ariana? Perlukah aku berkorban demi
hubungan Dato’ Amar dan ayahku? Kalau tak jadikan aku menantu mereka. Hubungan persahabatan kedua
belah pihak masih dapat diteruskan.” Soalku sendiri.

“Apakah keputusan yang dapat aku berikan. Agak susah untuk membuat keputusan. Hatiku runsing memikirkan semua ini. Pada siapakah harus aku merujuk?” Rintih aku sendiri.

“Azira!” Jerit aku tiba-tiba. “Kenapalah aku terlupakan teman baikku, Azira?” Segera aku hubungi                 
teman  baikku itu.

“Zira! Kau ada masa tak malam nanti?” Soalku pada Azira. Dia adalah sahabat baikku.

“Malam ni? Aku free, kenapa? Kau dah rindu dengan aku ke?” Usik Azira. Walaupun tinggal di rumah sewa yang berasingan tapi hubungan persahabatan kami sejak belajar dulu tak pernah terputus.

“Iyelah! Rindu lama tak jumpa kau.” Balas aku.

“Nak jumpa dekat mana?” Tanya Azira sambil tergelak.

“Nanti aku jemput kau. Rumah sewa kita pun bukannya jauh mana. Aku perlukan sangat kau malam ini.”

Weh! Seramlah aku dengar rayuan kau.” Usik Azira.

“Please! Bila kita jumpa nanti aku ceritakan pada kau.”

“Okey! Jemput aku lapan setengah malam. Janji, kau belanja aku.”

“Baiklah, aku belanja kau nanti.” Janjiku.

“Cantik tu! Tak sabar aku nak tahu apa yang penting sangat kau nak ceritakan pada aku,” balas Azira.

“Jumpa malam nanti! Assalamualaikum……”Ujarku

“Waalaikumussalam………”

**********

Hijaz Saufi pulang ke rumah setelah pukul dua pagi. Suasana ruang tamu yang suram membuatkan penglihatannya terhad.

“Baru balik! Apa nak jadi dengan kau, Hijaz? Waktu macam ni baru nak balik.” Sergah Dato’ Amar setelah lampu menerangi ruang tamu.

“Abah! Tak tidur lagi?” Soal Hijaz Saufi.

“Sampai bila Hijaz nak jadi begini?” Sedih melihat anak yang sering pulang dalam keadaan mabuk.

“Abah!Esok kita bincang lagi. Kepala Hijaz pening. Hijaz masuk bilik dulu!” Hijaz melangkah menuju ke tangga tanpa mempedulikan panggilan abahnya.

“Hijaz!! Abah tak habis bercakap dengan Hijaz lagi.” Dato’ Amar menekan dadanya. Tiba-tiba dia jatuh pengsan.

Prangg!! Bunyi kaca terhempas membuatkan Hijaz berpaling ke belakang. Dilihat abahnya sudah terdampar di lantai. Kaca dari meja berdekatan sudah pecah berderai. Mungkin abahnya terjatuh atas meja kaca itu. Darah sudah membasahi tubuh Dato’ Amar yang terluka.

“Abah! Kenapa abah?” Tanya Hijaz. Mata yang layu tadi kembali segar. Mengeletar tubuhnya sewaktu memangku kepala abahnya.

“Abah! Maafkan Hijaz.”

“Hijaz! Kenapa dengan abah.” Tanya Datin Ariana yang baru turun ke ruang tamu. Tadi dia terdengar bunyi kaca pecah.

“Hijaz tak tahu mama.” Ujar Hijaz. Dia terasa bersalah kerana tidak peduli dengan kata-kata abahnya sebentar tadi.

“Abang…….Jangan tinggalkan Ana. Bukalah mata bang.” Luka di tangan suaminya di tekap dengan bajunya.

“Hijaz telefon ambulan.” Arah Datin Ariana.

 Segera Hijaz keluarkan telefon dari poket seluarnya, lantas didail ambulan.

**********

“Bagaimana dengan suami saya doktor?” Tanya Datin Ariana pada doktor yang bertugas.

“Dato’ Amar terkena serangan jantung. Mujur tak teruk dan cepat dibawa ke hospital.”

“Bagaimana keadaan dia sekarang?”

“Dato’ dah sedar dan sedang berehat. Tak dibenarkan pelawat. Kalau boleh biarlah Dato’ berehat. Hanya keluarga terdekat saja yang boleh melawat.”

“Terima kasih doktor.”Ucap Datin Ariana.

“Hijaz! Lebih baik Hijaz balik.” Sakit hatinya melihat Hijaz sejak sampai hanya tidur. Semuanya penangan air setan itu.

“Mama! Bagaimana dengan abah?”

“Buat apa Hijaz nak ambil tahu lagi pasal abah? Puaslah hati Hijaz, tengok abah macam tu” Marah Datin Ariana.

“Mama, maafkan Hijaz. Hijaz tak sengaja nak sakitkan hati abah.”

“Pergi balik! Bersihkan diri tu dulu. Malu mama ada anak macam Hijaz.” Bau arak dari tubuh anaknya membuatkan tekaknya loya.

“Mama!”

“Pergi balik!!” jerkah Datin Ariana.Hilang kelembutannya selama ini.

“Hijaz balik dulu mama.” Lemah Hijaz berjalan keluar dari wad kecemasan.

Datin Ariana menangis seorang diri. Menyesali nasib yang menimpanya. Tak sanggup rasanya berpisah dengan suami tercinta. Ya - Allah jangan ambil suamiku. Doa Datin Ariana dalam hati.