Reenzarini

Monday 2 June 2014

HANYA ENGKAU YANG TAHU 14



BAB 14  

            Aku tiba ke pejabat lebih awal dari biasa. Suasana pagi ini agak dingin kerana awal subuh tadi hujan turun dengan lebatnya. Matahari mula memancarkan cahayanya.

            Fail di atas meja aku semak dengan teliti sebelum tandatangan. Setelah selesai aku masukkan ke dalam out tray.

            Jam di pergelangan tangan, aku pandang sekilas sebelum aku menapak keluar dari bilikku. Baru aku teringat pesanan dari setiausaha Datuk Mohsein tadi. Katanya Datuk Mohsein ingin berjumpa dengan aku. Aku melangkah ke bilik Datuk Mohsein.

            Tok! Tok! Tok! Pintu aku ketuk beberapa kali sebelum masuk.
           
            "Assalamualaikum abah, boleh Qis masuk?" Tanyaku sambil menjengukkan mukaku di pintu pejabat Dato Mohsein.

            "Masuklah Qis!" Panggil Datuk Mohsein.

            "Ada apa abah panggil Qis?" Kini aku  sudah duduk berdepan dengan Datuk Mohsein.

            "Abah nak minta tolong Qis mewakili abah untuk bertemu dengan CEO Syarikat Horizon esok pagi. Abah ada temujanji dengan client abah dari Jepun. Dia hanya ada masa esok sebelum bertolak balik ke Jepun."
           
"Esok pagi…..rasanya Qis tak ada temujanji esok pagi. Baiklah abah. Esok Qis pergi ke sana. Kalau tak ada apa lagi?Qis keluar dulu abah."Aku sudah berdiri untuk keluar dari pejabat abah.

            "Qis! Mama pesan malam nanti datang rumah. Mama ajak makan malam dekat sana. Mama masak special untuk Qis." Beritahu Dato Mohsein sambil memandang wajahku.

            "Okey! Nanti malam Qis ke sana, " janjiku sebelum menutup pintu.

            Selepas kembali dari bilik Datuk Mohsein, terus fail yang berada di sudut meja aku capai. Satu-satu muka surat aku semak. Begitu teliti aku menyemak. Tak ada masa nak fikir benda lain selain dari hal pejabat. Begitulah cara aku menghilangkan kesunyianku.

Tok! Tok! Tok! "Cik Qis! Ini saya ada belikan nasi yang Cik Qis pesan tu." Bungkusan makanan itu diletakkan di atas meja kopi.

            "Terima kasih Siti!" Sekejap lagi saya makan. Awak keluar dulu. Saya nak selesaikan kerja saya dulu."

“Baiklah cik Qis, jangan lupa makan tau.” Pesan Siti padaku.

Setelah Siti keluar aku kembali menumpukan perhatian pada fail di tanganku. Bila dah siap, barulah aku menuju ke sofa dan duduk makan di situ.
           
            Usai makan dan solat Asar, aku kembali menyemak beberapa buah fail di atas mejaku. Leka membuat kerja, hingga aku tidak sedar hari telah menginjak kepetang. Fail yang berselerak aku susun ke dalam almari. Kerja-kerja kecil begitu aku lakukan tanpa meminta bantuan dari setiausahaku.
           
Otak yang penat dibebani dengan tugas-tugas di pejabat aku bawa ke hadapan tingkap yang bertutup rapat. Hari sudah pukul enam petang. Tak lama lagi sang suria akan diganti dengan malam.  Lebih baik aku balik sekarang. Jika tidak aku akan tiba lewat ke rumah.
           
            "Siti! Masuk sekejap." Arahku melalui intercom.

“Baiklah cik Qis, saya masuk sekarang.”

            Tok! Tok!Tok! Bunyi pintu diketuk dari luar.

            "Masuk!" Arahku bila terdengar pintu diketuk.

            "Ada apa cik Qis?"Tanya Siti Sofia, dia adalah setiausaha aku.

            Semua staf memanggil diriku cik Qis. Sejak awal , diriku diperkenalkan sebagai cik Qis oleh Datuk Mohsein.

         "Esok , saya ada temujanji dengan syarikat mana?" Setiap hari sebelum balik aku akan bertanya dulu samada esok aku ada temujanji atau pun tidak?

            "Esok , pukul 10.30 pagi cik Qis ada temujanji dengan CEO syarikat Horizon." Siti membelek jadual aku untuk hari esok.
           
            "Saya tahu, tadi Datuk dah maklumkan pada saya." Jawabku.

            "Pukul 2. 30 petang pula, cik ada mesyuarat dengan perunding di sini. Itu saja temujanji cik Qis untuk esok."
           
            "Baiklah Siti. Esok saya terus ke syarikat Horizon. Mungkin lepas makan tengahari baru saya sampai ke pejabat. Awak boleh balik dulu Siti."

            "Baiklah cik Qis! Saya balik dulu. Cik Qis tak balik lagi?"Tanya Siti Sofia.

            "Sekejap lagi saya balik. Awak baliklah dulu."

            "Baiklah cik Qis. Saya balik dulu." Tombol pintu bilik dipulasnya.

            "Tak nak tumpang saya ke Siti?" Tanya aku bila Siti sudah membuka pintu.

            "Hari ni saya datang dengan kawan. Balik pun saya dah janji nak tumpang kawan saya." Kata Siti Sofea sebelum menutup pintu.

            Aku sempat menghantar sms pada abang Omar mengatakan aku akan turun sebentar lagi.

            Selepas mengunci pintu bilik, aku melangkah lemah menuju ke lif untuk turun ke lobi. Semasa berada di dalam lif, sudah semakin berkurangan staf yang menggunakan lif. Mungkin sudah ramai yang balik.

            Abang Omar sudah sedia menanti aku di depan bangunan pejabat. Abang Omar keluar dari kereta bila dilihatnya aku sudah menghampiri kereta. Fail di tanganku abang Omar ambil dan pintu kereta dibukakan untukku. Setelah kereta bergerak, aku beritahu abang Omar tentang jadual untuk esok. Sudah menjadi kebiasaan aku untuk memberitahu abang Omar tentang jadualku pada hari esok.

            "Abang Omar, esok pagi…. Qis ada temujanji pada pukul 10.30 pagi. Abang Omar datang jemput Qis awal pagi. Takut lambat sampai ke sana."Beritahu aku pada abang Omar.

            "Baiklah Qis, esok abang Omar datang awal pagi." Abang Omar memandu kereta dengan perlahan memandangkan kesesakan di waktu itu.
           
            "Abang Omar, Qis nak lelapkan mata sekejap. Bila sampai rumah abang Omar  kejutkan Qis."Mataku sudah semakin berat, bagai digam. Keletihan menyebabkan aku boleh terlelap di mana saja.

            "Okey!" Jawab abang Omar. Dia memandu dengan berhati-hati. Jalan sesak kerana semua hendak ke destinasi masing-masing.  Dari cermin pandang belakang, Omar memerhati Qis yang sudah terlena.

            "Letih sangat agaknya." Ucap Omar perlahan. Radio yang terpasang, Omar matikan. Biar Qis tidur lena sebelum sampai ke rumah. Kesian melihat gadis itu yang sibuk bekerja untuk menghilangkan kesunyiannya. Tabah menjalani hidup setelah bergelar balu diusia yang muda.
           
            Hatinya berharap satu hari nanti gadis itu akan dipertemukan dengan jodoh yang baik-baik. Walaupun Omar bekerja selepas kematian suami Qis, tapi sedikit sebanyak kisah Qis dan arwah suaminya diketahuinya dari Datuk Mohsein. Datuk Mohsein rajin bercerita tentang mereka berdua. Kisah yang amat menyedihkan.
           
            "Qis, dah sampai rumah. Bangun." Omar mengejutkan Qis setelah kereta di pakir di bawah tempat berbumbung.

            "Dah sampai ke abang Omar?" Mataku memandang keluar. Kelihatan pokok-pokok bunga mawar yang berbagai warna di halaman rumah.

            Pintu kereta sudah dibuka oleh abang Omar.

            "Terima kasih abang Omar."Ucapku.

            Aku melangkah keluar dari kereta sambil menghidu udara yang harum dengan bau bunga-bunga mawar yang sedang berkembang.

            "Auntie Qis! Jerit Shirah dan Hanina sambil berlari mendekatiku. Berebut-rebut mereka bersalaman denganku dan  abang Omar.

            "Mana adik?" Tanyaku.
           
            "Mama sedang pakaikan  adik Daniel baju," jawab Nina sambil mencium pipiku. Tak lama kemudian, keluar kak Hani sambil mendukung Daniel. Baby yang baru berusia beberapa bulan.

            "Daniel!" Panggilku sambil mengagah Daniel. Aku mendukung Daniel dan pipi tembamnya aku cium bertalu-talu.  Mengekek ketawa Daniel kesukaan bila aku cium pipinya.

            "Hari ni kak Hani nak minta kebenaran balik awal sikit. Nak singgah beli barang dapur sekejap. Banyak barang dapur dekat rumah kak Hani dah habis. Tadi Qis pesan tak payah masak ,kan?"

            "Tak mengapalah kak Hani. Kak Hani boleh balik awal. Lagipun hari dah petang ni. Lepas Maghrib nanti Qis nak ke rumah mama. Mujurlah abah cakap awal , kalau tidak kesian kak Hani kena masak untuk Qis."

"Qis nak abang Omar hantarkan ke?" Tanya abang Omar padaku.

            "Tak perlulah abang Omar. Qis boleh pandu sendiri ke rumah mama. Bukannya jauh mana pun. Abang Omar luangkanlah masa bersama keluarga abang Omar."

            "Baiklah Qis, abang Omar balik dulu." Anak-anak dara abang Omar dan kak Hani berebut untuk bersalaman dan mencium pipiku. Setelah kak Hani sekeluarga balik, tinggallah aku sendirian.
           
            "Kesunyian lagi aku." Bisikku sendiri.

No comments:

Post a Comment